Seorang bekas komando dipercayai kurang siuman cedera akibat terkena tembakan polis yang cuba mempertahankan diri selepas cuba menikam anggota polis ketika mengamuk dengan bersenjatakan sebilah 'pisau rambo' di Kampung Kuantan, di Kuala Selangor, petang semalam.
Turut cedera dalam kejadian amuk kira-kira 90 minit itu ialah dua penduduk kampung iaitu S Surentiran, 22, yang terkena peluru sesat dan seorang pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Khairi Zaharuddin yang terkena tikaman di betis kiri.
Bekas komando yang menetap dengan seorang anggota keluarganya di kampung itu pernah dirawat di Hospital Tanjung Rambutan pada 2002 dan 2003 dan Surentiran kini dirawat di Hospital Sungai Buloh manakala Mohd Khairi dirawat di Hospital Tanjung Karang dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Mohd Taib Ahmad berkata sepasukan anggota peronda polis dikejarkan ke kampung itu sebaik menerima panggilan mengenai lelaki mengamuk pada pukul 5.53 petang.
Katanya, setiba di tempat kejadian pada kira-kira 6.20 petang, polis melihat suspek sedang mengacukan sebilah pisau ke arah seorang penduduk di dalam sebuah kedai dan segera menghubungi pasukan kereta peronda lain sebagai bantuan.
"Suspek tidak menghiraukan arahan polis supaya meletakkan senjata, sebaliknya meluru keluar dari kedai itu dan melarikan diri dengan mengayuh basikal ke arah sebuah rumah sambil dikejar anggota polis dan penduduk kampung.
"Anggota polis cuba memujuk suspek untuk menyerah diri sambil disaksikan kira-kira 30 penduduk kampung di situ. Suspek kemudian menerpa seorang anggota polis tetapi anggota berkenaan sempat melepaskan tembakan amaran menyebabkan dia lari ke kawasan kebun berhampiran," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya Kuala Selangor.
Mohd Taib berkata, ketika itu suspek sempat menikam betis Mohd Khairi.
Katanya apabila anggota polis cuba menyelamatkan Mohd Khairi daripada terus diserangnya, suspek bertindak ganas dengan menerpa ke arah anggota polis sehingga memaksa anggota polis itu mempertahankan diri dengan melepaskan tembakan dan mengenai jari kaki dan kepala lutut suspek.
"Untuk mempertahankan diri, anggota polis yang rebah akibat diterkam suspek terpaksa melepaskan tembakan sekali lagi ke arah suspek yang masih agresif dan mengenai rusuk suspek," katanya.
Katanya suspek yang masih agresif walaupun sudah terkena tiga das tembakan akhirnya dapat ditahan kira-kira 7.30 malam.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan