"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keluarga Aminul tak akan desak polis mohon maaf

Keluarga Aminulrasyid Amzah tidak akan mendesak agar polis memohon maaf dan menyerahkannya kepada mahkamah untuk membuat keputusan berhubung insiden tembakan yang meragut nyawa pelajar sekolah yang berumur 15 tahun itu.

"Saya tidak akan mendesak satu permohonan maaf daripada polis. Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berhak untuk menyatakan apa sahaja yang beliau mahu,” kata ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad, 61, di rumahnya di Jalan Makyong 11/2G dekat Shah Alam hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Musa semalam bahawa polis tidak akan memohon maaf atas insiden itu kerana ia mungkin memberi implikasi perundangan kerana kes itu dibicarakan di mahkamah.

Norsiah, yang kecewa dengan kenyataan terbaru daripada polis berkata beliau tidak mahu memberi sebarang ulasan lagi mengenai kes itu.

"Anak saya telah tiada. Dia tidak akan kembali. Saya tidak lagi mahu memberi sebarang komen. Saya telah luahkan apa yang saya ingin katakan,” katanya.

Aminulrasyid mati terkena tembakan yang dilepaskan polis yang mengejar kereta yang dipandu remaja itu sejauh enam kilometer sebelum terbabas di Jalan 11/2G, kira-kira 100 meter dari rumahnya di Seksyen 11 di Shah Alam.

Rakan remaja itu yang sempat melarikan diri merupakan saksi utama dalam insiden yang mendapat perhatian ramai.

Isnin lalu, seorang anggota polis berpangkal koperal didakwa di Mahkamah Sesyen di Shah Alam berhubung kejadian tembakan yang menyebabkan kematian Aminulrasyid.

-Bernama-

Tiada ulasan: