Tok Perak
SIAPA agaknya pemimpin kerajaan negeri Kelantan, termasuk seorang Exco, yang telah memberi RM4 juta kepada penulis blog ‘Kickdefella’ atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz, untuk memburuk-burukkan Tun Abdullah Ahmad Badawi?
Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa mahu pihak media mendedahkan nama mereka yang dikatakan terlibat dalam operasi gerak saraf itu.
Husam mencabar media juga penulis blog menyatakan secara terbuka siapakah lima individu yang memberi duit sebanyak itu. “Kalau nama saya disebut, saya bersedia untuk memberi penjelasan,” katanya.
Harap-harap sehari dua ini ada mana-mana pihak yang sanggup menjawab cabaran Husam. Rakyat jelata pun hendak tahu siapa, dan dari mana duit sebanyak itu diperoleh.
Jadi, jangan takut-takut untuk beritahu umum nama lima orang itu. Kalau tidak diberitahu orang akan membuat andaian tersendiri, dan akan menimbulkan syak wasangka yang bukan-bukan. Lagi pun apa gunanya main ‘sembunyi-sembunyi’ macam ini?
* ORANG ramai ingin melihat setakat mana ketegasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap restoran dan gerai-gerai yang tidak mematuhi peraturan kebersihan. Ada cadangan lesen akan ditarik sekiranya kebersihan tidak dipatuhi.
Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan, kerajaan bersungguh-sungguh untuk memastikan Kuala Lumpur bebas dari kekotoran, menerusi Kempen Pasukan Petugas Kebersihan yang bermula pada awal tahun ini.
“Kita akan menampal poster di semua restoran bersama dengan nombor SMS untuk dihubungi, maka orang ramai bolehlah menggunakan peluang ini untuk membuat aduan dan tindakan akan diambil dalam masa 24 jam selepas DBKL menerima aduan,” katanya seperti yang dilaporkan media.
Bagi sebahagian warga KL, kenyataan-kenyataan seperti ini sudah didengar sejak sekian lama, tetapi tindakan berkesan masih belum kelihatan. Masih banyak restoran dan gerai makanan di ibu negara tidak mengambil berat terhadap kebersihan dan kesihatan.
Pinggan tidak dicuci dengan bersih. Sisa-sisa makanan dibuang dalam longkang. Lipas berkeliaran di tempat makanan. Lalat berterbangan dan bertenggek di atas lauk-pauk. Tikus menari dan mempamerkan kemahiran akrobatik di hadapan pelanggan.
Harap-harap pelanggan membuat aduan menerusi nombor SMS yang ditampal di restoran dan gerai, supaya tikus, lipas dan lalat akan diarwahkan dalam 24 jam. Itu janji Timbalan Menteri!
* TENTU ramai bersetuju dengan Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir yang mahu Kementerian Kewangan mengkaji kaedah pelantikan jawatan tertinggi dalam syarikat milik kerajaan (GLC).
Kata beliau, pelantikan mesti dibuat betul-betul berdasarkan kelayakan dan kebolehan. Beliau juga bertanya bagaimana seorang boleh memegang beberapa jawatan penting serentak.
Contoh: Ada individu yang memegang jawatan CEO satu syarikat, dan dalam masa yang sama jadi pula Pengerusi dan Pengarah syarikat-syarikat lain. Beliau bertanya: Apakah orang itu betul-betul dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik?
Beliau bertanya lagi, apakah tidak ada orang lain yang juga layak untuk memegang jawatan tertinggi? Mengapa seorang dibebankan dengan tugas yang begitu banyak?
“Kita tidak mahu ada pihak tertentu menggunakan peluang ini untuk kepentingan mereka.
Biarlah individu yang dilantik melaksanakan tugas secara fokus, barulah GLC boleh beroperasi dengan baik,” kata beliau.
Agaknya sebab tugas terlalu banyak, atau pemilihan yang tidak betul, menjadi penyebab banyak GLC kita tidak beroperasi dengan baik.
* TERBUKTI sudah, pencuri memang tidak memilih bulu. Khamis lalu, kenderaan rasmi Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dicuri ketika diletakkan di tempat letak kereta berhadapan sebuah restoran di Jalan Tengku Ampuan Zabedah 9/H, Seksyen 9, Shah Alam.
Menurut laporan, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi, ketika anggota polis yang bertugas memandu kereta jenis Perdana V6 berwarna hitam itu bersarapan di restoran tersebut.
Maka terbukti juga, pencuri lebih cekap dan berani – berjaya ‘mengambil’ kereta pegawai tertinggi polis, di hadapan khalayak ramai, ketika siang hari yang terang benderang.
* AKHIR kalam, sempena Hari Ibu yang disambut hari ini, saya ingin mengucapkan selamat sejahtera kepada semua wanita bergelar ‘ibu’. Semoga mereka ceria, berbahagia, dan berjaya dalam apa juga yang diusahakan, terutama menurunkan berat badan (bagi mereka yang berkenaan!).
Bagi anak-anak – termasuk yang telah menjadi ibu bapa – yang masih mempunyai ibu, inilah peluang untuk mengucapkan terima kasih atas jasa ibu mendidik dan membesarkan mereka. Gembirakanlah ibu dengan apa juga cara yang boleh.
Tidak kira ibu kandung, ibu tiri, ibu angkat atau ibu ‘bau-bau bacang’, patut sekali mereka diberi penghargaan sempena hari khas ini. Walau bagaimana pun seyogia diingat ‘ibu ayam’ tidak termasuk dalam kategori yang patut dirayakan.
Ucapkanlah ‘Selamat Hari Ibu’, ‘Happy Mother’s Day’, atau apa sahaja kata-kata yang manis-manis, lunak-lunak, lagi manja-manja, supaya ibu anda ketawa hingga ke telinga.
Tetapi, saya tidak setuju dengan cadangan supaya sehari ini ibu direhat dan disantaikan. Tidak membuat kerja rumah, tidak mengemas bilik tidur, tidak ke pasar, tidak memasak. Kalau ibu tidak masuk ke dapur, ‘ayah’ hendak makan apa? Kesian saya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan