"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah Khas Ditangguh Dengar Habeas Corpus Sultan Kelantan

Mahkamah Khas pagi ini memutuskan untuk menangguhkan prosiding mendengar permohonan habeas corpus berhubung isu Sultan Kelantan kerana tidak cukup kuorum.

Mahkamah Khas yang terdiri daripada lima anggota panel dijadual untuk mendengar kes itu pukul 9 pagi ini.

Permohonan itu difailkan oleh Tengku Temenggong bagi pihak Sultan Kelantan pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail juga meminta penangguhan kerana belum berpeluang memfailkan afidavit balas terhadap permohonan Sultan Kelantan.

Jumaat lalu, peguam yang mewakili Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra memfailkan writ habeas corpus bagi memohon kebenaran untuk membawa baginda keluar dari Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan, di mana baginda menerima rawatan sejak Selasa lalu.

Baginda telah dibenarkan keluar HUSM petang semalam.

Writ itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Khas di sini menerusi tetuan JS Pillay & Mohd Haaziq.

Afidavit bagi menyokong writ itu dibuat oleh Tengku Temenggong KelantanTengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail, putera ketiga Sultan.

Sultan Kelantan dinamakan sebagai pemohon.

Writ itu menamakan lima responden iaitu Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Ketua Pengarah Kesihatan dan kerajaan Malaysia.

Mahkamah Khas ditubuhkan pada 1993 untuk mendengar sebarang prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah sesebuah negeri atas sifat peribadi baginda.

Panel anggota Mahkamah Khas terdiri daripada Ketua Hakim Negara, dua Hakim Besar Malaya dan Sabah dan Sarawak, dan dua lagi dari Mahkamah Persekutuan yang dilantik oleh Majlis Raja-raja Melayu.
-MalaysianInsider-

Tiada ulasan: