"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiga Rakan Polis Tidak Didakwa, Gambaran Peristiwa Tidak Lengkap

Pakatan rakyat hari ini mempertikai mengapa tiga lagi anggota polis yang terlibat dalam kes Aminulrashid Amzah, remaja berusia 15 tahun yang mati ditembak polis 26 April lalu, tidak diheret ke mahkamah.

Lantaran itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mempersoal kegagalan pejabat peguam negara mendakwa tiga anggota berkenaan dan bimbang kegagalan berbuat demikian mungkin sebagai cubaan bagi menutup keseluruhan peristiwa sebenar.

Hanya seorang anggota polis, Koperal Jenain Subi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana menyebabkan kematian Aminulrashid manakala tiga lagi rakannya yang dilapor berada dalam kereta peronda tidak didakwa.

Jenain dituduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Aminulrashid pada 26 April antara jam 1.10 pagi hingga 2.00 pagi di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 Shah Alam membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bercakap kepada TV Selangor, Khalid Samad bimbang situasi ini tidak memberi gambaran sebenar kerana semua aspek, dari siasatan hingga pendakwaan dijalankan polis semata-mata sedangkan orang yang kena tuduh adalah anggota polis.

"Yang mendakwa atau yang menyiasat adalah polis dan polis atas dasar siasatan mereka melaporkan bahawa seorang saja yang menembak. Semua bukti-bukti ada di pihak polis dan peguam negara bertindak atas dasar laporan itu, mungkin mereka pun terlibat juga merangka cas-cas dakwaan yang berhubung dengan kes ini," katanya.

Pendakwaan hanya seorang anggota polis ini menimbulkan keraguan kerana ia memberi gambaran tiga lagi rakan tertuduh langsung tidak ada peranan dalam kejadian tragis ini.

"Secara umumnya kita memang tidak puas hati berhubung ketelusan itu tidak ada. Kita difahamkan banyak kelongsong peluru telah dikutip dan kita tak tahu kelongsong peluru itu dari pistol yang satu yang sama. Semua laporan forensik semua ada di pihak polis semata-mata.

"Kita rasa tidak mungkin hanya seorang daripada empat yang terlibat mungkin ada yang lain tetapi atas sebab tertentu untuk hendak menutup jalan cerita yang sebenarnya mungkin hanya satu saja yang dikambing hitamkkan,” katanya.
-tvselangor-

Tiada ulasan: