Kebelakangan ini saya dicemuh, sekali lagi, atas penjelasan saya berhubung penggunaan ungkapan "We are all Allah’s children" dari Zainah Anuar salah seorang ahli Sisters in Islam atau SIS. Mereka mendakwa bahawa ungkapan tersebut bermaksud "Kita semua adalah anak-anak Allah" secara literalnya dan dengan itu dikatakan ianya kata-kata syirik dan menyebabkan yang menyatakannya terkeluar dari Islam.
Saya menjelaskan ianya tidak boleh difahami secara literal dan dalam masyarakat Barat, khususnya masyarakat yang berbahasa Inggeris, kata-kata tersebut bermaksud "Kita semua adalah sama, ciptaan Allah, milikNya dan dikasihiNya" dan bukan bermaksud "anak" sepertimana biasanya. Kefahaman saya mengenai apa yang dimaksudkan saya perolehi dari penjelasan Zainah sender dan juga pengalaman saya bersama masyarakat Inggeris di mana saya berada sepanjang 7 tahun.
Namun walau apa pun yang saya cuba nyatakan, yang mencemuh saya terus mencemuh dengan terus mendakwa maksud ungkapan tersebut adalah "anak" dalam erti kata biasa dan mereka berkeras bahawa itulah yang dimaksudkan Zainah tanpa bertanya kepada Zainah sendiri apa sebenarnya yang dimaksudkannya. Maka tanpa soal-siasat, mereka berpegang kepada andaian dan tafsiran mereka seolah-olah mereka tahu apa yang terdapat dalam hati dan akal orang lain.
Di sinilah timbul masalahnya, apabila kita ingin memberitahu seseorang apa yang dimaksudkan dengan kata-katanya tanpa ingin mendengar penjelasannya mengenai apa yang dimaksudkannya dengan kata-kata itu. Seolah-olah kita lebih tahu apa yang ingin dikatakannya. Dalam bahasa Inggeris ini dinamakan “putting words into some body else’s mouth” atau ‘memasukkan perkataan/maksud ke dalam mulut orang lain’.
Sebelum saya menulis dengan lebih panjang lagi, biarlah kita rujuk seketika kepada Al-Quran berhubung isu ini. Seperti biasa, kefahaman mantap dan jalan keluar dari segala kemelut boleh ditemui di dalam KitabulLah.
Perkataan "abnaa ulLah" dalam Al-Quran
Dalam Al-Quran perkataan "abnaa uLlah" atau "anak-anak Allah" boleh ditemui dalam ayat 18 Surah Al-Maidah. Dalam ayat ini Allah berfirman;
“Dan berkata orang-orang Yahudi dan Nasrani “Kami anak-anak Allah dan dikasihiNya.....”
Jika dirujuk kepada Tafsir Ibn Kathir yang juga dipetik Dr. Wahbah Zuhaili dalam Tafsir Al-Munirnya, ianya dijelaskan begini:
Mereka berkata: Kami pengikut Rasul-rasul yang merupakan anak-anakNya, yang dijagaiNya. Tuhan juga mengasihi kami.” golongan Ahli Kitab mendakwa bahawa Allah berkata kepada hambaNya Israil (Iaitu Nabi Yaakob), “awak adalah anakKu yang sulong”. Tetapi mereka menjelaskan maksud kata-kata ini dengan cara yang songsang dan mengubahkan maksudnya. Sebahagian dari Ahli Kitab yang kemudiannya memasuk Islam, menyanggah kenyataan palsu ini dengan mengatakan “Kenyataan ini hanya mengambarkan kemulian dan penghormatan sepertimana kebiasaan dalam cara kata-kata pada ketika itu.” Masyarakat Kristian mendakwa bahawa Isa berkata kepada mereka “Saya akan kembali kepada ayahku dan ayah kamu”, bermaksud tuhanku dan tuhan kamu. Adalah diketahui bahawa masyarakat Kristian tidak mendakwa mereka juga adalah anak-anak Allah sepertimana mereka dakwa terhadap Isa. Sebaliknya kenyataan ini hanya bertujuan untuk mengambarkan hubungan rapat dan keakraban dengan Allah. Itulah sebabnya mengapa apabila mereka mendakwa mereka adalah anak-anak Allah dan dikasihiNya Allah menyanggah dakwaan mereka,
“Katakan: Sekiranya begitu, mengapa Dia mengazabkan kamu atas dosa-dosa kamu?”
Penggunaan bahasa simbolik atau kiasan
Ulama’ zaman lampau seperti Ibn Kathir, amat memahami wujudnya bahasa simbolik atau qiasan dalam pertuturan manusia. Maka istilah dan ungkapan perlu difahami dari sudut maksud penggunaannya dan bukan dari sudut literalnya semata-mata. Disebabkan itu dijelaskan, bagi pihak Yahudi dan Nasrani maksud sebenar kata-kata serta dakwaan mereka dan tidak diputar-belit atau diselewengkan untuk "memukul mereka" dengan lebih teruk lagi. Ini dilakukannya walaupun Yahudi dan Nasrani merupakan musuh tradisi ummat Islam.
Dijelaskan bahawa kenyataan "abnaa ulLah" membawa erti kedudukan mulia dan terhormat serta keakraban dengan Allah dan bukan bermaksud "anak" secara literalnya. Kecuali, mengikut fahaman orang-orang Kristian, Nabi Isa (AS) yang dianggap "anak" secara literalnya (dan juga sebahagian dari Tuhan mengikut konsep Trinity mereka).
Malahan dalam soal fahaman Kristian, Ibn Kathir menggunakan perkataan “wa ma’lum..” atau pun, “dan diketahui...”, tanpa bercerita panjang lebar kerana ianya sesuatu yang difahami, terang lagi bersuluh. Sudah pasti jika mereka anggap orang Kristian sebagai anak tuhan secara literalnya, maka hancur berderailah theologi Kristian yang mendakwa Isa adalah anak Allah. Kerana sekiranya semua Kristian adalah anak Allah, maka apa keistimewaan pada Nabi Isa (AS)! Dan theologi mereka bahawa Allah mengorbankan anakNya demi menebus dosa manusia tidak akan bermakna lagi! Lagi pun, dakwaan Kristian bahawa Nabi Isa (AS) adalah anak Allah adalah bersandarkan kepada kelahiran ajaib Nabi Isa (AS) yang tidak mempunyai bapa dan ibunya seorang dara. Adakah orang Kristian semua tidak mempunyai bapa dan ibu mereka masih dara semasa mereka dilahirkan? Kalau tidak dan sudah pasti tidak, maka atas alasan apa orang Kristian ingin mendakwa mereka semua adalah anak-anak Allah secara literalnya?
Yang tidak memahami bahasa simbolik dan qiasan ini, mengikut Ibn Kathir, adalah sebahagian golongan Yahudi yang “..menjelaskan maksud kata-kata ini dengan cara yang songsang dan mengubahkan maksudnya.”
Pengertian ungkapan "abnaa ulLah"
Maka amat jelas, maksud ungkapan "abnaa ulLah" atau anak-anak Allah tidak seharusnya difahami secara literal. Masyarakat Yahudi menggelar diri mereka sebagai ‘abnaa ulLah’ untuk membawa erti "kaum pilihan (terhormat dan mulia)" yang dikasihi Allah. Masyarakat Kristian pula menggelar diri mereka "abnaa ulLah" untuk membawa erti golongan yang rapat dengan Allah yang dikasihi Allah. Kedua-dua golongan tidak mendakwa diri mereka sebagai anak Allah secara literalnya.
Maka begitu jugalah dengan penggunaannya masyarakat Inggeris yang diguna-pakai golongan SIS, khususnya Zainah Anuar. Ia bukan bererti anak secara literal tetapi sepertimana saya jelaskan, kata-kata tersebut bermaksud "Kita semua adalah sama, ciptaan Allah, milikNya dan dikasihiNya".
Kesesuaian ungkapan tersebut bagi seseorang beragama Islam
Dalam usaha saya menjelaskan maksud ungkapan berkenaan, saya tidak pernah mempertahankan penggunaannya orang yang beragama Islam. Sememangnya ianya agak janggal walaupun saya memahami maksud sebenar ungkapan tersebut. Hubungan di antara manusia dan khaliqnya yang digambarkan serapat hubungan anak dan ayah adalah lebih mirip kepada kefahaman Kristian. Dalam Islam, walaupun kasih terhadap Allah ditegaskan, sepertimana juga kasihnya Allah terhadap makhlukNya, namun hubungan manusia dengan Allah lebih bercorak hamba dan penciptanya, bukan anak dan bapa.
Maka sememangnya adalah tidak sesuai dan salah bagi seseorang Muslim menggunakan ungkapan sebegitu kerana ianya tidak tepat. Lebih lebih lagi ianya amat mengelirukan sepertimana terbukti melalui kontroversi yang tercetus darinya.
Justeru itu, sekiranya ada yang ingin menyerang dan menyelar Zainah atas penggunaan ungkapan tersebut, maka serang dan selarlah sepuas-puas hati kamu, tetapi atas ketidak-sesuaian dan ketidak-tepatan ungkapan tersebut, bukan atas kononnya beliau mendakwa dirinya dan manusia kesemuanya sebagai anak-anak Allah secara literalnya. Biarlah serangan dan selaran itu tepat dan adil terhadap dirinya, seperti yang dilakukan Ibn Kathir dalam tafsirnya dan bukan sebaliknya.
Sekiranya diserang dan diselar atas tuduhan beliau mendakwa semua manusia adalah anak Allah secara literalnya, maka beliau difitnah dan dizalimi. Biarlah kita bertindak adil walaupun terhadap orang yang tidak disukai, malahan terhadap musuh sekali pun.
Teguran tersasar seorang datuk
Ada juga saya terbaca di dalam Sinar Harian teguran seorang Datuk Melaka yang kononnya "pendakwah bebas". Maaf saya tidak faham apa yang dimaksudkannya melalui tegurannya. Amat jelas bagi saya beliau tidak memahami tajuk yang ingin dikupas. Apa kena-mengena "We are all Children of God" dengan konsep Triniti? Malahan tidakkah kefahaman semua manusia adalah "children of God" menyanggah konsep Triniti? Kerana Triniti itu menganggap hanya Isa anak Tuhan dan bukan semua manusia?
Ditegur juga pendirian saya berhubung kalimah Allah. Tidakkah beliau lihat bagaimana dalam ayat 18 Surah Al-Maidah ini Yahudi dan Nasrani menggunakan kalimah Allah juga apabila mereka mendakwa mereka adalah “abnaa ulLah”. Maka sekiranya Datuk ingin menghalang penggunaan kalimah Allah yang bukan Islam, adakah Datuk sanggup "mengedit" Al-Quran? Dan memperbetulkan ayat-ayat di mana yang bukan Islam menggunakan kalimah Allah seperti ayat 18 Surah Al-Maidah ini. Maaf, saya tak kenal Datuk ini dan saya tidak faham hujjahnya. Adakah hujjah yang dikemukakan? Atau tuduhan semata-mata? – 19 November, 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan