"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

TG Nik Aziz tanya, mengapa Mahathir serang Najib?

SUBKY LATIF 
SYUKUR, saya dapat menziarahi Tok Guru Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am di pejabatnya enam bulan selepas tersebar berita palsu tentang kematiannya.

Beliau masih uzur, stabil sekalipun kurang selesa berkomunikasi.

Pemikiran politiknya masih cergas. TG hanya dua kali seminggu ke pejabat yakni pada hari Harakah diterbitkan untuk mengikuti berita Harakah dan menerima pengunjung.

Dalam keperihatinannya beliau bertanya saya, mengapa Dr. Mahathir menyerang sangat Najib? Dan mengapa Najib tidak menjawab?

Demikianlah Tok Guru mengikuti dan meneliti perkembangan politik semasa. Beliau tidak sekadar membaca berita yang tersiar bahkan cuba memahaminya.

Respon saya ialah demikianlah cara dan reaksi seorang pemimpin politik terhadap apa jua perkembangan yang tidak disenanginya. Bukan Dr. Mahathir saja begitu, bahkan Tunku Abdul Rahman Putra yang tidak celupar seperti Dr. Mahathir, tidak berdiam diri terhadap apa jua perkembangan yang tidak disenanginya.

Bekas Perdana Menteri atau mana-mana pemimpin politik menceburkan diri dalam politik dulu adalah untuk memberikan perkhidmatan yang dikiranya baik, dan sekali gus mereka akan menolak atau menentng apa-apa yang dirasakannya tidak baik dan merugikan.

Apabila mereka sudah tidak lagi berkuasa, jika ada sesuatu yang dirasakannya merugikan maka mereka tidak wajar berdiam diri, cegah apa yang patut dicegah. Berdiam diri terhadap apa yang dirasakan tidak betul, bererti membiarkan apa yang tidak betul berlaku.

Jika semasa berkuasa dia mencegah apa yang dirasakan merugikan, maka sesudah tidak berkuasa, jika dia benar seorang yang perihatin, maka dia wajar suarakan apa yang dirasanya tidak betul.

Mungkin Dr. Mahathir seorang tidak akan menyembunyikan apa yang dia tidak suka. Tetapi Tunku Abdul Rahman dulu bukanlah seorang yang suka lepas cakap. Selepas dia tidak lagi jadi Perdana Menteri, dia menulis setiap minggu dalam akhbar tentang politik dan pentadbiran Tun Razak yang dirasanya tidak betul.

Tunku tidak sekadar menegur kelemahan Perdana Menteri Tun Razak. Bahkan dia mengkritik politik dan pimpinan Tun Hussein Onn dan Dr. Mahathir.

Apa yang Dr. Mahathir kata terhadap setiap Perdana Menteri selepasnya, maka demikianlah sikap Tunku terhadap semua Perdana Menteri selepasnya.

Maka, kesimpulan yang saya dapat katakan, setiap bekas pemimpin yang peka terhadap politik dan apa-apa saja, maka mereka tidak terlepas daripada memberi teguran terhadap sebarang kelemahan.

Dalam hal ini saya tidak hendak menyalahkan sangat Dr. Mahathir. Sebarang keburukan yang Najib buat akan membebankan semua orang.

Adalah benar Najib yang membisu terhadap apa yang Dr. Mahathir kata tentangnya, tetapi itulah cara bapanya Tun Razak dulu.

Tun Razak tidak pernah jawab apa yang Tunku tulis tentangnya. Dr. Mahathir tidak serang Najib tiap-tiap minggu. Tunku serang Tun Razak tiap tiap minggu.

Najib adalah seperti ayahnya tidak dapat dan tidak berupaya untuk menjelaskan apa yang mereka buat.

Tok Guru mendengar padangan saya dan saya tidak tahu apa yang difikirnya tentang jawapan saya itu.

Tiada ulasan: