"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hidang Arak:MAS pilih laknat tolak berkat

Subky Latif
RUPA-rupanya Khazanah yang mengambil bebas MAS tidak belajar daripada balasan yang membelenggu syarikat penerbangan negara itu.
   
Pada ketika memuncaknya kritik menghidang arak percuma kepada penumpang, yang mengundang beraneka mala petaka terhadapnya gara-gara amalan laknatnya, pengurusan baru berkeras untuk meneruskan penderhakaan laknat itu.
 
MAS yang kebanyakan pengarahnya orang Islam bertegas untuk terus dengan amalan laknatnya, konon menjamu araklah menjadikan MAS menjadi tarikan utama penuhnya penumpang sejak diasaskan.
   
Mungkin benar MAS tidak pernah kosong atau kurang pelanggan, tetap sepanjang perkhidmatannya ia terus dirundung petaka, asyik kerugian sahaja. Sudah banyak kali MAS diancam tutup kedai, pelbagai pihak cuba datang menyelamatkannya, ia terus diambang punah, hinggalah kini Khazanah menyerah diri unuk menyelamatkannya.
   
Sesudah sekian kali ia diancam musnah tetapi sempat diselamatkan, maka Allah timpakan petaka yang tidak terjadi pada penerbangan lain, lalu penerbangannya ke Beijing hilang di alam ghaib. Tidak cukup dengan bencana itu penerbangannya dibedil oleh pihak yang bertelagah di Ukraine. Banyak pesawat lalu di udaranya tidak apa-apa, tetapi hancur MAS dibedil.
   
Dua bencana itu amat besar gemparnya, tetapi ia tidak menyebabkan MAS boleh tutup, tetapi kerugian terbaru yang dialami mengacam selamatnya. Jika Khazanah tidak jadi penyelamat terbaru, MAS di ambang berhenti operasi atau dilelong atau digadai.
   
Pekung MAS selama ini dipikul Khazanah. Kerja kita tidak habis-habis menyelamatkan MAS. Khazanah tidak berbuat apa-apa apabila MAS memilih amalan laknat. Arak akan terus dihidangkan sekalipun milik negara yang menjadikan Islam agama negara.
   
Konon MAS rebutan penumpang justeru adanya arak, tetapi mengapa ia asyik dilanda mala petaka, hingga tidak selamat jika tidak diselamatkan?
   
Amat besar harapan Islam MAS mengakhiri durjana laknat itu. Rupanya Khazanah juga tidak dapat diharap. Kerajaan yang diberi mandat sejak merdeka tidak diharap. PM bertukar ganti semuanya tak boleh diharap. Menteri yang jaga Islam dan penasihat agama PM tidak boleh diharap. Mufti tak tahu apa. Ulama Umno dari dulu jadi makhluk bisu.
   
Tiada cara lain, sekalipun tiada hadnya sayang kepada negara, kita sekalian jangan guna MAS ke mana saja, kerana ia kenderaan yang dilaknat. Dalam negeri guna pesawat tak hidang arak. Keluar negeri guna selain MAS yang tidak ketara laknatnya.
   
Tabung Haji jangan muat jemaah haji dengan pesawat cap laknat nanti sekalian jemaah haji yang ke Mekah untuk membuang dosa, lalu mengundang pesawat laknat. Mereka tentu dipalit laknat. Mungkin menunggang babi yang najis pilihan yang baik kerana babi bukan barang laknat. Apabila  sampai di Mekah jemaah boleh bersamak. Menunggang perkakas laknat hendak buat macam mana?
   
Azam saya nekad tak guna MAS. Ada pelajar MARA mahu ikut seperti saya, tapi MARA sediakan tiket MAS untuknya. Bagaimana? Desak MARA masukkan tambang dalam biasiswa/pinjaman. Dia boleh pilih penerbangan tidak dilaknat.
   
Atau minta penasihat syariah MARA beri kata dua, antara penumpang MARA atau arak?
   
Sekalian yang belum menempah tiket penerebangan, pilihlah penerbangan tidak jelas laknatnya. MAS setakat ini seronok dengan laknat, jauhilah ia supaya tidak disambar dosa laknat.
   
Saya hanya akan naik MAS setelah ia bebas daripada laknatullah. Jika ditakdirkan MAS saja yang boleh ke Mekah, saya tangguhkan hasrat hendak ke Mekah atau bersampan ke sana. Saya tidak suruh orang ikut saya, tetapi itulah azam saya dengan izin Allah

Tiada ulasan: