Abd Shukur Harun
KETIKA warga PAS, para tetamu dan pemerhati sedang mengikuti Muktamar Tahunan PAS ke-61 selama tiga hari, ramai yang terkenang akan tiga tokohutama pemimpin yang melakar sejarah parti itu.
Ketiga-tiganya ialah Allahyarham Tuan Guru Haji Yusuf Rawa, Allahyarham Ustaz Dato’ Fadzil Mohd Noor dan Allahyarham Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Masih seperti terdengar dan terbayangkan kehadiran ketiga-tiga tokoh ternama PAS ini akan ucapan mereka, kata-kata lucu mereka dan pesan-pesan mereka. Semuanya kini menjadi mutiara yang amat berharga bukan saja untuk dikenang, tetapi juga dijadikan dorongan dalam mengekalkan semangat perjuangan di dalam PAS.
Walaupun Allahyarham Tuan Guru Haji Yusuf Rawa hanya menjadi Presiden PAS sekitar dua tahun lebih, tetapi Allahyarhamlah yang memimpin era peralihan menetapkan PAS di bawah kepimpinan ulama. Juga mencetuskan idea keterbukaan PAS, membina jambatan dengan orang di luar PAS, termasuk bukan Muslim, yang bermula dengan CCC (Chinese Consultative Council).
Kemudian di bawah pimpinan Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor, PAS memperkukuh lagi sikap keterbukaan dan toleransi PAS itu dengan bertahalluf siasi dengan Semangat 46 di mana dengan tahalluf siasi PAS/Semangat 46 itu dapat memerintah Kelantan pada tahun 1990 hingga kini.
Kemudian tahalluf siasi itu dilanjutkan dengan lahirnya Barisan Alternatif dan kemudian Pakatan Rakyat yang telah mencapai kejayaan gemilang dalam Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013 di mana Pakatan dapat majoriiti undi popular 51 peratus dan menghapuskan 2/3 majoriti BN di Dewan Rakyat.
Oleh itu, warga PAS akan terkenang tiga tokoh terbilang ini dan saya yakin tidak ada di kalangan pendukung PAS yang melupakan jasa mereka.
Putera mereka – Dr Mujahid Yusuf Rawa, Faiz Fadzil dan Nik Omar serta Nik Abduh, meneruskan perjuangan ayah anda mereka. Ertinya, mata rantai perjuangan antara ayah dan anak tidak putus.
Ayah anda mereka sayangkan ahli PAS dari semua golongan. Saya masih ingat, dalam ucapan penggulungannya di muktamar PAS di Putik Kota Bharu, iaitu ucapan terakhirnya sebelum meninggal dunia beberapa minggu kemudian, Allahyarham Ustaz Fadzil menyatakan: “Saya seperti enggan berhenti menyampaikan ucapan ini kerana saya enggan berpisah dengan muktamirin sekalian, saya sangat sayangkan anda semua.
Bagaimanapun saya terpaksa juga mengakhiri ucapan saya ini.” Kata-kata Almarhum ini disambut dengan linangan air mata para muktamirin.
Demikan juga Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz di mana dalam sebuah kuliahnya yang saya hadir sendiri menyatakan: “Ambo sangat sayangkan hadirin/hadirat semua. Ambo sayang kerana Allah dan Rasul- Nya.”
Ini menunjukkan setiap pemimpin sentiasa menyayangi mereka yang dipimpinnya. Hubungan ini tidak pernah putus dalam apa keadaan pun, kerana ia sesuatu yang sangat berharga, iaitu hubungan kasih sayang antara pemimpin dan pengikutnya.
Ini menunjukkan setiap pemimpin sentiasa menyayangi mereka yang dipimpinnya. Hubungan ini tidak pernah putus dalam apa keadaan pun, kerana ia sesuatu yang sangat berharga, iaitu hubungan kasih sayang antara pemimpin dan pengikutnya. Untuk ini saya teringat apa yang selalu dikatakan bahawa Nabi s.a.w. sangat kasihkan umatnya, maka umatpun sangat sayangkan Nabi s.a.w.
Ketika akan menghadiri muktamar PAS di Kuala Selangor ini saya teringat Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengajak saya dan beberapa teman yang lain bersarapan di gerai makan sebelah Taman Melewar sebelum menghadiri muktamar PAS di situ.
“Ambo ada lima puluh rial, ambo belanja sarapan pagi ini,” katanya sambil menunjukkan wang itu yang dibungkus dalam sapu tangannya.
Kami pun makan dan minum, dibelanja oleh Mursyidul Am Nik Abdul Aziz, pemimpin utama PAS.
Saya merasakan sangat terharu duduk di gerai, makan bersama dengan tokoh sehebat ini. Ini peristiwa 25 tahun lalu.
Beliau kelihatan berselera makan lontong dan tea tarik bersama kami. Kemudian Allahyarham menunjukkan selendang yang disandang dibahunya dan berkata: “Ini selendang Pak Cik Jamal (Jamal Kerdil) bagi, dia hendakkan selendang ambo. Jadi kita tukar.”
Sementara itu, saya juga masih terkenang Allahyarham Ustaz Fadzil ketika beberapa kali bersama makan ayam kampung di restoran depan padang TPCA Kampung Baru bersama Azlan Jan, Dr Syed Azman dan beberapa sahabat yang lain.
Di sini saya masih ingat ucapan Allahyarham Ustaz Fadzil di muktamar PAS di mana antara lain beliau menyebut: “Dulu pemimpin Umno memperlekeh PAS dengan berkata, macam mana PAS hendak memerintah negara, mana ada golongan profesional yang boleh mentadbir. Kini ribuan golongan profesional menyertai PAS. Jadi kita boleh memerintah negara.”
Allahyaram sangat gembira akan kemasukan pelbagai golongan dalam PAS – golongan profesional, anak muda, petani dan nelayan, bekas pegawai kerajaan, pendidik dan lain-lain. Mereka berkumpul dan berpadu di bawah bumbung PAS. Menerima tarbiyah berterusan, mendengar ceramah dan kuliah, sama-sama bergerak di tengah masyarakat.
Ketika itu Pusat Tarbiyah, Taman Melewar menjadi mercu tanda kebangkitan PAS. Di situlah bermuktamar, di situlah berseminar dan disitulah segala-galanya. Teringatlah saya petugas Pejabat Agung yang sangat setia – Zubir, Taufek, Anuar, Allahyarham Syed Muhamad dan Ustaz Rahim Saidin, Noriah, Allahyarhamah Ustazah Hayati serta beberapa petugas lain, yang amat setia kepada parti.
Ketika akan menghadiri muktamar PAS kali ini, tentunya saya akan terkenang masa lampau akan liku-liku perjuangan PAS selama ini yang pendukungnya dibasahi keringat dan air mata.
Generasi baru yang kini berada di dalam PAS sewajarnya jangan lupa akan jasa dan pengorbanan mereka ini. Taman Melewar dan Allahyarham Ustaz Hassan Shukri yang menjadi arkiteknya, menjadi begitu terkenal di dalam dan luar negara.
Ramai pemimpin gerakan Islam dunia – Ikhwanul Muslimin, Jamaat Islami Pakistan, Hamas, pemimpin Islam dari Bosnia Herzegovina, tokoh ulama terkenal dunia, Abol Hasan Ali An-Nadawi, Prof Necmettin Erbakan itu pemimpin Refah, Turki, Muhammadiyah, Dewan Dakwah, Indonesia, MNLF dan lain-lain pernah berkunjung dan berbincang dengan para pemimpin PAS di Taman Melewar.
Walaupun sangat sederhana, tetapi Taman Melewar menjadi simbol sebuah kebangkitan gerakan Islam di tanah air. Dari itu jangan lupakan Taman Melewar dengan segala sejarahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan