"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa menteri-menteri kita sering bercakap perkara-perkara yang bodoh?

Robin Stanley Augustin
Ianya sedih sekali rakyat Malaysia tidak terlibat dengan perniagaan sarkas. Kita kelihatan seperti mempunyai ramai individu yang mempunyai bakat.
Di Malaysia, kita mempunyai eksekutif tertinggi yang pandai menghilangkan diri apabila kehangatan memuncak, dan pemimpin yang menjadi peluru meriam manusia dan terbang ke luar negara terlalu kerap. Kemudian terdapat pakar boneka yang menggunakan boneka manusia untuk kepentingan mereka, sudah tentunya.

Di atas semua itu, kita kelihatan tidak pernah kurang bekalan badut, yang berjalan di antara kita tanpa kostum mereka, mekap atau bakat yang boleh diukur, melainkan untuk menghiburkan orang ramai dengan komen mereka.
Ambil contoh kenyataan dua orang menteri di Parlimen baru-baru ini.

Dalam laporan Free Malaysia Today, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rohani Abdul Karim menyeru rakyat Malaysia untuk mempunyai lebih banyak anak kerana trend pasangan kahwin lewat dan hanya mempunyai seorang atau dua orang anak akan membawa kita kepada negara yang penuh dengan orang tua.

“Kementerian menggesa pasangan supaya tidak terlalu fokus kepada kualiti hidup, tetapi untuk menghargai bahawa mempunyai ramai anak akan memberi kebaikan kepada negara dalam jangka panjang,” beliau memberitahu Parlimen ketika sesi soal jawab.

Rohani berkata kerajaan sedang melakukan tugas mereka dengan menambah lebih dua kali ganda cuti paterniti kepada tujuh hari sementara meningkatkan cuti bersalin kepada 90 hari dan membenarkan masa kerja yang fleksibel supaya wanita dapat membahagikan masa antara kerja dan menjadi ibu.

Beliau berkata kerajaan sedang melakukan apa yang termampu untuk menggalakkan, bukan memaksa pasangan untuk sekurang-kurangnya mempunyai tiga atau empat anak berbanding keluarga yang lebih kecil.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim menggesa supaya berfikir positif terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan supaya dapat mengurangkan tahap tekanan.

“Fikir positif tentang GST...1MDB. Jika anda berfikir positif maka ianya akan mengurangkan tahap tekanan.”

Shahidan berkata mereka yang bercakap tentang isu-isu ini akan tertekan dan mereka yang mendengar turut akan tertekan.

Betapa bijaksananya mereka. Rakyat Malaysia begitu bertuah mempunyai pemimpin seperti mereka.

Pertama sekali, mengapa Rohani perlu meminta rakyat “tidak terlalu fokus terhadap kualiti hidup”? Apa jenis nasihatkah ini?

Setiap matlamat kerajaan dalam dunia adalah untuk meningkatkan kualiti hidup rakyatnya. Usaha dan pelaburan kerajaan dalam infrastruktur adalah demi tujuan ini semata-mata.

Adakah Rohani benar-benar faham kenapa ibu bapa mempunyai anak yang kurang sekarang?

Dengan tahap gaji yang tidak berubah dan kos sara hidup yang tinggi adalah jelas kenapa rakyat memilih untuk mempunyai kurang anak.

Kementerian Rohani telah melaksanakan beberapa inisiatif yang mulia seperti menambah cuti bersalin dan cuti paterniti dan juga membenarkan waktu kerja fleksibel.

Tetapi pada akhirnya, ia berbalik kepada kemampuan.

Anak muda zaman ini belum tentu mampu untuk membeli rumah, apatah lagi berfikir untuk mempunyai beberapa orang anak.

Dan bagaimana dengan kualiti hidup anak-anak? Pastinya kualiti hidup mereka lebih penting.

Mana-mana ibu bapa yang berfikiran waras lebih cenderung mempunyai seorang anak dan memberi yang terbaik daripada mempunyai tiga atau empat orang anak tetapi tidak mampu untuk membayar bil perubatan, pendidikan dan banyak lagi.

Ianya bukan tugas rakyat untuk mempunyai ramai anak demi kebaikan negara.

Jika kerajaan sedar terdapat keperluan ini, mereka seharusnya fokus kepada gaji yang lebih adil, mengurangkan kos sara hidup dan menyuntik lebih banyak dana kepada projek infrastruktur yang membantu memudahkan rakyat untuk mencapai matlamat.

Kerajaan boleh mengurangkan tarif kereta import yang telah meningkatkan harga kereta, lebih fokus kepada rumah mampu milik, hentikan pembaziran, kurangkan jumlah kementerian, kaji semula GST untuk mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah, contohnya.

Bantu orang ramai berbanding membelanjakan wang kepada jet peribadi dan melindungi kepentingan gergasi telekomunikasi yang mendapat keuntungan berbilion ringgit.

Apabila rakyat mampu untuk mempunyai ramai anak, kadar kelahiran akan meningkat kembali.

Pada masa ini, rakyat sedang bergelut untuk terus hidup membuatkan mempunyai lebih daripada seorang atau dua orang anak terkeluar dari fikiran.

Dan untuk Shahidan, meminta rakyat supaya berfikir positif terhadap GST dan 1MDB adalah satu kenyataan bodoh.

Rakyat risau kerana mereka sedang mengalami kenaikan kos sara hidup selepas pelaksanaan GST. Berfikir positif tidak akan membantu mereka membayar kos tambahan yang mereka tanggung.

Mungkin juga Shahidan tidak begitu mengetahui dengan isu 1MDB untuk kekal positif mengenainya.

Sedangkan orang seperti Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpin Umno telah bersuara mengenai 1MDB.

Ini bukanlah isu yang diperbesarkan demi kepentingan politik.

Sebagai pemimpin, Shahidan seharusnya menyahut seruan rakan-rakannya supaya tindakan diambil ke atas mereka di belakang 1MDB, bukan meminta rakyat berfikir positif mengenainya. Beliau mesti faham tentang kerisauan dan kemarahan terhadap isu ini.

Masalah dengan pemimpin kita adalah mereka kurang peka dengan apa yang sedang berlaku di akar umbi yang membuatkan mereka terlalu pantas membuka mulut tanpa berfikir.

Bilakah kegilaan ini akan berakhir?
-antdaily-

Tiada ulasan: