"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Biar Pas bersama Umno, buang politik ketaksuban

AHMAD LUTFI OTHMAN 
Apabila timbul gosip Pas mahu membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno di Selangor dan Perak sejurus PRU2008, saya agak kaget.

Tidak masuk akal untuk mengetepikan sokongan dan mandat rakyat yang baru diperolehi dalam Pilihan Raya Umum ke-12, yang turut menggelorakan tsunami politik.

Selain itu, Pas memperolehi kemenangan hasil persefahaman politik dengan dua pembangkang lain, iaitu PKR dan secara tidak langsung dengan DAP, yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat. Ia bukan bertanding secara bersendirian atau solo.

Situasi berbeda dengan keadaan pilihan raya tahun 1969, meskipun keputusannya agak sama. Pada 1969, Pas dan parti-parti pembangkang lain, seperti PPP dan Gerakan bertanding bersendirian serta tidak membentuk apa-apa kerjasama.

Jadi apabila parti-parti berkenaan bersetuju menyertai kerajaan dan seterusnya membentuk BN, ia dikira tidak mengkhianati parti pembangkang lain.

Untuk kes Pas pada 2008, ura-ura kerjasama itu semakin sukar diterima memandangkan prestasi dan imej kerajaan BN cukup buruk. Wajah Pas akan dicemari dengan teruk sekali, terutama di kalangan masyarakat bukan Islam yang secara tiba-tiba menyokongnya pada masa itu.

Pas mengambil masa lama, dengan pelbagai pendekatan sederhana dan strategi bijaksana, untuk menjinakkan hati pengundi bukan Melayu. Ia juga berjaya melebarkan pengaruhnya daripada terkepung di wilayah tradisi ke kawasan-kawasan Pantai Barat.
Kerjasama Pas-Umno terserlah dalam dua PRK diadakan di Sungai Kandis dan Seri Setia baru-baru ini.

Konsep ‘Pas for All’

Antara konsep yang diterima baik masyarakat majmuk di Malaysia adalah “Pas for All” dan Negara Berkebajikan.Imej melampau, radikal, sukar bekerjasama dan seumpanya berjaya dikikis tahap demi tahap.

Saya secara peribadi menentang keras sebarang usaha politik Pas untuk mendekati Umno di kala itu. Cuma, saya ada meletakkan syarat; boleh untuk memulakan rundingan asalkan ketika itu Umno sudah hilang kuasa dan takhta.

Jika Pas menempek di bawah ketiak Umno semasa parti Melayu itu kekal berkuasa, nasib Pas bukan sahaja bakal mengulangi tragedi hitam bersama BN pada 1977, bahkan ia sukar untuk mempengaruhi dasar, polisi dan rancangan kerajaan BN yang tidak demokratik, korup, bermewah-mewah, zalim, mengetepikan kepentingan rakyat.

Terbukti Umno tidak pernah belajar daripada kesilapan meskipun berdepan Reformasi pada 1999 dan tsunami politik 2008. Kalah di beberapa negeri tidak memadai untuk pimpinan Umno bercerai-tanggal dengan keangkuhan dan kesombongan, selagi masih berkuasa di Putrajaya.

Dan Pas bertindak tepat, dengan menolak pelawaan Umno untuk bersama kerajaan perpaduan pada 2008 itu walaupun dijanjikan jawatan menteri besar untuk Selangor dan Perak.

Terima kasih kepada barisan kepemimpinan Pas yang masih rasional dan berpandangan jauh biarpun ada juga yang tergoda dengan tawaran Umno waktu itu.

Daripada segi siyasah, saya kira tidak salahnya untuk mengatur sebarang langkah baru eksperimen politik, asalkan ia dibahaskan secara terbuka, mungkin dalam satu muktamar khas. Biar didebatkan secara tuntas dan matang. Jangan dibuat secara senyap dalam gelap, di sebalik rahsia tabir kelambu.

Baik, isu pokok sekarang, selepas Umno berada di front pembangkang, hanya tinggal dua negeri, manakala BN yang diterajuinya pun terbarai, malah rakan paling lama, MCA, pun berani mengugut untuk menendangnya keluar BN, apakah salah bagi Pas bekerjasama dengan Umno?

Asasnya, setiap parti berhak menentukan pendekatan, strategi dan hala tuju masing-masing. Ia harus terbuka dengan pelbagai opsyen yang ada dan tidak wajar membeku sehingga terpaksa bertemu jalan mati.

Mungkin pada situasi berbeda, pendekatan itu harus berubah. Pas mempunyai koleksi pengalaman cukup berharga sejak era kepimpinan ulamak 1983. Bermuamalah dengan parti-parti kecil dalam Harakah Keadilan Rakyat dan Majlis Perundingan Cina, CCC pada PRU1986, berurusan dengan Semangat 46 dan DAP dalam dua barisan berasingan,

iaitu Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat pada PRU1990, membentuk gagasan formal Barisan Alternatif pada PRU1999 dan bersama-sama Pakatan Rakyat selepas PRU 2018.

Dalam kempen PRK Sungai Kandis, Pas memberi alasan pengukuhan pembangkang untuk bersama-sama Umno. Begitu juga di Seri Setia. Ya, ada logiknya dan saya sendiri berminat dengan idea kesatuan oposisi, terutama bagi berfungsi sebagai agen semak-imbang.

Seorang rakan pernah bertanya saya, sebulan selepas PRU14, wajarkah Pakatan Harapan menerima keanggotaan baharu jika Pas memohon masuk? Tambahnya, dengan itu, ia boleh memperkuatkan suara Melayu-Islam dalam kerajaan, dan meningkatkan kemajuan di Kelantan dan Terengganu.

Saya kira, lebih elok keadaan sekarang dikekalkan. Agak menarik dan seimbang kita mempunyai dua parti Islam dalam kerajaan dan pembangkang, yakni Parti Amanah Negara dan Pas dalam barisan berbeda.

Ia juga dapat menyuburkan sistem dua parti, yang akhirnya membawa manfaat lebih besar kepada rakyat.

Lagi pun, jati diri dan pendekatan kedua-dua parti Islam itu berbeda. Mungkin jika bersama dalam kerajaan, mudah berlaku perbalahan yang jelas tidak produktif. Biar kedua-duanya bertanding, khususnya daripada segi idea, secara sihat dan rakyat menilai.

Saya agak risau jika trend melompat parti (Umno) berterusan. Apakah peranan parti pembangkang tidak dihargai dalam sistem berkerajaan? Mungkin dalam regim lama oposisi sentiasa dinafikan hak dan kerap ditindas. Ramai mengharapkan di era Malaysia Baharu, suara rakyat perlu didengar dan dirai, termasuk kritikan pembangkang.

Justeru, saya menyambut positif hasrat Pas membuka pintu rundingan dengan semua pembangkang, tidak terhad kepada Umno, tidak terkecuali Sabah dan Sarawak,merentasi kaum-agama-budaya.

Saya gembira dengan keterbukaan Pas, yang membawa kepada sikap toleransi,inklusif dan sederhana. Biar Pas berdepan realiti kerencaman dan kemajmukan negara kita. Dengan itu, diharap redalah faham ketaksuban, melampau dan kecenderungan mudah menghukum dan melabel.

Adab berpakat, seperti selalu dipesan Dr Mahathir Mohamad kepada pemimpin komponen PH, yakni bersedia melupakan perbedaan antara parti bagi mencapai cita-cita lebih besar dan mulia.

Benar, ada sanggahan keras terhadap kerjasama Pas-Umno ini, daripada dalam Umno sendiri, juga penolakan MCA, tetapi itu hanyalah rencah biasa masam-manis dalam eksperimen politik.

PH tidak mungkin hanyut dalam tempoh bulan madu yang panjang seperti Perikatan-BN dahulu. Rakyat sudah bebas daripada fahaman tahyul-khurafat takut untuk menukar kerajaan. Tanggal 9 Mei 2018 adalah garis pemisah yang jelas untuk Malaysia bergerak lebih progresif dan dinamik.

Pas harus memposisi parti

Umno, Pas dan parti pembangkang lain juga masih berpeluang meraih mandat rakyat untuk masa depan. Dan saya kira, Pas merupakan aktor terpenting yang bakal memberi cabaran sengit jika ia berjaya memposisi diri dengan baik dalam lanskap politik tanahair. Apatah lagi jika PH, termasuk AMANAH, gagal melaksanakan tanggungjawab berat mempamerkan prestasi memulihkan negara.

Umno mungkin didebani bagasi rekod buruk pemerintahannya selama 61 tahun, yang memungkinkan wakil rakyat Pas lebih berketeramplan dan independen terutama di Dewan Rakyat. Sayangnya berdasarkan prestasi sidang Parlimen sejurus PRU14, 18 wakil Pas tidak menunjukkan upaya sebagai pembangkang berkesan.

Agak sukar membayangkan Pas di bawah Ustaz Hadi dapat melentukan pendekatan konservatifnya tetapi apakah parti yang menghampiri usia 70 tahun itu sekadar cukup berpuashati dengan penguasaannya di Pantai Timur sahaja?

Soalnya, apakah gandingan Pas-Umno itu berjaya direalisasi bagi melorongkan muafakat pembangkang yang lebih besar? Juga, apakah rakyat akan terpikat dengan gabungan baharu iniapabila Umno juga menjadi terajunya?

Ataupun ada kemungkinan lain lagi yang bakal berlaku nanti khususnya di zaman Anwar Ibrahimmenjadi perdana menteri kelak? Mungkinkah PH sendiri boleh berubah ketika itu?

Tiada ulasan: