"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Fenomena baharu pemimpin keluar parti akan menguburkan Umno, kata Mubarak

DALIA ISMAIL 
Fenomena baharu pemimpin keluar parti akan menguburkan Umno, kata MubarakUmno berhadapan dengan fenomena baharu dikalangan pemimpinnya yang kecewa dengan hala  tuju perjuangan parti disifatkan, tidak lagi konkrit dalam usaha untuk mengembalikan kuasa selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan menguburkan Umno.
Justeru untuk menghindarkan kekecewaan itu pemimpin yang sudah lama berjuang rela untuk meninggalkan parti itu berbanding meneruskan perjuangan.

Demikian pandangan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

“Tiada hala tuju konkrit dalam Umno menyebabkan pemimpin lama yang berjuang bersama parti merasa kecewa. Bagi menghindarkan rasa kekecewaan itu ramai yang berhasrat keluar parti.

“Ini merupkan fenomena baru ahli untuk menguji sejauh mana Umno membawa ahli-ahlinya pada masa depan,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau mengulas mengenai mutakhir ini lima ahli parlimen Umno keluar parti adalah Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamad, Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman, Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Noor Azmi Ghazali.

Malah tersebar viral senarai 18 nama pemimpin Umno yang akan bertindak keluar parti, selepas Mohamad dan Anifah, diakui sendiri Datuk Seri Shahidan Kassim yang tidak menolak kemungkinan itu akan berlaku.

Abdul Aziz berpandangan sejak Umno-BN menjadi pembangkang kebanyakan pimpinan dan ahli Umno tidak lagi berasa selesa, untuk ‘menaruh harapan’ bagi melihat parti jauh lebih ke hadapan dalam usaha untuk mengembalikan kuasa enam dekad lalu yang kini dirampas Pakatan Harapan.

“Tidak mustahil dalam kekaburan hala tuju dan perjuangan Umno masa kini, ada dikalangan pemimpin dan ahli yang merasakan untuk keluar parti dan mahu meneruskan perjuangan peribadi dalam politik mereka,” ujarnya.

Ditanya sama ada pemimpin utama Umno yang terdiri daripada ahli parlimen ini akan menyertai gabungan parti dalam Pakatan Harapan beliau, tidak menafikan itu pilihan mereka, untuk berbuat demikian, sekiranya ditawarkan atau sedia untuk menyertai mana-mana parti untuk meneruskan agenda politik peribadi masing-masing.

“Kemungkinan besar (sertai parti PH) kerana mereka mempunyai pengalaman dengan Umno. Kita tidak mempersoalkan mengapa mereka mahu menyertai parti lain, sebaliknya pemimpin begini mempunyai kredibiliti dan pengalaman peribadi sendiri yang akan memberi kekuatan kepada parti dalam gabungan PH.

“Tindakan itu (keluar parti) merugikan Umno, sebaliknya menguntungkan PH jika mereka menyertainya.

“Tetapi isunya kenapa jati diri dan perjuangan mereka itu bertukar untuk keluar parti. Sudah semestinya dalam jangkauan politik, ada sesuatu yang besar berlaku dalam Umno, menjadi penyebab mereka keluar parti.

“Mungkin perjuangan Umno sudah kabur lebih-lebih lagi pendirian kepimpinan Umno hari ini ke arah mana, adakah mahu bersama Pas atau komponen dalam Pakatan Harapan,ia masih belum jelas.

“Kemungkinan dengan pemimpin Umno masuk parti lain dengan ideologi baharu sebenarnya analoginya jelas, memperlihatkan parti dulu tidak dapat diterjemahkan dalam banyak aspek setelah ditewaskan.

“Mereka merasakan tidak nampak untuk jadikan landasan perjuangan di masa depan kerana ahli parti yang keluar mesti bersebab.

“Jadi jika Umno tidak mengenalpasti puncanya, kemungkinan Umno akan berkubur,” ujarnya.

Tiada ulasan: