"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno jadi rebutan kerajaan, kumpulan pembangkang?

ISMAIL HASHIM YAHAYA

Sejak kenyataan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal yang mengingatkan Umno supaya akur bukan lagi menjadi kuasa besar dalam politik negara, banyak ulasan dan kritikan dibuat berhubung kenyataan tersebut.

Ada yang menyatakan kenyataan tersebut bersifat ego dan tidak menghormati sebuah parti politik yang besar di negara ini.

Wan Fahsyal berkata situasi politik pada masa kini menuntut semua parti bekerjasama memastikan agenda politik parti masing-masing dapat dijayakan. Sekiranya tidak bekerjasama, kita semua rugi dan berkemungkinan kalah nanti.

“Bersatu masih mengharapkan Umno bersama Perikatan Nasional (PN) supaya pertembungan tiga penjuru dapat dielakkan,” katanya dalam sidang media.

Ini mungkin ada kaitan dengan laporan media yang menyatakan bahawa Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Jika kita meneliti kenyataan Ketua Armada Bersatu dapat difahami bahawa Umno sudah menjadi rebutan beberapa pihak iaitu kerajaan dan kumpulan pembangkang.

Agaknya inilah kenyataan yang harus difahami atau diterima Umno sebagaimana yang dijelaskan Wan Fahysal bahawa Umno bukankan lagi Abang besar dalam senario politik negara.

Rebutan di sini bukan sahaja dimaksudkan persaingan mendapat sokongan ahli parlimen Umno bagi mencukupkan bilangan kerusi parlimen sama ada untuk mempertahankan kuasa atau membentuk kerajaan baharu, juga percaturan kerusi dalam menghadapi PRU-15 ini. 

Rebutan dimaksudkan juga bagi Umno memilih pihak mana yang akan mereka sertai. Oleh itu, ahli parlimen Umno sedang berebut untuk menyertai pihak mana yang menjadi pilihan mereka.

Ini situasi getir bagi Umno kerana kedudukanya sudah berubah sejak kekalahan mereka pada PRU-14 dahulu.

Walaupun Umno adalah parti terbesar gabungan, seperti yang dijelaskan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Johari Abdul Ghani, sama ada kerajaan atau pembangkang, di mana perlu memainkan peranan dominan demi mewujudkan kestabilan politik, namun sejauh manakah apa yang disebutkan beliau berpihak kepada realiti yang diinginkan.

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob meminta agar ahli parti itu terus memperkukuhkan Umno dan mengelakkan perpecahan.

Dalam satu kenyataan, Ismail menegaskan pentingnya penyatuan orang Melayu dalam menghadapi politik yang disifatkannya semakin mencabar.

Kenyataan Ismail itu dibuat ketika pergolakan dalaman Umno dikatakan semakin meruncing.

Bagaimanakah Umno hendak atau perlu memainkan peranan yang dominan sekiranya kedudukan Umno sendiri berada dalam keadaan tidak stabil?

Umno merupakan parti terbesar dalam PN dengan 39 kerusi Parlimen. Bersatu pula memiliki 31 kerusi Parlimen tetapi ia berada dalam keadaan terumbang-ambing sekarang.

Terdapat spekulasi yang menyatakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi “kata dua” kepada Umno, untuk memutuskan selewat-lewatnya esok, sama ada masih ingin bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU akan datang atau tidak.

Namun, tiada pengesahan berita tersebut. Umno dijangka membuat keputusan sama ada untuk meneruskan kerjasama itu pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada 27 dan 28 Mac nanti.

Terdahulu, sebanyak 189 daripada 191 bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ketika mesyuarat agung yang berjalan bulan lalu.

Adakah Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada 27 dan 28 Mac ini akan menjadi medan perebutan kerusi presiden Umno?

Buku terjudul 30 Dalil Mengapa Ahmad Zahid (ingat pula kepada buku 20 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh PM, masih menggunakan perkataan dalil, tiada idea kreatif langsung)) perlu letak jawatan sebagai presiden Umno itu dikatakan sudah beredar dalam kalangan ahli Umno.

Adakah naskhah yang menyerang bekas timbalan perdana menteri itu adalah hasil tangan pihak yang cenderung bekerjasama dengan PN tidaklah dipastikan?

Jika diteliti kenyataan Wan Fasyal ia mempunyai makna tersirat juga bahawa suatu pembentukan kerajaan akan berlaku dalam masa terdekat mungkin pada Mac ini.

Ini kerana apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah bertitah Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.

Sekiranya Parlimen dipanggil untuk bersidang maka percaturan kerusi adalah penting kerana kerajaan PN telah kehilangan majoriti dalam Parlimen maka agenda Kovidotkrasi – politik di sebalik pelitup – akan mengatur geraknya melalui strategi halimunannya, mungkin juga segala perbincangan menggunakan aplikasi media sosial iaitu Clubhouse umpamanya.

Maka Umno tidak lagi boleh berangan hendak berkuasa seperti dahulu sebagai parti tunggal yang menentukan kemenangan dalam pilihan raya.

Ini kerana untuk pembentukan kerajaan baharu atau pun mengadakan pilihan raya Umno harus bekerjasama memastikan agenda politik parti masing-masing dapat dijayakan.

Umno seolah-olah kena akur kepada Bersatu yang berkuasa dalam kerajaan PN atau membuat keputusan politik.

Umno bukan lagi sebuah “a force to be reckon with” disebabkan pepecahan seperti yang dijelaskan Ismail Sabri. Para pemimpin dan ahli parlimennya sendiri yang membuatkan Umno jadi lemah.

Walaupun bukan semua tetapi terdapat kalangan mereka mengutamakan kepentingan diri dan kelompok daripada kepentingan parti dan orang Melayu itu sendiri.

Kenyataan ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan bahawa hidup mati Umno bukan di tangan Bersatu, sebagai membalas kenyataan Ketua Armada Bersatu, Wan Fayhsal.dan Umno yang mempunyai tiga juta ahli masih relevan dan kukuh kerana dikuatkan dengan akar umbinya yang setia itu masih boleh dipertikaikan.

Persoalannya ia bergantung kepada sejauh manakah kesetiaan para pemimpin dan ahli parlimennya kepada parti mereka? Ini kerana ada yang cenderung kepada Bersatu, menyokong PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahahir Mohamad.

Ini akan menjadikan sejumlah 3 juta ahli Umno keliru dan bingung. Akan ada gangguan kepada tumpuan mereka menyokong Umno sebagai kesatuan parti atau menyokong pemimpin atau kelompok tertentu.

Penyatuan sekadar kenyataan retorik kerana tidak memaparkan realiti yang berlaku sekarang. Kuasa dan penyatuan Umno telah dicarik-carik dalam logika kerjasama dan kalangan ahli-ahli parlimennya demi survival politik mereka tidak akan berani mempertaruhkan kedudukan dan kepentingan mereka dalam naratif dan wacana masa kini.

Apakah yang dapat dilakukan akar umbi Umno sekarang, sanggupkah kepada menentang ketua bahagian, ketua cawangan atau ketua pemuda dan wanita dan adun dan ahli parlimen jika wujud bukti kecederungan dan bersengkongkol dengan Bersatu (PN) pembangkang (PH) dan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad (walaupun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menolak permohonan pendaftaran Pejuang) ?

Adakah Umno berharapkan Pas bertanding dalam pilihan raya ke-15 atau dalam pembentukan kerajaan baharu, dapatkah Umno mengemudinya jika tolak bekerjasama dengan Bersatu dan PN?

Sanggupkan Pas yang bersama PN itu hendak bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN) berjuang dalam pilihan raya tanpa Bersatu dan PN?

Dalam perebutan kuasa ini di samping vaksin, teringat pula di manakah agenda dan perancangan lebih tegas dalam menyelamatkan nyawa, jaminan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dalam mendepani penularan wabak pandemik Covid-19?


*ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran di Universiti Selangor (Unisel).

Tiada ulasan: