"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dari 5 cuma 1 rakyat Malaysia yang mahu Muhyiddin kekal sebagai PM

 Malaysiakini 

Hanya 19 peratus responden dalam tinjauan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) yang berpendapat bahawa Muhyiddin Yassin sepatutnya kekal sebagai perdana menteri sehingga tempoh Parlimen berakhir.

Hampir separuh (46 peratus) responden berkata Muhyiddin harus mengundurkan diri kerana dia tidak lagi menikmati sokongan majoriti sementara 29 peratus pula berkata, pilihan raya umum baru harus diadakan segera.

Dua peratus lagi berkata, bahawa Muhyiddin perlu meneruskan perisytiharaan darurat untuk terus berkuasa.

Dapatan tinjauan itu dinyatakan dalam laporan "Mood Rakyat Malaysia Siri 1" IDE yang diterbitkan hari ini.

IDE mendakwa bahawa tinjauan dijalankan dalam talian antara 19 Februari dan 28 Februari, bertepatan dengan ulang tahun pertama “Langkah Sheraton" yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Ketika dihubungi, pengurus kanan bahagian penyelidikan IDE, Khairul Arifin Mohd Munir berkata, 8,352 sampel berkenaan diperoleh secara dalam talian melalui kaedah pensampelan pelbagai peringkat.

Tahap pertama persampelan bertujuan untuk memastikan bahawa responden mampu menjawab soalan diikuti dengan pensampelan berstrata rawak dan akhirnya persampelan kuota untuk mewakili setiap wilayah dan subkelompok.

Dalam perbincangan secara maya, dapatan tinjauan berkenaan, Khairul Arifin berkata, perincian persampelan akan didedahkan pada kemudian hari oleh Ketua Pegawai Eksekutif IDE, Mohammad Redzuan Othman.

Institut Darul Ehsan adalah badan pemikir yang dibiayai oleh kerajaan negeri Selangor yang ditubuhkan pada tahun 2015.

Tinjauan itu mendapati bahawa semua kumpulan etnik utama menyokong supaya Muhyiddin mengundurkan diri, walaupun kaum Cina lebih cenderung memilih supaya pilihan raya baru diadakan. (21 peratus).

Peratusan responden Melayu yang memilih supaya Muhyiddin kekal sehingga tempoh parlimen berakhir adalah lebih tinggi (22 peratus) berbanding kumpulan etnik lain

Tiada ulasan: