AZMI TARMIZI
TANPA disangka-sangka, Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah pada 24 Februari menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa.
Perkembangan ini berkait rapat dengan ketibaan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNtech pada 24 Januari lalu dan permulaan proses suntikan kepada rakyat yang dimulakan dengan para petugas barisan hadapan di seluruh negara melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Berdasarkan takwim terkini yang dipaparkan di laman web Parlimen, Yang di-Pertuan Agong dijadual merasmikan istiadat pembukaan sidang Dewan Rakyat pada 8 Mac ini.
Ini membawa beberapa perspektif kepada pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang genap setahun sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2021. Apabila Muhyiddin mengumumkan proklamasi darurat pada 12 Januari lalu, ramai yang mengkritik sebagai strategi untuk untuk memanjangkan lagi tempoh hayatnya sebagai Perdana Menteri.
Namun perkara tersebut dijelaskan dengan tegas oleh Yang di-Pertuan Agong bahawa proklamasi tersebut dikuatkuasakan berikutan pandemik Covid-19 yang meningkat mencanak-canak dan sehingga kini sudah meragut lebih 1,000 nyawa dan meningkat setiap hari.
Mengikut percaturan politik, ramai percaya Muhyiddin berdepan situasi yang cukup menekan kerana ketika berdepan Covid-19, beliau turut dihimpit dengan bekas partinya, UMNO yang sekarang tidak berselindung lagi mengisytihar akan bertanding semua kerusi, termasuk yang dimenangi Bersatu. Bermakna tiada kompromi sama sekali.
Daripada satu sudut lain, jika sesiapa tidak mengenali Muhyiddin, silalah Google di internet. Beliau tidak akan menggunakan taktik itu ini untuk mengelak diadakan pilihan raya, apalagi semata-mata untuk menyambung hayat jawatan Perdana Menteri.
Jadi apakah yang boleh kita jangkakan bila sidang Dewan Parlimen dibuka semula? Apakah akan ada satu lagi coup d’etat atau satu lagi langkah 'pintu belakang'? Jika ini berlaku semasa Covid-19 belum diselesaikan, lihatlah nanti apa rakyat akan berikan.
Persoalan pilihan raya belum lagi, mungkin. Sebab walaupun dibenarkan Dewan Rakyat bersidang, proklamasi darurat masih berkuatkuasa.
Jadi inilah waktu paling mujarab, paling terbaik untuk ahli Parlimen di pihak kerajaan dan juga pembangkang yang berperanan sebagai semak dan imbang, supaya membincangkan isu-isu negara yang tertangguh atau perlukan penjelasan terutama berkaitan krisis kesihatan.
-sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan