"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Masihkah ada harapan untuk kerajaan ini?

ATRIZA UMAR

Umumnya, Rakyat Malaysia telah ketahui, pada 20 Ogos 2021 lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah membuat keputusan melantik Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan menggantikan Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Pelantikan tersebut sedikit sebanyak memberi harapan kepada rakyat terhadap pucuk pimpinan yang baharu. Sebagaimana sebelumnya, harapan itu tetap ada, apatah lagi mengharapkan negara akan mampu pulih daripada virus Covid-19, permasalahan ekonomi, pendidikan, sosial serta ketenatan lain yang dihadapi.

Namun seribu kali sayang, seakan begitulah yang dirasakan rakyat apabila kabinet yang dipersembahkan ini sedikit sebanyak menghancurkan harapan rakyat berikutan kerajaan kini hanya ‘menyalin kulit’ daripada kerajaan terdahulu.

Realistiknya, sejauh mana orang yang sama mampu membuat sesuatu yang baharu sedangkan barisan jemaah menteri adalah bersifat recycle dengan hanya berlaku beberapa perubahan suka sama suka, bukan integriti mahupun kompetensi yang ada pada diri masing-masing?

Melihat kepada situasi ini, keyakinan rakyat beransur pudar berikutan kerajaan baharu ini seakan tidak serius memperbaiki isu #Kerajaangagal yang lalu.

Ini bertepatan dengan pandangan Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Hj Badlishah Sham Baharin yang menyifatkan barisan kabinet baharu tidak ada kejutan kerana 85 peratus menteri dan timbalan menteri itu daripada kabinet yang lama.

“Jadi tidak hairanlah orang boleh melabelkan sebagai kabinet ‘kitar semula’, kabinet ‘PN 2.0’. Bila kita lihat komposisi kabinet itu masih sama, jadi maknanya expectation tu tak tinggi,” katanya ketika menjadi ahli panel forum Analisis bertajuk ‘Kerajaan Baharu: Apa Harapan Rakyat?’ yang disiarkan menerusi laman Facebook Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Sinar Harian.

Beliau berkata, apa yang sedang berlaku sekarang ini pun, masalah pandemik, masalah ekonomi, kerajaan kini masih lagi belum dapat diatasi dengan sebaik-baiknya.

Kuasa rakyat yang dikhianati?

Memetik kata-kata Abraham Lincoln, demokrasi ialah “government of the people, by the people and for the people” yang bermaksud pemerintahan daripada rakyat oleh rakyat dan untuk rakyat.

Adakah ungkapan keramat itu ‘hidup’ dalam suasana politik negara kita kini?

Dengan bahasa mudahnya, daripada kata-kata itu, rakyat adalah penentu sesebuah pemerintahan yang mahu dibentuk dan perjalanan sesebuah kerajaan mesti berpaksikan rakyat, bukan berpaksikan kelompok politik, ekonomi apatah lagi kepentingan pihak tertentu.

Buat julung kalinya, pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diwarnai dengan pelbagai konflik politik dan negara telah bertukar sebanyak tiga Perdana Menteri setakat ini.

Ironinya jelas menampakkan keadaan politik negara sangat tidak sihat apabila bertukar buat kali ketiganya ini. Ia mensahihkan lagi telahan rakyat terhadap situasi yang melanda siasah negara. Bukan hanya isu pandemik, ekonomi rakyat semakin tersepit dan tertekan, tetapi politik dalam negara juga sedang sangat tenat.

Apa yang menariknya, sedikit kelainan yang dibawa oleh Ismail Sabri adalah mengadakan pertemuan dengan ketua dan pemimpin parti pembangkang utama iatu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) serta mengeluarkan kenyataan bersama.

“Saya ingat tidak pernah berlaku sebelum ini pertemuan antara Perdana Menteri dan pembangkang mengeluarkan kenyataan bersama,” ujar Badlishah Sham.

Ia sedikit sebanyak memberi sesuatu gambaran yang baik. Akan tetapi, semua itu berubah 360 darjah apabila perdana menteri mengumumkan barisan kabinet yang memang majoritinya daripada kerajaan gagal Tan Sri Dato’ Mahiaddin Md Yasin yang lalu.

Dalam pada itu menurutnya, rakyat tidak mahu politik yang terlampau sebab rakyat semakin susah dan menderita, dengan keadaan Covid-19, ekonomi, pendidikan dan sosial yang belum ada kesudahannya.

“Perlu ada kesepakatan dan kerjasama antara kerajaan dan pembangkang untuk memberi fokus kepada perkara ini. Selesaikan masalah ini, bawa solusi-solusi yang konkrit untuk mengatasi masalah ini,” tegasnya.

Sampai bila situasi yang tidak sihat ini akan berterusan? Tentunya ketika ini rakyat mahu melihat penyelesaian terbaik dalam menangani masalah pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi dengan penuh integriti dan hikmah, namun adakah ia sekadar harapan yang tinggal harapan?

Parti yang menang pilihan raya menjadi pembangkang manakala yang kalah pula menjadi kerajaan. Adakah 32 juta rakyat Malaysia bersedia dengan normal baharu ini?

Tidak menguntungkan rakyat

Konsep federalisme yang dilaksanakan tentu dapat direalisasikan. Malah, ia bukan lagi halangan untuk dijayakan dan pada masa sama seluruh warga Malaysia dapat menikmati kemakmuran secara bersama bersesuaian dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963.

Sedarkah kita, politik negara kini tidak lagi bergantung pada satu-satu parti atau gabungan politik lama dalam mentadbir negara selain mencari titik penyelesaian agar proses pemulihan negara dapat berjalan lancar dan inklusif.

Tetapi, ia tetap tidak menghadirkan pulangan yang baik apabila kerajaan kini hanya mengambil semula ahli-ahli parlimen yang jelas menampakkan hasil kerja yang tidak berkualiti, berintegriti apatah lagi kompetensi.

Presiden Ikatan Inteligensia Membangun Malaysia, Datuk Nizam Mahshar berkata, politik dalam kalangan rakyat perlu berubah. Ini kerana beliau melihat ia semakin tidak memberikan pulangan yang menguntungkan rakyat.

“Yang patut kita risaukan bergerak ke hadapan ini, adakah pertukaran rejim yang ada ini sebenarnya menyelesaikan masalah utama dalam politik? Bagi saya kita sebagai rakyat kena mengambil pengajaran bahawa persoalan nak mengubah individu itu tidak menyelesaikan masalah.”

Rakyat sudah tidak boleh buat apa-apa?

Apabila mantan Perdana Menteri dilantik semula mengetuai majlis pemulihan Negara (MPN), bertaraf menteri, menjadi persoalan kepada sekalian rakyat yang prihatin, adakah Perdana Menteri sekarang sekadar menjadi boneka?

Rakyat mula sangsi, adakah pimpinan yang diatur ini bertujuan memimpin negara demi kepentingan rakyat atau mengekalkan kuasa demi kepentingan peribadi?

Sebagai rakyat, tentunya kita mempunyai harapan terhadap kerajaan yang memerintah. Boleh jadi harapan itu sekadar tinggal harapan atau didengari dan diambil peduli oleh pihak kerajaan untuk merealisasikannya.

Namun, sebilangan besar rakyat Malaysia menjadi kecewa dengan tindakan Perdana Menteri yang kesembilan ini yang mengambil semula mereka dalam kalangan menteri sebelum ini, menerajui barisan kabinetnya.

Ketidakpuasan hati rakyat terzahir di media-media sosial, menandakan kerajaan kini sama saja seperti kerajaan sebelumnya yang diberi tanda pagar (#) kerajaan gagal.

Sebagaimana kata Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dalam program forum Analisis, “Kita perlu bergerak dengan cara baru. Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya.”

Menurutnya, rakyat sudah tidak boleh buat apa-apa.

“Dalam masa 21 bulan saja lagi kita perlu susun kerana kita yang buat mistake. Selama 60 tahun kita membiarkan rasuah berleluasa hingga rakyat sendiri terlibat dengan kancah tersebut.”

Katanya lagi, kebangkitan rakyat yang menolak value system (sistem nilai), kerana yang parahnya adalah disebabkan value system.

“Dengan value system ini membenarkan orang menjual kerusi, jual undi atau apa sahaja yang boleh dijual,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, mereka yang mengambil rasuah, terima rasuah, dan jika value system itu kuat, ketika ditawar, seseorang itu boleh menolak, ketika diminta ia boleh tidak mahu beri.

“Jadi, segala ini perlu kembali kepada value system.”

Tambahnya lagi, ini bermakna rakyat perlu tinggalkan, biar mereka baiki dan tugas rakyat menyelamatkan.

“Kita perlu sasarkan lima ke 10 tahun lagi, mereka yang duduk di universiti dan kita perlu tanamkan segala operating system itu berasaskan nilai-nilai yang ada pada agama masing-masing.”

Jangan putus harapan, teruskan berjuang

Naratif kerajaan kali ini seakan tiada bezanya, hanya berubah ketua iaitu perdana menteri sahaja. Barisan jemaah menterinya copy paste daripada kerajaan terdahulu.

Sedarkah mereka yang di atas sana, walaupun menggunakan slogan ‘Keluarga Malaysia’ yang merujuk kepada rakyat Malaysia, rakyat sudah sangat letih dengan situasi politik yang ‘dramanya’ sangat kontra dan hipokrit.

Situasi pandemik, masalah kewangan, ekonomi yang semakin lembab dan masalah sosial yang semakin meruncing seakan tidak nampak penyelesaiannya.

Apalagi pelajar-pelajar sekolah, Malaysia antara negara yang paling lama menutup sekolah di dunia. Dan kita juga antara negara yang paling lama berada dalam keadaan lockdown.

Sampai bila kerajaan akan benar-benar merealisasikan konsep ‘Malaysia Prihatin’ sebagaimana tema kemerdekaan yang disensasikan?

Dan sebilangan besar rakyat seperti biasa setiap hari meneruskan rutin berusaha meneruskan kehidupan mendapatkan rezeki untuk diri, isteri dan keluarga.

Adakah harapan yang diungkapkan rakyat dipeduli mereka atau hanya menjadi kekecewaan yang tidak berkesudahan sehingga tibanya PRU15?

Ditabur dengan gula-gula manifesto, meraih undi rakyat tanpa rasa malu setelah mempermainkan bertalu-talu?

Teruskan perjuangan dan doa kita sebagai rakyat untuk mendapatkan sebuah kerajaan yang berintegriti dan kompeten dalam melaksanakan amanah kepimpinan mentadbir negara Malaysia yang disayangi ini.


*ATRIZA UMAR merupakan Pegawai Penyiaran dan Komunikasi, Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Tiada ulasan: