"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

A Kadir Jasin: Tempo kempen naikkan semula kleptokrat semakin rancak

MALAYSIA DATELINE

Tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin menyifatkan kempen mengembalikan bekas pemimpin yang dikenali sebagai kluster mahkamah dan kleptokrat semakin rancak.

Dalam komen beliau menerusi facebooknya, Kadir berkata demikian ketika mengulas kenyataan ahli Parlimen Umno, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz yang menyifatkan negara rugi jika tidak menggunakan pengalaman Datuk Seri Najib Razak.

Bagi Kadir, yang kasihan adalah kakitangan awam dan GLC yang terpaksa bertuankan golongan ini.

“Salam sejahtera. Tempo kempen mengembalikan kluster mahkamah dan kleptokrat semakin rancak. Kasihan kakitangan awam dan GLC yang terpaksa bertuankan golongan ini. Wallahuaklam,” tulis Kadir.

Bagi beliau, melantik orang yang rendah moral ke sebuah organisasi akan menjatuhkan moral (semangat) kakitangannya.

Utusantv melaporkan, Datuk Seri Najib Tun Razak disebut-sebut mungkin akan dilantik sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf menteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Cakap-cakap mengenai pelantikan itu mula bertebaran semalam apabila Ismail Sabri menerima kunjungan bekas Perdana Menteri itu selama sejam di Putrajaya.

Perdana Menteri melalui Facebooknya berkata, mereka telah membincangkan tentang cabaran ekonomi dalam dan luar negara termasuk strategi mendepani pandemik Covid-19.

“Datuk Seri Najib komited dalam menyumbangkan tenaga, masa dan idea untuk bersama-sama sebagai satu pasukan demi Keluarga Malaysia tercinta,” katanya.

Sebelum ini, timbul spekulasi Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan akan dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pontian itu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada 21 Januari 2020, atas dua tuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta wang yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu.

Ahmad mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Tiada ulasan: