"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa lagi yang PAS mahu, tanya Amanah

Malaysiakini

Seorang pemimpin Amanah mendakwa PAS gagal menguruskan Terengganu di sebalik dua 'tuah' yang ditakdirkan kepada mereka - sumber asli dan stesen hidro terbesar negara.

Pengerusi Biro Alam Sekitar Amanah Nasional Raja Bahrin Shah Raja Ahmad berkata dengan kelebihan yang ada itu PAS - selaku kerajaan negeri - masih tidak mampu menguruskan negeri dan rakyatnya.

Katanya nyawa lebih 100,000 penduduk bandar Kuala Terengganu terancam jika berlaku hujan lebat dan disertai hanyutan batang kayu dan balak merempuh ampangan Tasik Kenyir.

Raja Bahrin yang juga bekas pengurus projek Pelan Induk Tasek Kenyir oleh Jabatan Perdana Menteri pada 1987 menegaskan dia mengkaji sendiri peraturan dan undang-undang ditetapkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) di situ.

"Pembangunan sekitar empangan utama Kenyir di Jenagor dan empangan saddle dam (empangan pelangi) perlukan kelulusan TNB kerana keselamatannya adalah di bawah tanggungjawab agensi itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebarang pembinaan struktur besar yang hendak dibina atau diubah - termasuk kewujudan tumbuhan semulajadi memegang bumi - mesti dikaji dan dapat kelulusan sebelum dilaksanakan.

"Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar mesti tampil memberi penjelasan, khususnya dia juga ada 'abang besar' dalam kerajaan iaitu Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, untuk membantu," katanya.

Pada 3 Mac lalu Ahmad Samsuri berkata apa yang tular di media sosial memaparkan sisa kayu terapung-apung dekat Tasik Kenyir adalah disebabkan hujan lebat, dan bukannya kesan kegiatan pembalakan di kawasan itu.

Rampas semula royalti

Tambah bekas setiausaha politik Abdul Hadi Awang itu lagi hujan terlalu lebat menyebabkan berlaku gelinciran tanah yang kemudian menyebabkan tanah runtuh dan membawa sisa kayu dan tumbuhan hanyut di Sungai Terengganu, di hilir Tasik Kenyir.

Samsuri berkata, siasatan mendapati tiada kegiatan pembalakan di kawasan itu.

Selepas memperoleh apa yang mereka hajatkan - iaitu dengan menjadi kerajaan - tambah Raja Bahrin, PAS mesti menunjukkan kewibawaan seperti apa yang selalu diuar-uarkan mereka.

"Allah bagi hasil minyak dan gas, PAS biarkan Perikatan Nasional dan Umno rampas semula royalti minyak lepas Pakatan Harapan (PH) memberikan hak itu kepada Terengganu.

"Allah menganugerahkan stesen jana kuasa hidro Sultan Mahmud di Kenyir, tapi PAS membiarkan kayu balak yang hanyut tidak diurus bertahun-tahun di tasik.

"Kedua-dua itu memberikan hasil tenaga lumayan dan besar tetapi PAS gagal memelihara kedua-duanya untuk rakyat Terengganu.

"Apa lagi yang PAS mahu?" katanya.

Tiada ulasan: