"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hanya satu SOP kekal dalam fasa peralihan ke endemik

Raja Noraina Raja Rahim

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hanya satu prosedur operasi standard (SOP) kekal dikuatkuasakan dalam fasa peralihan ke endemik yang bermula pada 1 April ini, berbanding 181 SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebelum ini.

Menteri Kanan Pertahanan yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, penguatkuasaan SOP mengikut Akta 342 itu mengandungi 10 keperluan yang perlu dipatuhi.

Menurutnya, keperluan itu adalah memakai pelitup muka di tempat awam, waktu operasi mengikut lesen perniagaan dan menjaga kebersihan tangan.

"Antara lain melakukan ujian pengesanan Covid-19 berdasarkan Strategi Pengujian Covid-19, menguruskan kes disyaki atau disahkan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menggunakan MySejahtera serta MySJTrace untuk pendaftaran kemasukan. 

"Selain itu, memastikan penjarakan fizikal satu meter, memastikan pengudaraan dan sistem ventilasi baik, memastikan kebersihan premis serta mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu.

"Kesemua keperluan ini sudah biasa diamalkan oleh orang ramai dalam Fasa PPN, jadi saya percaya setiap lapisan masyarakat boleh terus melaksanakannya dengan sebaik mungkin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, sembilan garis panduan dibangunkan kerajaan bagi membantu rakyat membuat pilihan lebih selamat ketika menjalankan aktiviti harian demi menjaga keselamatan diri, keluarga dan orang sekeliling.

Bagaimanapun, beliau berkata, garis panduan itu tidak akan dikuatkuasakan sebaliknya amat digalakkan untuk dipatuhi masyarakat.

Katanya, garis panduan itu berkaitan pengangkutan dan perjalanan; pendidikan dan penjagaan; aktiviti peruncitan, makanan dan minuman; ruang kerja tertutup; kawasan kerja terbuka; acara, majlis, hiburan dan tarikan pelancong; hotel dan penginapan tetamu; keagamaan, perkahwinan dan pengebumian; serta aktiviti dan fasiliti sukan, rekreasi dan riadah.

"Bagi memudahkan orang ramai memahami lebih lanjut, satu laman sesawang sedang dibangunkan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sudah di peringkat akhir.

"Ia dijangka dapat diakses dua minggu sebelum 1 April sekali gus membantu mereka membuat persiapan sebelum fasa baharu bermula," katanya yang akan memaklumkan kepada umum sebaik laman sesawang boleh diakses," katanya.

Tiada ulasan: