MALAYSIA DATELINE
Walaupun Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan besar dengan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diumum tengah malam tadi, ada jentera petugas Umno kecewa dengan kepimpinan tinggi parti itu.
Laungan ‘Bubar Parlimen’ pada saat Umno-BN meraikan kemenangan semalam dilihat oleh sesetengah ahli parti itu sendiri sebagai tidak menghormati Menteri Besar Johor dan Perdana Menteri.
Padahal, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno dan Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad, dianggap ahli Umno tertentu banyak memberi sumbangan dalam kejayaan BN di selatan tanah air itu.
Ada ahli Umno nyata ‘semak mata’ melihat penonjolan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam meraikan keputusan PRN Johor malam tadi.
Berikut luahan Ramlan Yusof seorang ahli Umno yang juga jentera petugas Zon Tengah yang selama 16 hari berkempen dalam PRN Johor:
Belum pernah dalam sejarah di mana-mana PRK atau PRN sebelum ini, Perdana Menteri turun sekerap yang dilakukan Ismail Sabri Yaakob dalam PRN Johor.
Malah, beliau menjelajah seluruh Johor untuk bertemu dengan semua kepimpinan bahagian bagi memberi semangat dan meninjau perjalanan kempen.
‘Beruk upahan yang tertelan lobak’, jentera petugas parti kecewa Umno dipimpin orang salah
Ada ahli Umno menyifatkan tidak wajar laungan ‘Bubar Parlimen’ dihadapkan kepada Perdana Menteri.
Selain tenaga, masa dan kesungguhan, saya yakin bukan sedikit wang ringgit yang beliau habiskan untuk parti dan calon dalam PRN Johor ini.
Semuanya tidak lain adalah untuk memastikan UMNO dan BN mencapai kejayaan yang diidam-idamkan.
Berbanding dengan Najib Razak atau Bossku dan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang dilihat memilih kawasan Parlimen atau calon tertentu untuk dibantu, Perdana Menteri sebaliknya berjumpa dan membantu semua kawasan serta menyeluruh.
Semasa kempen juga kedengaran suara-suara nakal daripada calon dan kepimpinan bahagian yang mengeluh bahawa Bossku hanya datang untuk makan-makan dan kemudian terus balik.
Seolah-olah berpenat jentera parti datang beramai-ramai menyambut beliau tidak lebih hanya untuk jadi “contents” dalam media sosialnya saja.
Bagi yang pernah jadi calon, ada juga yang dikatakan mengeluh, ini kali pertama dalam sejarah di mana parti dan Presiden tidak membantu calon dari segi kewangan.
Kesemua peruntukan untuk menggerakkan jentera adalah datang daripada UMNO Johor semata-mata.
Dalam hal ini, mujurlah kepimpinan UMNO dan BN Johor sangat beruntung kerana mempunyai seorang pemimpin yang bertanggungjawab, memahami serta hebat seperti Hasni Mohamad.
Beliaulah yang membantu semua calon dan kawasan DUN seluruh Johor selain dari bantuan yang dihulurkan oleh menteri-menteri UMNO serta kepimpinan UMNO negeri-negeri yang lain.
Saya sempat bertanya kepada sorang Pengerusi Perhubungan UMNO negeri di sebuah negeri di utara, berapa banyak yang ibu pejabat UMNO bagi untuk PRN Johor kepada setiap calon, selamba dia Jawab.. ‘Sekupang pun Presiden tak bantu kali ini.’
Tetapi bila UMNO dan BN diumumkan menang semalam, bukan Perdana Menteri, Hasni atau UMNO negeri-negeri yang diberi penghargaan, sebaliknya Zahid Hamidi telah menghadiahkan kemenangan serta terima kasih kepada Bossku.
Yang tidak begitu membantu, hanya bermain di media sosial, bahkan merupakan liabiliti sepanjang kempen kerana diserang pelbagai parti lawan telah dijulang sebagai hero yang sebenar.
Bahkan, kalau mahu dikira, tiada sekeping pun poster gambar Presiden dan Bossku yang berani UMNO jual sepaniang kempen berlangsung, melainkan yang ada hanyalah gambar Perdana Menteri dan Hasni.
Saya amat bersimpati kepada Menteri Besar Johor yang tidak diraikan dan Perdana Menteri yang jelas dimalukan dengan laungan ‘Bubar Parlimen’ pada saat UMNO dan BN meraikan kemenangan semalam.
Tidak sewajarnya laungan itu dihadapkan kepada Perdana Menteri, melainkan untuk menekan dan menunjukkan rasa tidak hormat kepadanya sebagai ketua kerajaan.
Bukan sedikit jasa Perdana Menteri dalm PRN Johor ini dan saya yakin Bangsa Johor tidak berperangai begitu, semua yang terpamer semalam itu adalah gelagat sekawan ‘beruk upahan yang tertelan lobak’ yang dipercayai datang dari luar negeri Johor.
Saya sedih melihat UMNO sekarang ini kerana ia sedang dipimpin oleh orang yang salah dan dikelilingi insan-insan yang yang hanya perasan mereka adalah hebat.
Ingatlah, perjuangan belum lagi selesai dan rakyat menunggu PRU15 sebagai detik sebenar di mana mereka akan keluar beramai-ramai untuk menolak pemimpin yang kotor.
PRN bukan ukuran atau sandaran kekuatan sokongan rakyat, UMNO perlu menukar nakhoda dengan segera jika ingin diterima rakyat seperti mana Hasni diterima oleh Bangsa Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan