Malaysiakini
Farhash bidas Rafizi: 'Biadab, henti main politik murahan'
Bekas ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador membidas pemimpin PKR Rafizi Ramli, memintanya menghentikan 'permainan politik murahan' dan bersikap jujur.
Farhash menyentuh kenyataan Rafizi ketika temubual bersama radio BFM 89.9 pagi tadi berhubung keengganannya bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti pada Mei.
Bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim itu mendakwa kenyataan bekas ahli parlimen Pandan dalam temubual tersebut banyak berbaur sindiran terhadap presiden PKR.
“Rafizi juga secara biadab menyatakan bahawa dia memilih untuk tidak bertanding jawatan presiden supaya tidak menimbulkan kacau-bilau dan mengganggu mesej-mesej parti kepada umum.
“Persoalan penting yang harus dijawab adalah, adakah beliau merasa layak untuk menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden?
“Jika dirasakan begitu, gelanggang demokrasi ini dibuka seluasnya. Biar anggota PKR melihat wajah sebenar kerakusan kuasa yang sanggup membelakangkan kepimpinan parti,” cabarnya dalam satu kenyataan hari ini.
“Saya ingin menasihatkan saudara Rafizi untuk bersikap jujur pada diri sendiri dan berhenti bermain politik murahan sebegini,” kata Farhash lagi.
Terdahulu, Rafizi berkata dia tidak akan bertanding jawatan presiden PKR untuk mengelakkan mengganggu perhatian awam kepada mesej-mesej parti dan seterusnya mencetuskan keadaan kelam-kabut.
Sebaliknya, kata Rafizi tumpuan boleh beralih kepada pertandingan antaranya dan presiden PKR, bukannya masalah rakyat, seperti isu kesihatan awam.
Mengulas mengenai pengumuman Rafizi untuk kembali aktif dalam politik, Farhash berkata kenyataan bekas naib presiden PKR itu seperti terdapat agenda tersembunyi demi mencapai cita-cita sebenarnya.
“Rafizi yang banyak berkias dalam kenyataannya dengan menyindir presiden parti sebagai lemah dan menyifatkan percutiannya dari aktif dalam PKR sebelum ini adalah kerana tidak bersetuju dengan keputusan dibuat pimpinan,” katanya.
“Sebagai orang parti, dia sewajarnya lebih beradab sejurus kembali ke gelanggang politik dan sentiasa berhati-hati dalam setiap pertuturannya agar tidak mengguris hati semua anggota PKR,” katanya.
Semalam, Rafizi berkata dia akan kembali aktif dalam politik dan bertanding jawatan timbalan presiden PKR dalam pilihan raya parti akan datang.
Pengumuman itu dibuat setelah PKR dan Pakatan Harapan terus menunjukkan prestasi buruk dalam pilihan raya negeri, terbaru di Johor, Sabtu lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan