"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tanya Hadi mengapa tak bantah Akta Laut Wilayah, MB Terengganu diberitahu

Bernama

PADANG BESAR: Keputusan kerajaan Terengganu menolak Akta Laut Wilayah 2012, menerusi usul diluluskan di persidangan DUN semalam, dilihat sebagai satu tindakan sinikal dan hipokrit.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap kerajaan berkata ini kerana tidak ada seorang pun Ahli Parlimen PAS dari negeri itu, yang membantah rang undang-undang (RUU) tersebut ketika ia dibentang, dibahas dan diluluskan di Dewan Rakyat, sebelum ini.

“Saya ambil maklum pandangan menteri besar (Ahmad Samsuri Mokhtar) melalui satu hantaran di Facebook, semalam dan saya ambil peluang untuk menelaah dan meneliti semula hansard ataupun penyata rasmi Dewan Rakyat pada 18 April 2012 sewaktu RUU Laut Wilayah 2012 dibentang, dibahas dan diluluskan.

“Dalam sesi yang mengambil masa lebih kurang dua, tiga jam terdapat 21 Ahli Parlimen yang terlibat dalam perbahasan bagi Akta Laut Wilayah ataupun RUU Laut Wilayah 2012 pada waktu itu.

“Tidak ada seorang pun Ahli Parlimen dari Terengganu terutama daripada parti PAS, termasuklah Ahli Parlimen Marang terlibat dalam perbahasan pada waktu itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Hab Rangkaian Gentian Optik Point of Presence Zon Utara.

Fahmi berkata walaupun ada beberapa Ahli Parlimen PAS dari Kelantan yang bangkit membahaskan RUU tersebut, namun tiada Ahli Parlimen PAS dari Terengganu yang mengambil bahagian.

Justeru, beliau berkata Samsuri perlu bertanya kepada Ahli Parlimen Marang Hadi Awang, mengapa presiden PAS itu tidak menggunakan peluang pada waktu itu untuk melakukan bantahan ketika RUU tersebut dibentang dan dibahaskan.

“Jangan jadi hipokrit, menteri besar Terengganu perlu tanya dengan Ahli Parlimen Marang kenapa waktu RUU ini dibahaskan, Ahli Parlimen Marang diam seribu bahasa dan kalau sekiranya isu dia adalah mengenai kuasa, kenapa tidak ada satu perkara pun dilakukan dalam tempoh 33 bulan parti PAS terlibat dalam kerajaan di Putrajaya,” katanya.

Fahmi berkata menteri besar Terengganu itu seharusnya duduk berbincang dengan kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim, untuk mencari jalan penyelesaian dalam perkara tersebut.

Semalam, Samsuri dilapor berkata sidang DUN Terengganu menolak Akta Laut Wilayah 2012, kerana ia membataskan hak negeri itu menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika (5.5km) daripada garis air surut wilayah Terengganu.

Tiada ulasan: