Malaysiakini
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mendakwa tindakan pihak universiti berkenaan menjemput ahli akademik yang mempunyai rekod "kontroversi lampau" merupakan suatu kecuaian yang disengajakan.
Dalam satu kenyataan media hari ini, KMUM juga mengecam keras kenyataan yang dikeluarkan oleh profesor sains politik dari Portland State University’s, Bruce Gilley, ketika menyampaikan syarahan di institusi pengajian tinggi tersebut.
“KMUM ingin menyatakan bahawa kenyataannya di dalam syarahan tersebut merupakan satu perkara yang telah mencetuskan fenomena dalam kalangan mahasiswa, malah membangkitkan kemarahan ramai pihak terutamanya kami.
“Kebebasan berakademik memang tidak salah, akan tetapi syarahan tersebut dijadikan ruang untuk menyebarkan dakyah Zionis.
“Kecuaian yang disengajakan pihak UM menjemput ahli akademik tersebut yang mempunyai rekod kontroversi lampau tidak boleh dijadikan alasan lagi,” tegas kenyataan itu.
Terdahulu, Kementerian Pengajian Tinggi mengarahkan semua program dan aktiviti melibatkan Bruce Gilley itu dibatalkan ekoran kenyataannya yang menyentuh sensitiviti negara ini.
Dalam syarahan tersebut Gilley mendakwa ada pemimpin politik yang menyokong 'Holocaust kedua' dengan merujuk kepada tindakan yang ingin dikenakan ke atas Israel.
Dia juga memetik kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, untuk menegaskan dakwaan tersebut.
Gilley bagaimanapun dipercayai sudah meninggalkan negara ini.
KMUM berkata, pengurusan tertinggi UM perlu bertanggungjawab dalam menjelaskan pendirian serta memberikan respons terhadap isu tersebut dengan segera.
“Kami yakin langkah tersebut mampu meredakan serta menjawab segala isu dan persepsi yang sedang bingit di dalam negara sekarang.
“Kami juga menuntut pentadbiran tertinggi UM supaya melibatkan KMUM sepenuhnya dalam apa-apa program yang dianjurkan di semua peringkat pusat tanggungjawab yang ada di universiti ini.
"Setiap program juga perlu mendapat kelulusan daripada presiden KMUM atau sekurang-kurangnya jawatankuasa tertinggi kabinet KMUM bagi memastikan perkara yang menganggu gugat sensitiviti serta mengundang kemarahan rakyat Malaysia tidak berulang lagi," katanya.
Selain itu, KMUM menegaskan mereka menyokong sebarang agenda dalam memperjuangkan isu Palestin sama ada di dalam mahupun luar negara.
“KMUM juga memohon agar semua mahasiswa dan mahasiswi UM tidak memburuk-burukkan keadaan dengan menyebarkan spekulasi yang tidak benar.
“Kami akan terus menyokong dan mendoakan agar rakyat asal Palestin tabah dan cekal dalam memperjuangkan tanah Palestin yang dicintai,” katanya.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi pihak pengurusan UM untuk mendapatkan kenyataan lanjut berhubung isu berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan