Agensi
Dalam video tular yang dimuat naik oleh Wang di Douyin, seorang pekerja kren dilihat mengiringi seorang wanita muda menaiki pelantar. FOTO Douyin
Beijing: Wanita di China, baru-baru ini, mengupah kren untuk mengangkat menantunya yang baru bersalin secara pembedahan untuk pulang ke rumah mereka di tingkat tujuh sebuah bangunan, lapor South China Morning Post.
Menantunya itu dibenarkan keluar dari hospital pada penghujung Mac lalu, sebelum pulang ke rumah ke Shenyang, wilayah Liaoning, timur laut China.
Tanpa lif di dalam bangunan itu, wanita dikenali sebagai Wang, bimbang keadaan menantunya, jika menaiki tangga.
Dia meminta anaknya menghubungi syarikat kren supaya mereka boleh menggunakan jentera itu.
Dalam video tular yang dimuat naik oleh Wang di Douyin, seorang pekerja kren dilihat mengiringi seorang wanita muda menaiki pelantar, manakala jentera itu mengangkat mereka ke balkoni rumahnya.
"Saya gembira mempunyai cucu. Menantu perempuan saya sudah keluar dari hospital dan pulang dengan menaiki kren.
"Saya ingin menggembirakan menantu saya dan membantunya kekal sihat. Saya bercadang untuk memanjakannya sebanyak yang saya boleh.
"Dia sudah berkahwin dengan anak saya dan salah seorang daripada keluarga kami. Jika kita tidak menjaganya, siapa lagi?" kata Wang dalam catatan Douyin.
KREN yang digunakan untuk mengangkat wanita itu ke rumahnya. FOTO Douyin
Pemilik kren itu berkata, itu adalah kejadian pertama seumpamanya sepanjang 15 tahun terbabit dalam perniagaan itu.
"Kren kami boleh mencapai ketinggian 30 meter dan boleh menanggung berat ratusan kilogram. Tiada masalah keselamatan," kata pemiliknya.
Keluarga yang berusaha lebih keras untuk menjaga wanita selepas bersalin sering menjadi trend di media sosial di China.
- hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan