BHarianonline
PETALING JAYA: Seorang tukang cuci warga Indonesia didenda RM2,800 atau dipenjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki barang kemas bernilai RM4,000 kepunyaan seorang wanita yang dilaporkan hilang minggu lalu.
Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha menjatuhkan hukuman itu ke atas Mega Mustika, 34, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki barang curi.
Wanita itu turut berdepan satu pertuduhan utama iaitu mencuri barang kemas berkenaan, namun dia tidak mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa memiliki barang curi iaitu seutas rantai leher, dua rantai tangan dan dua cincin emas milik seorang wanita berusia 44 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai pajak gadai di Jalan Besar Sungai Way di sini pada jam 4.05 petang, 20 April lalu mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, Mega datang membersihkan sebuah rumah di Kota Damansara dan selepas tertuduh pulang, pengadu (tuan rumah) mendapati almari dalam sebuah bilik berada dalam keadaan berselerak.
Pengadu kemudian memeriksa almari itu dan mendapati barang kemas miliknya tiada. Pengadu kemudian cuba mencari tertuduh kerana mengesyaki dia mencuri barang kemas berkenaan, namun tidak ditemui.
Satu laporan polis dibuat dan wanita itu berjaya ditangkap. Hasil siasatan mendapati barang kemas berkenaan sudah digadai.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa' Zamri memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh, namun peguam Datin Raj Preet Kaur yang mewakili Mega memohon denda minimum atas alasan anak guamnya seorang ibu tunggal dan mempunyai tanggungan keluarga. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan