"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi kritik negara-negara bantu rakyat Palestin tinggalkan Gaza

Malaysiakini 

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengkritik negara-negara yang memudahkan rakyat Palestin yang mahu melarikan diri dari Gaza.

Dalam catatan Minda Presidennya semalam, Abdul Hadi tidak menamakan secara khusus negara tersebut namun menyifatkan mereka sebagai "mengikut agenda Israel dan Barat".

Dia turut menyifatkan rakyat Palestin yang meninggalkan negara itu dan Gaza sebagai tidak berprinsip.

"Rakyat Palestin yang menyokong kumpulan Islam Hamas terus bertahan di Gaza walaupun mereka dibelasah habis-habisan sehingga ramai yang telah gugur syahid.

"Mereka tetap bertahan tidak mahu keluar dari Palestin dan Gaza yang dikepung, walaupun telah disediakan kemudahan keluar untuk menyelamatkan diri oleh beberapa pihak.

"Hanya kalangan yang tidak berprinsip sahaja akan keluar meninggalkan Palestin dan Gaza," katanya yang juga ahli parlimen Marang.

Selain itu, Abdul Hadi turut mengkritik negara-negara yang menyokong penyelesaian dua negara untuk Palestin dan Israel, termasuk kerajaan Malaysia.

"Pendirian PAS bersama kerajaan, parti dan NGO menyokong perjuangan Palestin menentang kezaliman Zionis dengan istiqamah.

"Namun, PAS berbeza dengan pihak yang lain kerana PAS menolak penyelesaian dua negara yang disokong oleh kerajaan PH kini yang bersama Barat mendukung penyelesaian dua negara tersebut dan menyokong Palestin secara ‘dibelah-bahagi’," katanya lagi.

Untuk rekod, pentadbiran-pentadbiran Malaysia yang terdahulu turut menyokong penyelesaian dua negara bagi menamatkan konflik yang berpanjangan tersebut.

Ini termasuklah pada 2021 ketika pentadbiran negara dipimpin PN, di mana PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan.

‘Wanita, kanak-kanak dibolehkan keluar’

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan membantu membawa keluarga CEO Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman untuk meninggalkan Gaza dan pulang ke Malaysia.

Menurut laporan Sinar Harian pada 13 April lalu, isteri Nadir - seorang warga Palestin - dan anak-anak mereka berada di Gaza selama enam bulan sejak konflik antara Israel dan Palestin tercetus pada Oktober lalu.

Keluarga Nadir bersama Anwar
Nadir berkata keluarganya pada mulanya bertahan di sana namun memutuskan untuk meninggalkan Gaza selepas anak bongsunya mula mengalami komplikasi pernafasan.

Menurut laporan itu lagi, Nadir berkata dia menghubungi beberapa ulama di Palestin dan Malaysia bagi mendapatkan pandangan berkenaan hukum meninggalkan medan perang di Gaza.

Katanya, dia menerima jawapan yang sama iaitu wanita dan kanak-kanak dibolehkan keluar selagi ada niat untuk kembali di sana apabila keadaan mengizinkan.

“Kami beristikharah dan bertawakal, perjuangan tidak akan berakhir tetapi tetap diteruskan walaupun tidak berada di sana,” katanya lagi, seperti dipetik.

Tiada ulasan: