FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis telah menahan suspek kes seorang jururawat yang dipercayai dipukul dalam kejadian di Jalan Simpang Tiga Dangi, dekat Johol, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, petang semalam.
Ketua Polis Kuala Pilah, Amran Mohd Gani, berkata permohonan reman terhadap suspek juga sudah dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Pilah pagi tadi.
“Seorang lelaki ditahan di IPD Kuala Pilah, petang semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes jururawat wanita yang ditarik dari keretanya, sebelum dipukul sehingga separuh sedar malam Jumaat lalu.
“Suspek yang berusia 34 tahun direman selama empat hari bermula hari ini. Siasatan lanjut masih dijalankan berkenaan pembabitan suspek dalam kes ini,” katanya hari ini, menurut Berita Harian.
Bagaimanapun beliau berkata, polis masih menjalankan soal siasat terhadap suspek termasuk hubungannya dengan wanita itu untuk mengenal pasti motif kejadian.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 30-an ditemui tertiarap dan kasut tertanggal di luar keretanya dengan enjin masih hidup kira-kira 10 malam.
Polis berkata, berdasarkan laporan awal mangsa mengalami luka pada kepala akibat dipukul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan