"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga Indonesia putus kaki kiri digilis treler selepas tikam pengawal keselamatan

Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

Chukai: Pekerja ladang warga Indonesia yang cuba melarikan diri selepas menikam pinggul pengawal keselamatan di ladang di Bandar Seri Bandi di sini, semalam putus kaki kiri selepas digilis treler.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 2 pagi ketika suspek berusia 30-an mahu melarikan diri selepas kejadian berkenaan.

Beliau berkata, sebelum kejadian itu, suspek dikatakan menikam mangsa yang berusia 30-an kerana tidak mahu mengikut arahan mangsa supaya pulang ke rumah kongsinya.

Katanya, mangsa dikatakan meminta suspek balik ke rumah selepas melihatnya meracau dan bercakap seorang diri sambil membawa parang di sekitar kawasan perumahan dan pejabat ladang.

"Ketika dalam perjalanan ke rumah kongsi, suspek bertindak melarikan diri ke arah ladang kelapa sawit menyebabkan mangsa mengejarnya sebelum suspek menikam mangsa menggunakan pisau.

"Sebaik menikam mangsa, suspek segera melarikan diri dan cuba menahan beberapa kenderaan namun gagal.

"Suspek kemudian terserempak dengan sebuah treler yang keluar dari Plaza Tol Seri Bandi menuju ke arah Air Jernih dan bertindak menahan kenderaan itu namun pemandunya tidak memberhentikan treler dipandunya.

"Suspek cuba memanjat treler itu namun tidak berjaya menyebabkan dia jatuh dan kakinya digilis treler berkenaan," katanya.

Hanyan berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa yang cedera pada pinggul sebelah kiri dirawat di Hospital Kemaman manakala suspek yang ditemui orang awam pada 5 pagi hari sama turut dirawat di hospital sama.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan pemandu treler yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

"Suspek yang mengalami kecederaan pada kiri menjalani pembedahan dan kaki kirinya yang digilis treler itu terpaksa dipotong semalam.

"Siasatan sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan senjata dan ugutan jenayah," katanya.

Tiada ulasan: