"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja bawah umur hilang bersama teman lelaki, tidak pulang rumah lepas minta izin mandi di Bukit Merah

NUR IFTITAH ROZLAN
Nur Dania Safia dilaporkan hilang selepas meminta izin untuk keluar mandi di Bukit Merah Laketown Resort, Semanggol, Perak pada Sabtu.
SEORANG bapa di Perak meluahkan kesedihannya selepas mendapat tahu anak perempuannya berusia 16 tahun dilaporkan hilang sejak Sabtu.

Menurut Husin Saari, 54, kali terakhir dia bercakap dengan anaknya, Nur Dania Safia Husin adalah pada pukul 1.30 petang.

Pemandu lori itu berkata, anaknya meminta izin untuk keluar mandi bersama rakan dan juga ibu saudara rakannya di Bukit Merah Laketown Resort, Semanggol, Perak.

"Namun sekitar pukul 6.30 petang, saya sampai di rumah dan dapati anak saya masih belum pulang ke rumah.

"Saya cuba menghubunginya namun gagal. Saya buat laporan polis di Balai Polis Semanggol, Simpang Ampat pada Sabtu malam kerana bimbang berlaku perkara yang tidak diingini ke atas anak perempuan saya," katanya kepada Majoriti.

Husin berkata, setelah disoal siasat pihak polis, rakan kepada Nur Dania Safia yang menghantarnya ke pusat rekreasi itu memberitahu bahawa remaja berkenaan berjanji untuk berjumpa rakan lelakinya di sana.

Jelasnya lagi, dia sudah pun menghubungi keluarga lelaki tersebut, namun mereka juga gagal mengesan keberadaan remaja berusia 15 tahun itu.

"Saya difahamkan remaja lelaki itu adalah rakan di sekolahnya juga.

"Dalam pengetahuan saya, anak saya bukan jenis yang selalu keluar rumah dan dia tidak menunjukkan kelakuan yang aneh sebelum hilang," ujar bapa kepada empat cahaya mata itu.

Setakat laporan ini ditulis, tiada sebarang kenyataan media dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. — Majoriti

Tiada ulasan: