"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kalaulah PN tidak angkuh…

Hishamuddin Aun

Keletah Khlir Mohd Nor yang berkongsi bagaimana beliau terpaksa guna duit sendiri untuk sedekah kematian harus antara yang paling menambat perhatian dan diingati ramai. Malah, ketiadaan peruntukan sama rata untuk wakil rakyat pembangkang pasca PRU15 turut menyukarkan Ahli Parlimen Ketereh itu membuka operasi pusat khidmat di kawasannya hingga kini.

“Saya pergi melawat orang mati pun satu hari lima ke tujuh orang, penduduk kawasan saya 300,000 orang, kena bagi sedekah guna duit saya sendiri,” katanya ketika sesi perbahasan pada persidangan khas membahaskan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, 12 Sept tahun lalu.

Dengan video ucapannya itu yang tular dan mengundang pelbagai reaksi – baik simpati mahupun antipati – ia menjadi pengenalan terbaik buat bekas mejar jeneral tentera berusia 65 tahun itu selaku Ahli Parlimen penggal pertama menggantikan Annuar Musa yang lebih sinonim dengan Ketereh selepas dua penggal diwakilinya antara 5 Mei 2013 hingga 19 Nov 2022.

“Saya mohon YB Tambun berlaku adil kepada semua Ahli Parlimen pembangkang. Peruntukan kena bagi, saya hadapi masalah, pusat khidmat saya tak boleh operasi sebab saya tak boleh nak sewa, saya tak boleh nak bayar gaji. YB Tambun dengarlah rayuan saya ni. Kalau boleh, bulan ni dah masuk dah duit peruntukan untuk kami semua,” sambungnya.

Mendengar kerendahan hati dalam rayuannya yang bukan hanya untuk dirinya sendiri, malah mewakili Ahli Parlimen pembangkang selebihnya, Khlir dan rakan-rakan di blok bertentangan dengan kerajaan harus tidak perlu menunggu terlalu lama, tapi terpaksa memendam rasa atas sebab-sebab yang dihuraikan di penghujung komentar ini.

Berselang cuma dua bulan, nada pertuturan Khlir sebaliknya berubah sama sekali semata-mata kerana enggan menuruti empat rakannya daripada Bersatu – Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) – menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk mendapat peruntukan wakil rakyat.

“Saya sudah tak fikir tentang peruntukan Ahli Parlimen dan saya tak mengharap apa-apa lagi. Paling penting ialah berjuang bersama PN (Perikatan Nasional) selagi dipilih rakyat Ketereh,” katanya kepada FMT pada 10 Nov 2023.

Kita fahami kekecewaannya terhadap Anwar selepas rayuan dibuatnya belum dipenuhi, tapi pada masa sama, beliau harus turut hampa dengan kepimpinan PN yang tidak mengambil daya usaha berunding segera dengan Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof seperti disyaratkan Anwar jika mereka inginkan peruntukan berkenaan.

Pada Sabtu, Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee berkata PN sedia berunding dengan kerajaan selepas perdana menteri memberi jaminan tidak akan mengenakan syarat untuk wakil rakyat pembangkang menyokongnya bagi mendapat peruntukan. Ini susulan kenyataan Anwar selepas solat Jumaat di Kajang bahawa syarat yang bakal terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) kepada pembangkang hanya melibatkan kestabilan kerajaan bagi menjamin ekonomi negara.

Terdahulu, Fadillah dalam kenyataan pada Khamis berkata, Putrajaya bersetuju mempertimbangkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, dengan draf MoU akan dirangka untuk rundingan seterusnya. Maknanya, akan ada rundingan lagi selepas ini untuk dapatkan persetujuan pembangkang selepas draf MoU dirangka dan dipanjangkan kepada mereka sebagai langkah perundingan seterusnya, bukannya terus dipaksakan kerajaan ke atas pembangkang.

Sebenarnya, jaminan Anwar itu bukan pun perkara baharu andai pembangkang peka untuk merujuk kenyataan perdana menteri dari tahun lalu lagi. Lebih sedikit daripada tiga bulan selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 pada 24 Nov 2022, Anwar berkata secara prinsipnya, beliau bersetuju memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang seperti diberikan kepada Ahli Parlimen kerajaan.

Cuma syaratnya ialah ia perlu dimulakan dengan proses rundingan kedua-dua pihak untuk membincangkan kaedah terbaik, selain mencari titik persefahaman. Ia mencontohi langkah Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi perdana menteri kesembilan (21 Ogos 2021-10 Okt 2022) yang mengadakan rundingan secara baik dengan Pakatan Harapan ketika itu untuk peruntukan diberikan.

“Tetapi, proses rundingan belum berlaku, yang ada proses permusuhan. Jadi, saya usulkan mulakan proses rundingan dan saya akan tugaskan ketua whip dan menteri berkenaan runding dan kita putuskan.

“Kalau cepat selesai, cepat lulus. Kalau selesai esok, lusa kita boleh lulus,” kata perdana menteri menjawab soalan Shahidan Kassim (PN-Arau) pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat pada 7 Mac 2023 – lebih sedikit daripada setahun lalu.

Ia diulangi Anwar dalam sidang Dewan Rakyat pada 28 Nov 2023 dengan menegaskan beliau tidak pernah menghalang atau meletakkan syarat ketat dalam soal pemberian peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, sebaliknya hanya mahu peraturan supaya berunding dengan timbalan perdana menteri dihormati seperti kelaziman dalam sistem demokrasi.

“Tiga tahun kamu dalam kerajaan, (bekas) menteri-menteri ada di sana (blok pembangkang), apa peruntukan yang diberi kepada orang lain dan pembangkang ketika itu? Mengapa dulu tak beri? Wakil (kerajaan terdahulu) yang berunding dulu kini di sebelah sana (pembangkang)…dia tahu prosesnya berapa kali berunding, tapi sekarang macam tak tahu langsung.

“Ini bincang pun tidak, tapi sombong bukan main. Saya (dulu) sebagai ketua pembangkang, bila dipanggil jumpa, saya hadir. Sikap (pembangkang) itu mesti reciprocal (bersifat timbal balik),” kata perdana menteri dalam sesi MQT ketika itu.

Tahun lalu, PN enggan meneruskan rundingan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang selepas mendakwa Fadillah meminta mereka menulis surat dengan menyatakan jaminan tertentu. Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan pada 3 Nov mengesahkan telah bertemu dua kali dengan timbalan perdana menteri untuk berbincang, tapi beliau tidak pula menghuraikan apa jaminan dituntut kerajaan. Syarat menyokong perdana menteri tentunya terkecuali.

“Apa yang diminta Fadillah, iaitu mahu pembangkang tulis surat kepada mereka beri jaminan tertentu dan sebagainya, dan setelah kami bincang (bersama Ahli Parlimen PN) itu tak sepatutnya berlaku. Semasa di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan yang tawarkan kepada pembangkang untuk tandatangan perjanjian (MoU) yang disediakan, kemudian diberikan (peruntukan), tidak ada masalah apa-apa. Ini kenapa pula kita yang perlu tulis surat, seolah-olah kita memohon dan kita memberi aku janji tertentu, tidak perlulah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PN di Sri Hartamas.

Keangkuhan PN itu kemudian dibayar dengan harga mahal apabila dua lagi Ahli Parlimennya – Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) – memilih menyusuli empat rakan mereka terdahulu menyatakan sokongan terbuka kepada Anwar demi dapatkan peruntukan.

Dalam pada itu, kenyataan terbaharu Muhyiddin Yassin mempersoalkan keikhlasan kerajaan dalam merangka MoU membabitkan peruntukan mencerminkan sikap sebenar pembangkang yang mahukan Anwar menuruti kehendak mereka.

“Kalau dia ikhlas, tak payah buat MoU,” kata pengerusi PN itu pada sidang media Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu di Kuala Kubu Baharu semalam.

Jika selepas ini peruntukan kepada pembangkang terus terlengah, Khlir yang menghabiskan lebih 40 tahun dalam tentera harus tahu ke arah siapa “mesingan” patut disasarkan.

Tiada ulasan: