"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda Pas boleh kritik dasar kerajaan bukan tunggang isu kaum, agama

Harapandaily

ADAM ADLI ABD HALIM

Salah guna kuasa memang adalah penyakit yang sering menghinggapi pemimpin politik.

Kesannya bila hilang kuasa, ada yang jadi sasau sebab tak tahu nak buat apa bila tak ada kuasa. Pemimpin jadi rosak.

Mula hilang arah sampai nak tebuk atap. Rakyat pun meluat dan hilang rasa hormat. Penyakit ini perlu dijauhi dan dimusuhi oleh pemimpin.

Kemudian ada satu lagi penyakit, bahayanya bukan pada pemimpin sahaja, malah lebih parah ia muncul macam pandemik yang menular dalam kalangan rakyat yang dikelirukan.

Namanya politik perkauman dan tunggang agama. Cepat merebak dan susah nak rawat. Kesannya rakyat jadi berpecah-belah dan hidup dalam wasangka. Apa kerja pun tak jadi.

Pemuda Pas boleh buat apa sahaja dakwaan ke atas pihak parti kerajaan hari ini sama ada Pusat mahupun Negeri.

Tapi dalam pilihan raya, beri ruang untuk rakyat buat keputusan terbaik berdasarkan pemerhatian mereka terhadap fakta dan dasar yang dibawa, bukan sentimen merosakkan dan adu domba.

Perdana Menteri dalam pertemuan khas bersama pimpinan parti pasca Konvensyen Keadilan tempoh hari telah pun beri arahan jelas; tiada jentera kerajaan boleh dilibatkan dalam PRK akan datang.

Dalam kempen-kempen sebelum ini pun sama, kempen berlangsung sama adil. Kita tak salah guna aset kerajaan untuk kempen kita.

Berdasarkan arahan tersebut, setiap pihak yang bakal turun nanti telah pun rangka kerja kempen berdasarkan ketetapan tersebut.

Cuma janganlah kelirukan masyarakat dan tuduh pihak kami salah guna kuasa atau seumpamanya hanya kerana dalam sesi-sesi kempen, pimpinan dari kerajaan yang turun bertemu masyarakat umumkan dasar dan inisiatif Kerajaan yang sedang dilaksanakan.

Itu memang resmi berkempen buat mana-mana parti kerajaan. Sebagai Kerajaan, kita mahu rakyat buat penilaian politik mereka terhadap inisiatif dan program kerajaan yang tujuannya memajukan masyarakat, bukan berdasarkan sentimen kosong semata.

Sebab itu juga kita harap kalau Pemuda Pas dan rakan-rakan belah sana juga boleh buat yang sama; cuba untuk sekali kempen kali ini tak perlu api-apikan masyarakat dengan kebencian dan adu domba, apa lagi main isu kaum dan tunggang agama.

Biar rakyat nilai dari sudut keupayaan mentadbir dan menguruskan negeri atau negara.

Pemuda Pas dalam kempen akan datang boleh sentuh dasar kerajaan, terutama Kerajaan Negeri Selangor.

Boleh singgung isu-isu ekonomi makro dan mikro; boleh kritik dasar sosial yang diperkenalkan.

Jangan ajak rakyat berfikir guna kaca mata sempit kaum dan agama yang tak bawa untung pun buat rakyat. Tak perlu serang dan fitnah peribadi pemimpin.

Cubalah nanti dalam tempoh kempen di KKB, wacana politik yang dipersembahkan kepada rakyat keluar dari semata-mata “Salah DAP” dan “musuh Islam”.

Selamat berkempen.

ADAM ADLI ABD HALIM merupakan Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Tiada ulasan: