"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menunggu titah Sultan Perak atasi kebuntuan politik Perak / Nizar vs Zambry / PKFZ

SUBKY ABDUL LATIFF

HURU-HARA gejala krisis politik dan perlembagaan Negeri Perak bukanlah suatu yang sukar untuk diselesaikan.Ia boleh diselesaikan semudah memetik suis lampu elektrik bagi menyalakannya atau bagi memadamkannya dengan perkenan Sultan.

Semuanya kini di tangan Sultan. Dan itulah gunanya Sultan dalam suasana berlaku kebuntuan politik dan pentadbiran seperti yang berlaku di Perak sejak Barisan Nasional melancarkan rampasan kuasa atas nama perlembagaan menjelang penyingkiran secara terhormat Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi hujung 2008 dan awal 2009 lalu.

Krisis itu dimulakan oleh angkara politik rakus Barisan Nasional yang mencuri secara silap mata atas tiga orang Adun Pakatan Rakyat secara serentak serta mengembalikan semula ke pangkuannya secara silap mata juga atas seorang Adunnya dari Bota.

Politik tidak bermoral itu terpaksa dibalas oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang menjadi mangsa ketika itu.

Ketegangan itu adalah satu perang saudara yang tidak menggunakan senjata api. Tiada banyak bezanya dengan perang saudara di Somalia sekarang antara kerajaan dan pemberontak yang menggunakan senjata api.

Perang saudara tidak akan berhenti selagi tiada pihak yang menang dan tiada pihak yang kalah. Baik ia menggunakan senjata api seperti di Somalia atau menggunakan senjata angin dan air liur seperti di Perak.

Tidak ada apa-apa yang dapat dibuat di Somalia kerana tiada sebarang makanisme yang dapat mencelah bagi mengatasinya. Tetapi huru-hara perang saudara di Perak itu ada makanisme yang boleh menghindarkannya iaitu Sultan.

Sultan tidak dihendaki berpolitik seperti yang ditunjukkan oleh Raja Thailand dan Maharaja Jepun. Tidak pantas Raja berperlembagaan itu menunjukkan kecenderungannya berpolitik.

Tetapi ada satu tindakan politik yang boleh dimainkan oleh Raja yang tidak mahu digunakan oleh Sultan Perak bagi mengatasi kebuntuan politik di negeri itu iaitu membubarkan Dewan Undangan Negeri, menyerahkan semula mandat kepada rakyat supaya ada satu pilihan raya baru.

Raja mesti menjauhkan diri daripada berpolitik. Tetapi politik yang tidak berpolitik dibenar dan dibolehkan. Politik yang tidak dibolehkan ialah Raja menyokong memenangkan parti tertentu dan memihak kepada parti tertentu atas dasar politik. Memihak seperti itu tidak dikehendaki. Jika ada kecenderungan begitu baikah turun takhta dan bertanding dalam pilihan raya.

Tetapi tindakan politik atas nama ketua negeri bagi mengatasi kebuntuan politik atas dorongan keadilan dan kebenaran, maka ia adalah langkah yang terpuji dan dikehendaki. Dan peranan politik Raja itu berakhir dengan membubarkan Dun dan menunggu keputusan pilihan raya bagi memerintahkan pembentukan kerajaan baru.

Sultan Perak adalah satu-satunya Raja di dunia yang pernah menjadi Ketua Hakim Negara. Tidak ada Raja yang sepertinya. Itulah kelebihannya daripada raja-raja yang lain, dulu dan sekarang.

Kes seperti kebuntuan politik dan perang saudara tanpa senjata api itu tidak pernah dihadapi baginda semasa menjadi hakim daripada mahkamah majistret hinggalah ke kerusi Ketua Hakim Negara.

Kes itu Allah datangkan ke hadapan baginda semasa baginda menjadi Sultan yang berpengalaman selama 25 tahun dan sebagai sifat baginda dulu pernah menjadi Ketua Hakim Negara. Raja-raja lain tidak menghadapi ujian seperti itu.

Kejadian di Perak itu bukan ujian kepada Dato’ Seri Nizar Jamaluddin dan bukan ujian bagi Dato’ Seri Zambery Abdul Kadir. Orang politik boleh bergaduh dan boleh berdamai, boleh bertembak dan boleh berpeluk. Bagi mereka ada ujian tertentu tentang kuasa dan tindakan politik mereka.

Sampai mati Nizar tidak akan berhenti melawan ketidakadilan yang dilakukan oleh kerakusan BN pimpinan Perdana Menteri Najib. Nizar dan partinya adalah mangsa dan ia dipertahankan dan akan menuntut bela. Dr Zambery dan partinya sejak kalah dalam pilihan raya umum ke-12 sudah merancang untuk menggulingkan Nizar, tidak akan mengaku salah dan kalah setelah silap mata rampatan kuasa itu dapat dilakukannya.

Adalah kerja Najib dan partinya untuk mengambil kuasa kalau tidak melalui cara sah, akan melakukan dengan cara yang tidak sah. Sesudah dia dapat Perak, dia mahu Selangor pula. Itu kerjanya yang Raja kena faham. Gara-gara politiknya, dia telah mewujudkan satu huru-hara politik dan menjadi kes di hadapan mata Sultan.

Perak menjadi ujian politik yang bergelora itu. Ujian itu Allah takdirkan bagi menguji wibawa pengalaman kehakiman dan keadilan yang ada pada latar belakang Sultan. Dan ia juga ujian kepada Raja Dr Nazrin, Raja Muda dan Pemangku Sultan yang banyak memberi pemikiran besar di pelbagai pentas di negara ini.

Tiada Raja dan bakal Raja lain di dinia yang acap naik pentas memberi berbagai saranan, pemikiran dan teori-teori selain daripada Raja Dr Nazrin. Yang kusut dan bercelaru bagi semua orang, maka Raja Nazrin datang ke pentas memberikan teori penyelesaian dan cara-cara keluar daripada sebarang kebuntuan.

Ketika itulah datang satu ujian yang kecil dan boleh diselesaikan semudah memetik suis lampu elektrik bagi menyalakan atau memadamkannya. Sudah hampir setahun kini kebuntuan itu tidak dapat diselesaikan.

Pegawai-pegawai kerajaan, makamah dan para peguam jadi kelam kabut dan bercempera kerana Sultan mengambil sikap Raja tidak boleh berpolitik dan mahu campur urusan politik.

Pada hal Raja dan istana ada ruang bagi menyelesaikannya, tetapi tidak mendapat nasihat bagi menyelesaikannya.

Di hujung naungan kesultanan Sultan Perak yang bersemayam sudah 25 tahun itu baginda melihat sidang Dewan Undangan Negeri beramuk hingga ada Adun yang naik kerusi dan meja, ada Speaker diheret keluar Dewan, ada sidang Dun di bawah pokok.

Cerita yang berlaku di Taiwan, di Korea Selatan dan tempat-tempat tidak terkenal dengan sopan santun, telah berlaku di Perak. Di negeri-negeri lain tidak berlaku begitu, pada hal Rajanya tidak pernah jadi hakim dan Raja Muda atau TEngku Mahkota tidak rajin naik ke pentas forum dan seminar.

Perak telah diberi Allah kelebihan. Sayogia bersyukur rakyat jelata yang beroleh Raja dan waris Raja yang diberi Allah kebijaksanaan dan penetahuan tinggi.

Dalam suasana seperti itulah datang perkembangan besar yang tidak sulit bagi menyelesaikannya tetapi telah tidak dapat diselesaikan hingga berbulan-bulan dan menggangu pentadbiran dan rancangan pembangunan Perak.

Memang Raja itu ada peranannya dan banyak serta besar sumbangannya kepada kesejahteraan negeri dan rakyat. Sebagai payung Raja menjaga melindungi kesejahteraan dan kebahagian rakyat dan pemerintahan. Orang-orang politik datang berkhidmat atas nama Raja dan pemerintahan Raja.

Dalam kebuntuan politik seperti itu Raja ssaja yang dapat menyelamat dan menyelesaikannya. Apabila Raja pula berserah kepada mekanisme kuasa yang kabur dan kurang jelas, kerajaan Perak menghadapi kebuntuan.
Yang tidak berlaku selama ini sudah berlaku. Yang tidak berlaku di tempat lain berlaku di Perak. Perak ada Speaker. Speaker yang ada dibuang dalam suasana kelam kabut. Diganti dengan Speaker dalam keadaan kelam kabut juga. Tidak berlaku di tempat lain ada dua Speaker. Tetapi di Perak ada dua Speaker.


Speaker yang baru sudah berbulan-bulan. Tetapi dia belum memanggil Sidang Dun. Dan dia pula tidak melepaskan kepentingan dalam syarikat guamannya yang menurut analisis pakar undang-undang berlawanan dengan peraturan.

Sampai bila Dewan tidak bersidang? Bagaimana belanjawan negeri, peruntukan pembangunan, sara hidup pegawai dan peruntukan istana hendak diadakan jika Dewan tidak bersidang?

Orang politik sudah dan boleh membuat kacau dalam politik dan pentadbiran di Perak tetapi tidak orang politik tidak tahu dan tidak dapat menyelesaikannya.

Yang makanisme boleh menyelesaikannya ialah Sultan tetapi Sultan belum bertitah untuk menyelesaikannya. Apa yang menyusahkan Sultan untuk bertitah? Sampai bila Sultan mahu begitu?

Tiada ulasan: