"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penganjur sabotaj perlawanan Chong Wei-Lin Dan?


Jurulatih pertikai penganjur tutup penghawa dingin hingga Chong Wei alami dihidrasi dan kekejangan otot
Chong Wei-Lin Dan: Unsur sabotaj?
Guangzhou: Jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei mungkin gagal dalam misi meraih gelaran sulung pada Kejohanan Dunia selepas terpaksa menarik diri di set penentuan ketika 17-20 berikutan mengalami kekejangan otot di kaki dan perut, sekaligus tewas kepada musuh tradisinya, Lin Dan dari China 21-16, 13-21, 20-17 pada aksi final di Gimnasium Tertutup Tianhe, malam tadi.

Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang boleh dipertikaikan terutama tindakan penganjur menutup penghawa dingin dalam stadium yang menyebabkan Chong Wei mengalami dihidrasi dan menyukarkannya untuk bernafas.

Ia seolah-olah ada unsur sabotaj bagi membolehkan Lin Dan merekodkan kejuaraan dunia buat kali kelima sepanjang kerjayanya.

”Perlawanan hari ini (malam tadi) memang kompetitif apabila kedua-dua pemain menunjukkan prestasi baik dan boleh disifatkan sebagai pertembungan antara dua lagenda badminton dunia.

“Namun, apa yang saya ingin pertikaikan adalah tindakan penganjur menutup penghawa dingin sehingga menyebabkan suasana dalam stadium menjadi terlalu panas. Itu yang menyebabkan Chong Wei mengalami kekejangan otot kerana tiada oksigen dan menyukarkannya bernafas,” kata jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock.

Menurut Seu Bock, barisan pengurusan skuad negara sudah mengemukakan aduan ketika perlawanan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) terhadap masalah itu namun badan induk berkenaan memberi maklum balas mengecewakan apabila menjelaskan yang mereka tidak tahu berhubung perkara itu.

“BWF kata itu bukan tanggungjawab mereka kerana penghawa dingin dikawal oleh Jawatankuasa Penganjur Kejohanan (Local Organising Committee), jadi kami sendiri tidak tahu apa puncanya.”

“Kalah tetap kalah tetapi situasi seperti ini memberi petanda negatif terhadap sesuatu pertandingan dan ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada pemain. Chong Wei seorang pemain yang tidak mudah berputus asa dan sebab itu dia masih mahu bermain walaupun suatu ketika sudah mengalami kekejangan otot sebelum menarik diri,” katanya.

Chong Wei dikejarkan ke hospital tempatan sejurus selepas itu tetapi dilaporkan keadaannya stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

'Saya simpati nasib Chong Wei'

Sementara itu, Lin Dan menjadi pemain perseorangan lelaki paling berjaya dalam sejarah badminton dunia dengan lima kejuaraan dunia yang dirakamkan itu selepas kejayaan pada 2006 (Madrid), 2007 (Kuala Lumpur), 2009 (Hyderabad), dan 2011 (London).

“Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa Chong Wei kerana kami sudah memberi aksi terbaik untuk penonton. Ketika saya mendahului 19-16, dia mula mengalami kekejangan otot dan saya bertanya kepadanya apa yang berlaku dan ketika itu saya sudah tidak fikir yang kami ini adalah lawan.

“Saya tahu dia tidak mahu menyerah kalah tetapi nasib tidak menyebelahinya. Saya berterima kasih kepadanya kerana menjadi lawan yang membuatkan bermotivasi tinggi mempamerkan aksi terbaik,” kata Lin Dan.
-bharian-

Tiada ulasan: