"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lebih 2,000 terkorban, hospital dibakar, jurufoto ditembak

Harakahdaily
MESIR: Menurut sumber Ikhwan, lebih 2000 penyokong legitimasi yang berkampung di Medan Raba'ah Adawiyah terkorban digempur pihak tentera sejak pagi semalam.

Seorang peserta himpunan, Tahaluf Wathani berkata, berdasarkan kiraan jenazah yang dikumpulkan, terdapat 2600 jenazah sehingga kini di Medan Raba'ah Adawiyah.

Selain jumlah korban itu, dianggarkan kira-kira 15,000 lagi mengalami cedera dan luka akibat serangan tersebut.

Dalam pada itu serangan oleh pihak tentera sejak semalam turut mensasarkan jurugambar dan wartawan di lapangan yang menyaksikan beberapa orang daripada petugas media turut terkorban.

Jurugambar bagi saluran Misr25, Ahad Abelgawad, turut ditembak mati dalam pembunuhan beramai-ramai semalam.

Seorang lagi jurugambar Mus'ab Asy Syami juga terkorban. Beliau digelar sebagai hero jurugambar di kalangan rakannya kerana sentiasa berjaya merakam gambar-gambar terbaik sepanjang berlakunya perhimpunan.

Selain itu, anak perempuan kepada seorang tokoh Ikhwan Muslimin turut menjadi mangsa kekejaman tentera rejim semalam.

Asmaa Mohamed El Beltagi, 17, anak perempuan El-Beltagi maut selepas terkena tembakan peluru hidup yang dilepaskan pihak tentera.

Tidak cukup dengan itu, pihak tentera juga dilaporkan turut membakar bangunan hospital di lapangan dalam keadaan ribuan jenazah ditempatkan dan mereka yang cedera sedang menerima rawatan.

Menurut laporan TV Al-Quds, pasukan tentera dan polis telah membakar Hospital Lapangan di Medan Rabiatul Adawiyah yang terdapat di dalamnya jenazah-jenazah penyokong Morsi dipercayai bagi melupuskan bukti pembunuhan.

Tentera juga turut menggunakan jentolak dan kereta perisai merobohkan khemah-khemah penyokong Morsi yang didirikan di medan Raba'ah itu.

Malah ada diantara khemah dibakar oleh pihak tentera dalam keadaan ada di kalangan penyokong khususnya kanak-kanak dan wanita masih berlindung di dalamnya.

Setakat ini, Medan Raba'ah sepenuhnya telah dikawal oleh pihak tentera, manakala penyokong Morsi kini bergerak ke Medan Alf Maskan sebagai pusat baru himpunan.

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden Mesir lantikan kudeta, Dr Mohammed El Baradei juga mengumumkan meletakkan jawatan.

Jabatan Presiden Sementara (kerajaan haram kudeta) Mesir juga telah mengeluarkan kenyataan bagi perintah darurat yang berkuat kuasa selama sebulan bermula dari waktu asar hari semalam.

Tiada ulasan: