"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kalau Najib Masih Peduli

Blog kadirjasin.blogspot.com
MUNGKIN saya ketinggalan zaman. Mungkin saya haiwan purba (dinosaur) yang tidak pupus. Mungkin kerana itu dari awal-awal lagi saya mementang pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat (EO) dan Akta Buang Negeri.

Saya berpegang kepada falsafah bahawa undang-undang tahanan perlindungan terbukti berguna. Ia bukan sahaja melindungi 99% rakyat jelata yang mematuhi undang-undang dan hidup aman damai malah ia juga melindungi penjenayah, ahli kongsi gelap, samseng jalanan dan anarkis daripada membunuh satu sama lain.

Cuba tanya, berapa banyakkah ahli kongsi gelap, samseng jalanan dan anarkis yang mati atau cedera kerana saling tembak menembak ketika dalam tahanan perlindungan?

Bandingkan pula dengan bilangan mereka yang dibunuh dan membunuh selepas Perdana Menteri Mohd Najib bin Abdul Razak dan Parlimen dengan begitu gembira sekali memansuhkan undang-undang perlindungan di atas pada tahun 2011.

Saya rasa Mohd Najib, ahli Kabinet beliau dan Ahli Parlimen yang menyokong pemansuhan ISA, EO dan Akta Buang Negeri wajib bertanggungjawab ke atas rakyat jelata yang menjadi mangsa tindakan mereka.

Alhamdulillah, nampaknya sebahagian daripada mereka yang ikhlas, peduli dan berani telah menyedari “folly” mereka dan, secara tersurat atau tersirat, mula mengakui bahawa pemansuhan undang-undang berkenaan telah membawa mudarat kepada negara dan rakyat jelata yang cintakan keamanan.

Ahmad Zahid Bersuara

Yang terbaru “menyalahkan” pemansuhan EO sebagai punca peningkatan mendadak jenayah adalah orang kuat Mohd Najib sendiri, Ahman Zahid Hamidi, Menteri (Keselamatan) Dalam Negeri.

Cuma saya hendak tahu, apakah yang Ahmad Zahid buat waktu cadangan pemansuhan itu dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet?

Beliau dilaporkan oleh akhbar Mingguan Malaysia sebagai berkata pemansuhan EO berpotensi menghasilkan 260,000 penjenayah. Mengikut unjuran beliau, tiap seorang daripada 2,600 tahanan EO yang dibebaskan mempunyai purata 10 pengikut yang apabila dicampurkan menjadi 26,000 dan mereka ini pula mencari 10 pengikut setiap seorang bagi menjadikan jumlahnya 260,000. Masuk akal.

[Mingguan Malaysia dibaca oleh ahli dan penyokong Umno, oleh anggota polis dan tentera dan oleh orang Melayu yang banyak jadi polis dan tentera.]

Laporan akhbar The Star 12 Ogos pula mengatakan kongsi gelap, kumpulan samseng dan geng jenayah mencari ahli baru ketika mereka di bangku sekolah lagi.

Seorang pemandu India yang pernah bekerja dengan saya berkata “perang kawasan” sangat sengit di kalangan bekas tahanan EO keturunan India. Katanya, yang keluar tahanan cuba mendapatkan balik kawasan operasi mereka dan yang diambil alih oleh lawan mereka. Maka berlakulah serang menyerang, bunuh membunuh. (Baca di sini).

Pembangkang Turut Bersekongkol

Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menyangkal unjuran Ahmad Zahid.

Saya langsung tidak hairan. Pembangkang terpaksa menyembunyikan peranan mereka dalam pemansuhan ISA dan EO serta sikap negatif mereka terhadap pasukan polis.

Merekalah yang mendesak, mengasak, menekan dan mengenjut Mohd Najib sehingga beliau naik takut (takut hilang undi) hingga tergesa-gesa menghapuskan akta-akta itu.

Sekarang Guan Eng sudah gelabah sebab negeri perintah beliau sendiri, Pulau Pinang, adalah antara yang paling teruk dilanda jenayah. Dari dulu lagi Pulau Pinang adalah kawasan panas kongsi gelap tetapi telah berjaya dikurangkan. Kini, tanpa EO dan tangan polis pula terikat, jenayah nyawa dan harta benda meningkat semula.

Seorang Ahli Parlimen pembangkang dari PKR (dan bekas tahanan ISA) yang mengunjungi saya untuk beraya, berkata mereka pun terkejut dengan kepantasan Mohd Najib memansuhkan ISA, EO dan Akta Buang Negeri.

Soalannya, di manakah Ahmad Zahid dan anggota Kabinet lain ketika cadangan pemansuhan ISA, EO dan Akta Buang Negeri itu dibincangkan?

Jangan lepas tangan mengatakan Kabinet tidak bincang dan bahas hal itu. Habis apa tugas dan peranan Kabinet? Jangan juga beritahu bahawa itu semua kerja budak-budak liberal dan budak-budak lautan biru Tingkat Empat. Habis, masakan Kabinet “yes sir” saja? Tidak masuk akal. Mustahil.

Kesimpulannya kalau Mohd Najib, ahli Kabinet dan Ahli Parlimen - tidak kira Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat – telah terlanjur, silalah mengaku kesilapan dan berpatah balik.

Kalau mereka masih peduli kepada 99% rakyat jelata yang cintakan keamanan dan perlukan perlindungan, mereka WAJIB segera membuat undang-undang baru yang lebih tegas bagi menggantikan akta-akta yang mereka mansuhkan.

Tidak perlulah saling salah menyalahkan, sanggah menyanggah dan mencari “milage” politik murah atas linangan air mata rakyat. Cukuplah buat kerja naif dan main politik.

Negara kita sudah sama teruk dengan negara-negara jiran yang dulu kita cemuh dan kita hina kerana kononnya dipenuhi jenayah.

Wallahualam.

Tiada ulasan: