RAYUSA
BLOGGER dan wartawan veteran, Dato' Kadir Jasin meminta orang Melayu jangan berkecil hati dengan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa mereka malas. Tidak pasti adakah Kadir seorang Melayu tulen atau bukan.
Jika Kadir Melayu tulen, benarkah beliau langsung tidak tersinggung dengan dakwaan Mahathir itu? Adakah beliau memang mengaku semua orang Melayu di Malaysia malas atau semata-mata mengampu/membela kerana Perdana Menteri keempat itu mengupahnya untuk mengkritik kerajaan pimpinan Najib Razak?
Sebagai manusia yang waras, mustahil orang Melayu tidak berkecil hati dengan kata-kata keras tersebut, apatah lagi jika mereka sebenarnya rajin bekerja dan berusaha.
Dakwaan Mahathir tidak tepat. Jika malas, sudah lama bangsa Melayu hilang di dunia. Jangan kerana segelintir, seperti yang ditegaskan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Kebangsaan Antartika, Universiti Malaya, Prof Dato' Dr Azizan Abu Samah, seluruh bangsa dilabel sebagai malas.
Dr Azizan yang juga Timbalan Pengarah IOES dan Naib Presiden Jawatankuasa Sains Penyelidikan Antartika menegaskan sedemikian dalam forum bertajuk 'Dunia ialah Pentas Kita' (sepatutnya 'adalah'), anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) di Rumah Pena, 20 September lalu.
Forum itu diadakan bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan ke-51 Pena (Mesyuarat Agung (pemilihan Jawatankuasa Pena 2014-2016)). Langkah Pena yang diketuai oleh Presidennya, Dr Mohammad Saleeh Rahamad (yang dipilih semula dalam Mesyuarat Agung tersebut) menganjurkan forum yang membawa isu panas itu wajar dipuji.
Sebenarnya, tidak salah untuk orang Melayu tersinggung atau marah kerana dakwaan Mahathir itu bersifat menyeluruh. Memang tidak adil dan melampau beliau melabelkan orang Melayu malas berdasarkan pencapaian dalam satu bidang sahaja.
Saya fikir dakwaan Mahathir itu hanya berdasarkan bidang ekonomi. Bagi beliau, disebabkan malas, orang Melayu masih tidak memonopoli ekonomi negara. Saya fikir Mahatihir hanya mahu orang Melayu kaya, bukan halal haram cara menjadi kaya.
Jika benar begitu, Mahathir tidak wajar melabelkan sedemikian kerana bidang lain seperti seni dan sukan telah membuktikan orang Melayu rajin.
Azizan dalam ceramahnya memberi contoh penyanyi Yuna yang telah sedikit demi sedikit mencatat kejayaan di Amerika Syarikat. Katanya, Yuna telah membuktikan kemampuan dan akan datang boleh memilih untuk beraksi di mana sahaja.
Beliau tidak menyebut kejayaan Dato' Siti Nurhaliza dan Shila Amzah. Mungkin mengetahui dan tidak menafikannya, cuma terlupa untuk menyebut. Yang penting, kejayaan tiga diva negara itu membuktikan orang Melayu kuat berusaha. Kalau malas, adakah ketiga-tiga mereka akan berada pada kedudukan sekarang?
Dalam bidang sukan pula, ada atlet Melayu yang menjadi legenda seperti Allahyarham Abdul Ghani Minhat dan Allahyarham Dato' Mokhtar Dahari untuk bola sepak (walaupun gagal beraksi di Piala Dunia).
Ghani digelar Raja Bola Malaya. Mokhtar yang mendapat jolokan SuperMokh pula turut mencipta rekod menjadi pemain bola sepak tanah air yang pertama menerima anugerah Olahragawan Negara (1976). Adakah Ghani dan Mokhtar malas?
Badminton amat dikenang pada era 90-an, khususnya 1992 apabila adik-beradik Sidek, iaitu Rashid, Razif, Jalani dan Rahman Sidek membawa skuad negara kembali memenangi Piala Thomas selepas 25 tahun.
Razif dan Jalani juga mungkin menjadi juara beregu dunia jika 'servis S' ciptaan mereka tidak diharamkan oleh Persekutuan Badminton Dunia. Servis tersebut sangat mengelirukan lawan hingga menerbitkan rasa cemburu (mungkin) yang membawa pada pengharamannya atas alasan cepat merosakkan bulu tangkis.
Dalam lumba basikal tanah air pula muncul legenda seperti Allahyarham Daud Ibrahim pada era 70-an dan Rosman Alwi (80-an). Shalin Zulkfili pula adalah ratu boling negara.
Adakah mereka orang Melayu yang malas? Tentu tidak kerana faktor nasib amat kecil peratusannya. Faktor yang membawa kejayaan cemerlang tetap juga usaha keras dan berterusan.
Tegas Azizan, sebenarnya yang malas pada orang Melayu ialah malas ditipu oleh orang yang 'patut-patut' (berkuasa dan berwewenang).
Mereka, tambahnya, malas mendengar dianggap malas meskipun keluar awal pagi menangkap ikan atau menoreh.
"Orang Melayu malas melihat kekayaan negara diberi kepada orang lain, mendengar pemimpin mengutuk bangsa sendiri, dan melihat orang Melayu berjawatan tinggi atau kaya raya kerana memecah amanah menyelewengkan wang rakyat," tegas Azizan.
Sambil menegaskan bahawa Mahathir bukan Tuhan yang tidak boleh disanggah, tambah beliau, wajarkah orang Melayu dianggap malas jika mereka mampu menerajui Petronas dan Khazanah Nasional Berhad.
"Majoriti pensyarah di universiti yang mencerdikkan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum juga adalah orang Melayu. Begitu juga yang menjayakan DEB dan Felda. Selain itu, 50 peratus pakar perubatan dan pakar undang-undang adalah orang Melayu," kata Azizan lagi.
Bagi beliau, kejayaan Malaysia adalah kejayaan orang Melayu. Katanya, orang Melayu telah berjaya menurunkan kadar kemiskinan mereka dari 30 peratus ke empat peratus. Mereka menyediakan prasarana dan pentadbiran awam yang menyumbang pada pertumbuhan ekonomi.
Lebih menarik, tambah Azizan, pengguna dalam kalangan orang Melayu yang banyak mendukung ekonomi kaum Cina di Malaysia!
Bagaimanapun, Azizan menegaskan orang Melayu yang berwibawa dan berwawasan terpaksa menghadapi dua musuh, iaitu orang Melayu sendiri yang hasad dengki SERTA banyak memperlekehkan kejayaan bangsa, dan cauvanis Cina yang iri hati. Kedua-duanya, kata Azizan akan cuba membunuh kerjaya.
Dalam hujahnya menyanggah dakwaan Mahathir, Azizan menegaskan tiada kajian yang menunjukkan sesuatu bangsa bodoh atau cerdik, rajin atau malas kerana ia sangat bergantung pada nilai hidup seseorang.
Untuk mengatasi sindrom jaguh kampung pula, Azizan menegaskan orang Melayu mesti berani berfikiran besar SERTA menerokai dan bersuara di pentas dunia. Mereka, katanya, mesti berbangga dengan kejayaan sendiri, dan memerdekakan minda daripada belenggu saki-baki penjajahan minda.
Jelas Azizan, orang Melayu tidak perlu bimbang kerana dunia kini terbuka untuk mereka terokai. Sebenarnya, kata beliau, orang Melayu sudah mempunyai kemampuan ekonomi dan kematangan pemikiran untuk menjadi pemimpin dunia membangun.
Azizan menegaskan negara kita sudah mempunyai ramai Mahathir dalam banyak bidang selain politik. Cuma, beliau curiga adakah orang Melayu akan memerdekakan diri mereka yang sebenar-benarnya - tidak menjadi seperti burung sangkar yang setelah dilepaskan akan terbang semula ke sangkar atau berkeliaran di sekitar sangkar tersebut hingga akhirnya mati dibaham oleh kucing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan