"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sophea Ng dapat hidayah apabila melihat seorang pesakit buta yang cekal

Kuala Lumpur: “Nama adalah anugerah pertama yang diberikan ibu bapa ketika dilahirkan, jadi untuk menghargai segala pengorbanan mereka, saya mahu kekal menggunakan nama Cina walaupun sudah memeluk Islam.”

Itu luahan saudara baru, Ng Pooi Kheng, 24, atau nama panggilannya Sophea Ng yang mengambil keputusan tidak menukar nama dalam kad pengenalan seperti kelaziman saudara baru lain selepas memeluk Islam pertengahan tahun lalu.
Katanya, ketika dia menyuarakan hasrat untuk bergelar Muslimah kepada ibunya, antara kerisauan yang dibangkitkan adalah dia akan meninggalkan keluarga, menukar namanya dan ‘masuk Melayu’.

“Ibu menceritakan bagaimana sukarnya dia mencari nama untuk saya ketika dilahirkan dan dia amat sedih apabila memikirkan saya akan tukar nama setelah memeluk Islam,” katanya yang bertugas sebagai jururawat di Institut Perubatan Respiratori, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bagaimanapun, setelah merujuk kepada guru agama dia dimaklumkan tiada syarat dalam Islam yang mewajibkan saudara baru menukar nama, asalkan nama asal memberi maksud yang baik.

“Selepas menyempurnakan segala prosedur untuk bergelar saudara baru, saya menunjukkan kad pengenalan yang masih tertera nama Cina kepada ibu dan dia berasa amat gembira,” katanya yang berasal dari Ipoh, Perak.
Foto
SOPHEA dan suami SERTA ahli keluarganya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Walaupun dianggap kurang ‘Islamik’, Sophea menjelaskan nama Pooi Kheng bermaksud indah dan kegembiraan.

“Saya memeluk Islam kerana ia agama yang menyeluruh dan merangkumi segala aspek dalam kehidupan, justeru, tidak timbul isu mengenai nama,” katanya.

Menceritakan detik hatinya mendapat hidayah apabila melihat seorang pesakit buta yang cekal menunaikan solat Subuh di hospital tanpa meminta bantuan daripada sesiapa.

“Saya melihat dia meraba-raba mencari sinki dan mengambil wuduk. Walaupun dengan kekurangan begitu, dia tetap mencari jalan untuk beribadah kepada Allah SWT.

“Saya benar-benar insaf dan mula serius mendalami agama Islam sebelum melafazkan dua kalimah syahadah pada Julai tahun lalu,” kata Sophea yang ditemui selepas majlis perkahwinannya bersama seorang ahli farmasi, Muhammad Zuhair Mokhtar, 26, di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, di sini, semalam.

Muhammad Zuhair pula berkata, dia tiada masalah dengan keputusan isterinya untuk mengekalkan nama Cina malah menganggap ia sebagai satu kelebihan dalam perhubungannya.

“Saya anggap ini sebagai satu bentuk dakwah khususnya kepada mereka yang mula mendekati Islam namun berasa ragu-ragu kerana beberapa perkara seperti budaya dan juga nama,” katanya.

Dia berharap, perkahwinannya membuka mata masyarakat bahawa memeluk Islam bukan bermaksud ‘masuk Melayu’.

Sementara itu, ibu Sophea Hia Chiue Kim, 45, berkata, dia menerima keputusan anaknya untuk menukar agama dengan hati terbuka dan berdoa agar mereka bahagia sepanjang hayat.

“Sudah pasti saya sedikit risau apabila dia mula menyuarakan hasrat untuk masuk Islam, namun dia sudah dewasa dan tahu membuat keputusan sendiri.

“Lagipun ahli keluarga dan adik beradik lain juga merestui keputusannya,” katanya ditemui semalam.
-hmetro-

Tiada ulasan: