"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kemana akhirnya Anwar

Salleh Buang
Jjni di awal Februari 2015. Selasa minggu depan (10 Februari) ialah Judgment Day (hari penghakiman) mutakhir untuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Jumaat 7 November 2014 lalu, Mahkamah Persekutuan selesai mendengar rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan terhadapnya pada Mac 2014 lalu.

Prosiding di Mahkamah Persekutuan itu bermula pada 28 Oktober tahun lalu. Pada mulanya mahkamah menetapkan dua hari sahaja untuk prosiding rayuan peringkat terakhir ini, tetapi pasukan peguam Anwar seramai 14 orang itu memerlukan lapan hari sebelum prosiding tamat.

Pengadu dalam kes ini, Saiful Bukhari Azlan, memberitahu wartawan bahawa kes ini telah berjalan selama lebih enam tahun, dan Anwar telah membuat lebih daripada 100 permohonan untuk melambat-lambatkan prosiding. Namun, Saiful yakin Mahkamah Persekutuan akan akhirnya membuat satu keputusan yang adil bagi pihaknya; meskipun begitu dia bersedia jika keputusan mahkamah itu nanti menyebelahi Anwar.

Kes terbaru melibatkan Anwar ini dipanggil media sebagai “Liwat II” (Sodomy II) kerana pada 8 Ogos 2000 Anwar telah pun disabitkan dengan kesalahan meliwat seorang individu lain bernama Azizan, dan telah dijatuhkan hukuman penjara 9 tahun. Pada 18 April 2003, Mahkamah Rayuan telah mengukuhkan sabitan dan hukuman itu, tetapi pada 2 September 2004 Mahkamah Persekutuan telah memutuskan (dengan keputusan majoriti) bahawa Anwar tidak bersalah dan telah membebaskannya. Kes itu disebut sebagai “Liwat I”.

Kes sekarang (Liwat II) bermula apabila Saiful membuat laporan polis pada 28 Jun 2008, mendakwa bahawa dia telah diliwat oleh Anwar di satu kondominium di Damansara dua hari sebelumnya. Kes ini mula didengar di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008. Bagaimanapun tujuh bulan kemudian, pada 5 Mac 2009 Mahkamah Tinggi memerintahkan bahawa kes ini hendaklah didengar di Mahkamah Tinggi. Hampir satu tahun berlalu sebelum kes didengar.

Perbicaraan di Mahkamah Tinggi bermula pada 3 Februari 2010 bila Saiful memberi keterangan sebagai saksi pasukan pendakwaan. Pasukan pendakwaan mengambil masa lebih satu tahun untuk membuktikan satu kes prima facie terhadap Anwar. Pada 16 Mei, 2011 (iaitu hampir tiga tahun selepas Saiful membuat laporan polis) hakim bicara memutuskan ada kes prima facie terhadap Anwar, lalu memanggilnya untuk membela diri.

Dua tahun lagi berlalu apabila pasukan peguam bela Anwar berhempas pulas berusaha membuktikan anak guam mereka tidak bersalah dan memohon agar hakim bicara melepas dan membebaskannya. Usaha dan kerja keras mereka berjaya bila akhirnya pada 9 Januari 2012, hakim bicara (Hakim Mohamad Zabidin) membuat satu keputusan yang dramatik, mengisytiharkan Anwar tidak bersalah dan membebaskannya.

Hakim Bicara memutuskan adalah tidak selamat untuk mensabitkan kesalahan tertuduh kerana dia tidak yakin 100 peratus tentang integriti sampel DNA yang diambil daripada pengadu. Terkilan dengan keputusan hakim bicara itu, pasukan pendakwaan telah merayu ke Mahkamah Rayuan.

Sekali lagi, dua tahun berlalu sebelum Mahkamah Rayuan dapat mengumumkan keputusannya. Pada 7 Mac 2014, Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan keputusan hakim bicara dan mendapati Anwar sabit kesalahannya meliwat Saiful dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya. Mengikut Mahkamah Rayuan, hakim bicara telah melakukan kesilapan bila dia memutuskan tentang integriti sampel DNA tersebut.

Terkejut dengan sabitan Mahkamah Rayuan inilah Anwar kemudian telah memohon izin untuk merayu ke Mahkamah Persekutan. Izin diberi dan prosiding di Mahkamah Persekutuan bermula pada 28 Oktober 2014 lalu.

Prosiding di Mahkamah Persekutuan bermula dengan pasukan peguam bela Anwar membuat hujah mereka kepada panel hakim. Sewaktu prosiding hendak bermula, penyokong Anwar membawa masuk dua tokoh politik dari Indonesia dan Filipina (Dave Laksono, Ahli Parlimen dari Jawa Barat Indonesia, dan Bebot Bello, Ahli Kongres Filipina).

Kedua-dua individu ini mendesak agar segala pertuduhan terhadap Anwar digugurkan. Mereka juga mendakwa prosiding jenayah yang dibuat terhadap Anwar ini adalah satu cubaan untuk menamatkan kerjaya politiknya dan “satu pencabulan hak asasi manusia yang bertentangan dengan Artikel 14 Piagam ASEAN tentang hak asasi manusia.”

Sementara itu, pada 13 Ogos 2014 (iaitu kira-kira lima bulan selepas Mahkamah Rayuan mensabitkan kesalahan Anwar), Saiful telah memfailkan satu tuntutan sivil menuntut ganti rugi RM50 juta terhadap Anwar, mendakwanya telah meliwatnya pada 2008 dan selepas itu memfitnahnya.

Penghakiman 
10 Februari?

Negara kita mengamalkan sistem adversarial. Di bawah sistem begini, tiada sesiapa pun boleh meramalkan dengan keyakinan 100 peratus pihak tertentu akan menang.

Jika kita tanya pengamal undang-undang di negara ini, apakah Mahkamah Persekutuan akan mengukuhkan keputusan Mahkamah Rayuan (mensabitkan Anwar ) atau akan memilih keputusan Hakim Bicara (mendapati Anwar tidak bersalah), pastinya kita akan mendengar jawapan yang berbeza.

Apa pun, pada hari terakhir prosiding di Mahkamah Persekutuan pada awal November 2014 lalu, Anwar Ibrahim telah menyatakan (dengan penuh yakin) bahawa pasukan peguam belanya telah berjaya memusnahkan kes pasukan pendakwaan.

“Saya belum lagi dalam keranda” (I’m not in the coffin), katanya kepada wartawan.

Ramkarpal Singh, salah seorang peguam bela Anwar, memberitahu media bahawa pasukan peguam bela berterima kasih kepada panel hakim Mahkamah Persekutuan kerana mereka telah menunjukkan sikap penuh kesabaran sewaktu mendengar segala hujah mereka. Dia yakin pada akhirnya keadilan akan berlaku (justice will prevail at the end of the day).

Seorang lagi peguam bela Anwar, Gobind Singh Deo, dipetik sebagai berkata “Kita yakin akan berjaya” (We are confident of success).

Datuk Seri Gopal Sri Ram, mantan Hakim Mahkamah Persekutuan dan ketua pasukan peguam bela Anwar, berhujah pada hari terakhir prosiding bahawa Saiful adalah “seumpama batang kayu yang patah, seorang saksi yang tidak ada nilai, tidak boleh dipercayai sama sekali” (a broken reed, a worthless witness, a man devoid of any credibility).

Pada 26 Januari 2015 lalu, akhbar The Star memetik Anwar sebagai berkata “Saya yakin saya akan dibebaskan”. Andainya Anwar, kini 67 tahun - kecundang kali ini dan rayuannya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari depan ini, dia akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh. Kerjaya politiknya akan berakhir di sini.

Andainya dia berjaya dan Mahkamah Persekutuan meluluskan rayuannya, ramai pemerhati politik tempatan berpendapat kehadirannya terus dalam arena politik negara ini tidak akan memberi apa-apa kesan langsung. www.utusan.com.my

PENULIS ialah penganalisis undang-undang.

Tiada ulasan: