Hazlan Zakaria
Dengan gaya pidato berapi yang menjadi “trademark”nya, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menyuarakan penentangan terhadap apa yang didakwanya sebagai penindasan politik dalam kes Liwat 2.
Dalam apa yang mungkin dilihat sesetengah pihak sebagai menghampiri sub judice (tidak boleh diperkatakan di khalayak ramai kerana masih dalam proses mahkamah), Ahli Parlimen Permatang Pauh itu membayangkan apa-apa keputusan bersalah oleh mahkamah boleh “memakan diri” kerajaan, seperti dipetik laman The Malaysian Insider.
Walaupun jika dilihat secara optimis, Anwar jelas cuba menghalang keputusan mahkamah dengan kritikan hebat berhubung kemungkinan pengaruh politik di sebalik kes tersebut.
“Sepanjang sejarah, (menganiaya seteru politik) sentiasa memakan diri.”
"Adakah ini akan terus menambah kekecewaan dan seterusnya meningkatkan sokongan (kepada pembangkang)? Saya yakin begitu,” katanya.
Beliau dilaporkan berkata demikian kepada wartawan asing dalam sebuah acara yang dianjurkan Kelab Koresponden Luar Negara Malaysia.
Anwar sememangya dikenali sebagai pakar perhubungan awam, terutama dengan media antarabangsa. Malah, beliau pernah dikatakan sebagai “kesayangan” di mata mereka.
Mungkin kerana cuba menyaingi ciri hebat Anwar inilah menyebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghabiskan berjuta wang rakyat untuk mendapatkan khidmat pelbagai perunding media dan firma perhubungan awam, yang paling terkenal adalah Apco Worldwide tentunya.
Apa-apa pun, kenyataan dan isyarat Anwar boleh dilihat sebagai percubaan membina sokongan, tanpa mengira keputusan mahkamah nanti. Bantahan jalanan oleh penyokongnya, mungkin? Walaupun beliau tidak secara langsung menyentuh perkara tersebut.
Memang, bersuara untuk mengumpul sokongan antarabangsa juga merupakan salah satu kebolehan istimewanya. Ditambah pula dengan jaringannya dengan pemimpin-pemimpin luar negara.
Namun untuk berlaku adil, hujah Anwar sememangnya munasabah. Seperti yang dikatakan pengulas, dakwaan yang dikenakan terhadap politikus pembangkang dan aktivis pro-demokrasi lebih dilihat sebagai penindasan yang memiliki agenda tertentu, bukannya pendakwaan biasa.
Kalangan pemerhati berpendapat ini adalah amalan biasa dalam sejarah Malaysia, lebih berbanding apa yang dilaporkan.
Apa-apa pun, jika kenyataan Anwar tersebut benar dan tidak dilaporkan di luar konteks, kenyataan itu seperti mencadangkan keputusan dalam rayuan kes Liwat 2 di Mahkamah Persekutuan nanti tidak bebas sepenuhnya dan mungkin dipengaruhi penguasa.
PKR sudah pun menganjurkan “jelajah” yang menjadi kebiasaan mereka, yang menampilkan Anwar sebelum keputusan Mahkamah Persekutuan 10 Februari ini. “Jelajah” itu akan mencapai kemuncaknya menjelang keputusan di Istana Kehakiman di Putrajaya nanti.
Jelajah untuk “memberi penerangan” kepada rakyat menjadi kaedah yang dipilih, dan mungkin sudah terbukti, yang sering digunakan Pakatan Rakyat untuk menyuarakan kekecawaan serta salah laku parti pemerintah.
Walaupun ada yang menyangkalnya memandangkan akses dan populariti media alternatif telah memberikan platform yang lebih baik kepada pembangkang untuk membawa hujah mereka.
Namun, perlu diakui sukar untuk menandingi jelajah penuh semangat bagi mengumpulkan sokongan yang diakhiri dengan klimaks himpunan besar di penghujungnya.
Dan dalam perkara ini, anwar adalah pakar yang sudah diuji masa. Kini beliau melakukan perkara yang sama seperti sebelum ini, dan menunjukkan karisma hebat yang serupa.
Namun, sama ada beliau masih memiliki aura dan tarikan untuk mencetuskan reaksi besar-besaran terhadap kemungkinan dipenjarakan, seperti pada tahun 1998 masih belum dapat dipastikan. Ditambah pula dengan penganalisis yang mempersoalkan sama ada beliau masih mempunyai daya tarikan di mata golongan muda yang tidak melalui sejarah “reformasi”.
1 ulasan:
dah aljuburi liwat Saiful nak belit pulak. Apa pulak fitnah Saiful ada maruah tahu tak.
Catat Ulasan