"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mufti Perlis tegur Najib yang hadir sambutan Thaipusam seakan penganut agama lain


Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin menegur ramai pemimpin, termasuk perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang hadir ke upacara agama bukan Islam dalam keadaan “seakan mereka sebahagian dari penganut agama lain”.

“Saya berpendapat, ramai pemimpin termasuk YAB perdana menteri Malaysia, tidak mendapat nasihat yang jelas tentang hal ini sehingga mereka hadir dalam keadaan seakan mereka sebahagian dari penganut agama lain,” kata Dr Asri.

Katanya, pemimpin Islam tidak boleh menzahirkan perbuatan seakan turut merayakan upacara agama lain seperti melakukan perbuatan ataupun memakai pakaian upacara.

“Penganut agama lain hendaklah menghormati agama pemimpin yang mengunjungi mereka dan tahu tujuan kehadiran pemimpin adalah untuk keharmonian yang ditonjol melalui kepimpinan yang terhormat, bukan dengan cara pemimpin turut melakukan upacara yang bukan ajaran agama pemimpin itu,” katanya.

Asri (atas) dipercayai merujuk kepada sambutan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini yang dihadiri Najib.

Bekas pensyarah di Universiti Sains Islam (USM) itu juga berkata, Islam menghormati beragama pihak lain dan menyeru ke arah kebaikan untuk semua manusia.

Bagaimanapun, katanya, dalam masa yang sama seorang Muslim wajib memelihara identiti akidah Islam.

Menulis di Facebook hari ini, Dr Asri berkata walaupun pada asalnya orang Islam tidak boleh menyertai upacara agama lain, terdapat pengecualian dalam kes-kes tertentu.

Ia antaranya untuk menjalankan tugas yang memberikan manfaat untuk kemanusiaan seperti pegawai keselamatan yang hadir menjaga ketenteraman tau doktor yang merawat pesakit.

“Maka seorang pemimpin utama negara ataupun negeri yang beragama Islam boleh hadir tetapi bukan untuk turut merayakan upacara agama sebaliknya hadir sebagai menjalankan tugas kepimpinan seperti untuk berucap memberi nasihat umum tentang negara dan seumpamanya,” katanya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: