"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno-PAS cuba pisahkan Melayu dan kaum lain, kata Dr M

Mohamad Fadli
KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan Umno dan PAS cuba memisahkan orang Melayu daripada kaum lain, tidak baik untuk negara berbilang kaum.

Perdana menteri berkata, Pakatan Harapan juga prihatin terhadap kepentingan dan perpaduan orang Melayu.

“Kita turut menjaga kepentingan orang Melayu, tetapi kami tak laungkan,” katanya selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal ke-2 Parlimen ke-14 hari ini.

“Kami mahu memastikan ia bukan saja sama rata, tetapi adil. Hubungan kita perlu adil dan setara, bukan hanya sama, tetapi tidak adil.

“Jadi, kami akan menjaga kepentingan orang Melayu dan kami sudah katakan kami mahu pembahagian kekayaan yang adil dalam negara ini.”

Minggu lalu, Umno mengumumkan kerjasama rasmi dengan PAS di peringkat Parlimen dan pilihan raya kecil, selepas meneliti hala tuju kedua-dua parti serta senario politik tempatan.

Susulan itu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata, 2 parti itu sedang membincangkan pembentukan kerajaan campuran di Terengganu, Pahang, Kelantan dan Perlis.

Hari ini, Mahathir berkata, terpulang kepada Umno-PAS untuk melakukan apa yang mereka mahu kerana Malaysia ialah negara bebas.


“Kalau dia nak bersatu, dia bersatulah. Dia nak kahwin, dia kahwinlah.

“Negara kita bebas, dia nak kahwin dengan lelaki tak boleh lagi. Dia nak kahwin dengan yang lain boleh.”

Anggota Kabinet

Mahathir mengakui kebanyakan menteri dan timbalan menteri masih baru dan ada yang mengeluarkan kenyataan memberi kesan buruk kepada kerajaan atas provokasi media.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat memberi masa kepada anggota Kabinetnya yang berkhidmat tidak sampai setahun.

“Mereka (Barisan Nasional) mempunyai kepimpinan selama 60 tahun berbanding dengan kami yang belum sampai setahun.

“Saya tidak fikir setiap orang dalam Barisan Nasional ialah pakar. Ada di kalangan mereka yang melakukan kesalahan mengarut, termasuk bekas perdana menteri.”

Ucapan Agong

Mahathir menyifatkan ucapan Yang di-Pertuan Agong komprehentif yang merangkumi semua aspek, termasuk ekonomi, perpaduan dan tidak menyalah tafsir agama.

Inisiatif Satu Jalur Satu Jalan

Mahathir berkata, China ialah kuasa besar dan Putrajaya perlu mempertimbangkan dasarnya dan bagaimana mendapat manfaat daripadanya.

“Bukan semua dasarnya tidak baik bagi kita. Ada yang sangat baik. Terpulang kepada kita untuk mencari apa yang baik bagi kita dan memanfaatkannya.”

TMJ bukan wakil rakyat

Mengenai dakwaan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang Putrajaya tidak merujuk Majlis Raja-raja Melayu ketika memutuskan untuk menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Mahathir berkata: “Dia bukan wakil rakyat, dia cakap untuk diri dia.”

Tiada ulasan: