"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

8 wakil rakyat Sabah sah sertai Bersatu

Malaysia Dateline
AKMAL MANAF
Empat ahli Parlimen, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan dua senator masing-masing dari Sabah secara rasminya telah diterima menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuatkuasa hari ini.

Mereka adalah Adun Sulaman, Datuk Hajiji Mohd Noor, Adun Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun dan empat ahli Parlimen iaitu Datuk Zakaria Edris (Libaran), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort) dan Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat).

Dua lagi ahli baharu Bersatu yang memegang jawatan senator adalah, Senator Datuk Abd Ghani Mohamad Yassin dan Datuk John Ambrose.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir memaklumkan, beliau akan pergi ke Sabah pada 6 April depan sebagai majlis pelancaran Bersatu di sana.

“Sebelum kita pergi ke Sabah pun, sudah ada permintaan untuk menyertai Bersatu di negeri di bawah bayu itu.

“Bersatu di Sabah adalah satu daripada anggota dalam parti Pakatan Harapan (PH), dan PH adalah kerajaan bagi negara.

“Kita juga memberi tempat kepada Parti Warisan Sabah.. walaupun Warisan bukan ahli PH, tetapi parti itu diberi tempat dalam kerajaan sebagai menteri (tiga orang) dan timbalan menteri (dua orang),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kad Keahlian Bersatu, di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), di Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mahathir berkata, walaupun Warisan bukan menjadi ahli dalam PH, pihaknya tetap menerima anggota Warisan dalam kerajaan.

“Pada masa yang sama, kita juga menyokong kerajaan yang ditubuhkan oleh Warisan di Sabah.. itu adalah pendirian keempat empat buah parti dalam PH termasuklah parti Bersatu.

“Ini bermakna, bahawa ahli Bersatu di Sabah akan menyokong kerajaan Warisan yang ada sekarang ini dan kami tiada niat hendak menggantikan mana-mana pihak,” katanya.

Tiada ulasan: