Ibnu Jubbah
Sempena termeterainya piagam yang membawa kepada penyatuan ummah di antara Umno dan PAS, aku nak mencoret sedikit kenangan buat para pelayar media dalam talian. Mudah-mudahan ia memberi kebaikan kepada kalian dan aku juga.
Brother Azhar (atau nama rasmi beliau: Azhar Idrus) ketika menjawab satu soalan yang berbunyi: "Apakah pandangan (ustaz) PAS bekerjasama dengan Umno sekarang ini?" menyifatkan kumpulan yang tidak bersetuju dengan kerjasama itu sebagai menentang Islam lalu berdosa.
Memetik jawaban beliau dalam sepotong klip video, Bro Azhar berkata: "(Kena) tengok tujuan. Tujuannya (kerjasama tersebut) supaya Islam kembali selamat daripada dijatuhkan oleh musuh-musuh kafir laknatullah, maka bekerjasama sekarang hukumnya wajib. Siapa yang menentang adalah berdosa dan dilaknat oleh Allah. Allah sebut dalam Quran (maksudnya) “Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan jangan berpecah belah…”
Adakah kalian rasa kata-kata itu boleh terima?
Aku perjelaskan begini. Pertama Bro Azhar kata tujuan kerjasama di antara PAS dan Umno adalah untuk menyelamatkan Islam. Ini aku tak mahu komen. Mereka berhak dakwa demikian.
Kedua, dia kata ada musuh-musuh Islam daripada kalangan kafir yang dilaknat Allah sedang mengancam Islam. Ini pun aku malas komen. Kita boleh andaikan mereka bersatu untuk lawan Israel atau musuh Islam yang ada di sekeliling mereka.
Ketiga, kerjasama PAS - Umno adalah wajib. Ini juga terserah kepada dia dan mereka. Jika dia rasa ia wajib, tidaklah bermakna semua orang wajib mengikuti pandangan dia dan mesti menyokong dan bekerjasama pula dengan Umno dan PAS.
Seterusnya bahagian keempat. Ini ada isu bagi aku, tapi terpulanglah kepada kalian. Dia kata sesiapa yang menentang kerjasama Umno dan PAS - yang didakwa demi Islam itu - maka berdosa dan dilaknat Allah.
Cuba pejam mata seketika
Mana hujah dia bahawa sesiapa yang menolak kerjasama Umno dan PAS itu berdosa? Bukannya semua dalam Umno itu Muslim, dan bukannya selain Umno dan PAS itu semuanya kafir sehingga dia mendakwa kerjasama berkenaan seperti sebuah agama.
Bagaimana Bro Azhar mahu jelaskan bahawa sesiapa yang menentang kerjasama PAS dan Umno sama macam menentang Islam dan umatnya?
Bukankah Umno dan PAS itu hanya parti politik? Bebas untuk menyertai parti itu dan harus menentangnya jika ada idea mereka yang tidak dipersetujui.
Kita hidup dalam dunia politik demokrasi. Kita berhak dan bebas berpendirian. Apakah politik paksaan ini wajah baru buat PAS dan Umno di Malaysia?
Lebih menonjol kekerasan Bro Azhar apabila dengan berani dan selamba menekankan bahawa mereka yang menentang kerjasama itu akan "dilaknat Allah".
Dia Malaikatkah? Dia Nabikah? Tentulah tidak. Bagaimana dia boleh berhujah sedemikian? Mana dia tahu? Kalian tentu faham, kan, bahawa laknat ini maksudnya seseorang itu sudah jauh daripada rahmat Allah. Dibenci Allah.
Cuba kita pejam mata dan buka semula. Selain Umno, PAS dan penyokong mereka, semuanya manusia dibenci Allah. Berat ni bro, berat. Berat nanang.
Aku pun tak dapat menghadam cara Bro Azhar berfikir dan berhujah. Kalau dilihat cara dia mengajar dan berhukum pun, selalunya lari jauh daripada disiplin usul fiqh dan kaedah fiqh. Tiada nilai akademik.
Jika nak promosi gagasan penyatuan ummah, lakukan sajalah. Tidak ada yang dapat menghalang. Kalau nak mencipta alasan mahupun sebab untuk penyatuan, ikut sajalah. Negara bebas, kan kita ni?
Bukan senang nak menjejakkan kaki ke PWTC memakai baju bulan. Bro Azhar boleh terus menyokong dan boleh juga masuk bertanding nanti. Untung nasib, boleh jadi MB Terengganu. Mana tahu, kan?
Kenapa aku kongsikan hal ini di sini? Sebab aku rasa rakyat Malaysia perlu sedar Bro Azhar tidak memiliki hujah untuk dengan mudah mengatakan orang yang menentang kerjasama PAS dan Umno berdosa dan dilaknat Allah.
Seberat Bukit Uhud
Tapi dia ada pengaruh yang besar. Apabila seorang guru melaknat, maka anak murid boleh sampai mengkafirkan orang. Itu yang aku takut sangat.
Orang Islam di Malaysia mesti menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa pendakwah-pendakwah yang bersyarah ikut sedap lidah masing-masing sehingga khabarnya kadang-kadang ada yang menyediakan soalan untuk diri sendiri lebih awal.
Tujuannya? Antara lain untuk memasarkan diri masing-masing dalam carta penceramah setempat. Khabarnya, ada, tetapi aku tak tahulah siapa.
Islam yang rahmah itu ialah Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW, bukan yang dibawa Dr Mujahid Yusof atau Dr Mahathir Mohamad.
Jika mereka alergi sangat dengan pendekatan rahmah, tidaklah perlu melaknat orang di sana sini. Melaknat itu mudah tetapi tanggungjawab pada lidah yang menutur seberat Bukit Uhud.
Itu kiasan aku sendirilah.
Apabila seorang kawan bertanya sama ada aku nak tulis atau tidak isu ni, aku balas yang aku dah muak menulis pasal penunggangan agama. Eh, bila masa pulak aku rajin menulis? Hahaha.
Sebab gerakan ini disulami dengan kalimah jihad dan dipimpin pula oleh ulama yang serbannya besar. Sedangkan aku pakai jeans saja kot. Aku kata, baik laknat balik daripada menulis.
Namun, aku tak tergamak nak melaknat orang yang melaknat aku, maka aku menulis di sini untuk bacaan semua. Terima kasih kepada Malaysiakini yang menyiarkan tulisan aku ini dan aku faham ia tidak semestinya pendirian portal itu.
Dan aku harap editor Malaysiakini kekalkan sahaja ganti nama aku ni. Tidak perlulah tukar kepada "saya" atau "ana".
Membahasakan diri sebagai "aku" dalam menulis lebih mulia daripada menggunakan kalimah laknat kepada seteru politik.
OK, aku nak sambung ‘main salji’ di sini. Tenangkan fikiran di permusafiran ini. Harap orang Malaysia tabah dengan negara dan kehidupan yang sedang dibaham oleh pendakwah-pendakwah yang mendakyah.
IBNU JUBBAH ialah nama pena seorang anak muda yang sedang menyiapkan pengajiannya dalam bidang hak asasi manusia menurut Islam serta berminat dengan politik tanah air.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan