FMT Reporters
KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Anwar Ibrahim menjangkakan beliau akan mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad tahun depan.
Dalam satu wawancara dengan Bloomberg Television, Anwar berkata, lawannya yang menyasarkan jawatan nombor satu itu “tidak relevan”.
“Tiada tanda mana-mana parti akan memperkenal atau mempromosi atau melobi nama lain.
“Ia tidak menghalang individu lain yang bercita-cita,” katanya sambil menyifatkan mereka sebagai “tidak relevan”.
Baru-baru ini, Mahathir didesak menetapkan tarikh khusus untuk menyerahkan kuasanya kepada Anwar seperti yang dipersetujui pemimpin Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum ke-14 tahun lalu.
Mahathir yang dilantik semula sebagai perdana menteri susulan kemenangan PH dalam PRU14, berulang kali menegaskan beliau akan mengotakan janji untuk berundur selepas memerintah kira-kira 2 tahun.
Sementara itu, Anwar menggesa kerajaan menangani ketakutan orang Melayu dan tindakan afirmatif kerajaan diperluaskan kepada golongan miskin berbilang kaum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan