"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'K'jaan campuran Umno-PAS perlu dipercepat bagi hilangkan keraguan'

N Faizal Ghazali


Selepas memeterai Piagam Muafakat Nasional, Umno dan PAS dilihat perlu percepatkan kerajaan campuran di negeri-negeri yang dikuasai mereka, kata penganalisis politik.

Dr Kamarul Zaman Yusof berpendapat, idea kerajaan campuran oleh kedua-dua parti itu adalah lebih baik dipercepatkan kerana menurutnya ia akan menghilangkan keraguan pihak-pihak tertentu, termasuk sesama ahli sendiri.

"Dalam keadaan sekarang Umno wajar dipuji kerana dilihat lebih bersedia membentuk kerajaan campuran dengan awal-awal lagi mencadangkannya berbanding PAS yang masih menunggu masa dan aturan yang sesuai.

"Tidak dinafikan akan ada yang terjejas bila kerajaan campuran terbentuk kerana sudah pasti penyandang jawatan tertentu terpaksa memberi laluan kepada parti rakan.

"Begitupun, inilah namanya pengorbanan yang amat diperlukan bagi membuktikan kedua-dua parti benar-benar serius mahu menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Presiden PAS memberi isyarat bahawa ada perancangan untuk menjadikan Umno sebagai rakan kerjasama dalam kerajaan negeri yang ditadbir parti itu iaitu di Kelantan dan Terengganu.

Perkara itu kemudiannya turut disambut baik oleh negeri-negeri yang ditadbir Umno seperti Perlis dan Pahang sambil menekankan perbincangan terperinci mengenai usaha itu perlu dilakukan oleh pimpinan tertinggi parti.

Pertukaran mudah

Sementara itu Kamarul Zaman yang juga pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, tidak susah untuk memutuskan pihak yang perlu berundur kerana menurutnya sudah ada contoh baik pada waktu pembentukan kerajaan campuran pada 1973 dahulu yang dibuat secara undian dalam mesyuarat parti.

Menurutnya, tidak menjadi kesusahkan juga untuk memutuskan jumlah kerusi exco kerajaan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang perlu diserahkan kepada parti rakan kerana menurutnya masing-masing mempunyai dua negeri yang boleh ditukar suka sama suka.

"Berdasarkan semangat ta'awun, tidak perlu dibuat perkiraan yang sulit ke atas agihan jawatan dan kerusi, cukuplah dengan pertukaran mudah seperti dua atau tiga exco di negeri dikuasai Umno dengan dua atau tiga ecxo di negeri dikuasai PAS.

"Jika perkara mudah begini pun sukar dilakukan dengan cepat maka ia boleh menyebabkan lawan mereka terus mempermainkan keikhlasan dan kesungguhan mereka bekerjasama.

"Cadangan saya ialah buat sahaja dahulu kerajaan campuran ini dan apa-apa masalah yang berbangkit daripadanya boleh sahaja diselesaikan sedikit demi sedikit kemudiannya," jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali pula melontarkan pendapat yang sebaliknya.

Beliau berkata, pembentukan kerajaan campuran itu bukan keperluan yang mendesak walaupun menurutnya PAS menunjukkan keazaman yang tinggi dalam membawa konteks penyatuan nasional itu.

"Saya jangka akan timbul kerumitan jika cadangan itu dilaksanakan. Ini kerana pelaksanaan akan dibuat memasuki pertengahan penggal.

"Persoalannya, adakah keanggotaan ahli majlis mesyuarat kerajaan (exco) akan ditambah? Jika demikian, akan meningkat perbelanjaan negeri-negeri pembangkang yang sememangnya nazak, atau adakah exco-exco asal akan digugurkan dan diganti dengan exco dari parti dalam muafakat?" ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, jika keadaan demikian dilaksanakan sudah pasti akan timbul ketidakpuasan hati mana-mana pihak.

"Ini pasti akan menimbulkan konflik, kecuali ia sudah dibincang atau dirancang sejak sebelum pilihan raya umum (PRU) dan telah dipersetujui bersama.

"Daripada track record, misalnya hubungan Semangat 46 dan PAS dalam PRU 1990 terbukti konsep kerajaan campuran gagal. Berlaku perebutan kuasa yang tak terkawal antara kedua-dua parti ini.

"Putusnya hubungan Semangat 46 dan PAS banyak berpunca daripada kegagalan untuk membahagikan kuasa dan jawatan selepas wujudnya kerajaan campuran," kata Mazlan.

Tiada ulasan: