ADAM ADLI ABDUL HALIM
Kita tidak boleh mengelak daripada membincangkan tentang apa yang berlaku dalam minggu yang baru berlalu. Penamatan secara rasmi perseteruan politik antara dua parti Melayu terbesar, Umno dan Pas adalah sebuah peristiwa besar.
Barisan pimpinan muda Pakatan Harapan (PH) mengajak kita untuk tidak terlalu menyorot perhatian ke atas perkembangan tersebut boleh difahami maknanya, namun tidak sepenuhnya adalah langkah yang tepat.
Benar, tidak wajar untuk kita hanya ghairah membincangkan perihal lawan, sehingga tidak mengambil pusing isu-isu yang menyelubungi kita sendiri.
Namun pada hemat yang rasional, setiap yang sedang membelenggui kesepakatan politik kita ini juga bertitik tolak daripada gerak langkah politik pembangkang sendiri.
Dalam beberapa bulan yang lepas, kita telah gagal memusatkan naratif politik kita sendiri dalam berdepan kempen-kempen perkauman mereka.
Sekejap, kita cuba membuktikan kita lebih Melayu dan lebih Islam daripada pihak lawan. Sekejap pula, kita mahu kembali kepada fitrah politik majmuk yang mendorong kemenangan dalam pilihan raya umum yang lalu. Kita ini di mana sebenarnya?
Yang jelas, kenyataan senada oleh Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim pada Hari Malaysia berkaitan mempertahankan perpaduan antara kaum adalah hakikat yang paling wajar buat kita.
Sudah seharusnya dan sepatutnya, kita terus mengungguli kekuatan kita tersebut. Jangan ingat, Umno dan Pas benar-benar yakin dengan politik perkauman dan agama yang sedang rancak ditunggangi mereka saat ini.
Buktinya, dalam piagam yang dikarang baru-baru ini, masih lagi cuba-cuba untuk mengekalkan naratif berbilang bangsa, biarpun lidah dan hati mereka setiap hari meracun rakyat untuk berpecah-belah.
Keyakinan mereka untuk memenangi pilihan raya akan datang tidaklah begitu tuntas. Pada Hari Malaysia, dilaporkan Presiden Pas, Tuan Guru Abdul Hadi Awang cuba mengocak ketenangan dan perpaduan masyarakat di Malaysia Barat. Membawa naratif kebencian ke atas minoriti Cina dan terus menerus memomokkan DAP di hadapan masyarakat di sana adalah bukti keyakinan mereka ke atas politik Melayu Islam di Semenanjung tidak langsung menjamin kemenangan dalam pilihan raya akan datang.
Begitulah sebenarnya resmi politik golongan konservatif yang condong hari ini menjadi fasis. Tidak pernah golongan ini mampu untuk membawa pembaharuan. Golongan sebegini hanya mampu menangguk di air keruh.
Politik reaksionari yang hanya mampu bernafas dalam kekacauan dan huru-hara persekitaran semasa. Propaganda golongan konservatif ini tidak pernah memperdulikan rasional atau pun kebijaksanaan, sebaliknya terus menerus bermain dengan emosi – dan emosi amatlah jauh sifatnya dengan akal.
Dalam hal ini, Pakatan Harapan tidak boleh menoleh ke belakang lagi. Kunci kemenangan dalam pilihan raya umum yang akan datang terletak pada penolakan konsisten ke atas politik perkauman dan kebencian yang sedang marak disebarkan ke merata tanahair ini.
Dan ini hanya boleh dicapai andai kita kembali kepada fitrah asal kita. Untuk merobohkan keyakinan politik pembangkang, kita harus kembali yakin dengan kekuatan politik kita. Jangan kita ikut terjun ke dalam kebinasaan yang sama seperti lawan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan