"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hempas, pukul kepala bayi hingga koma, 3 pengasuh ditahan

Bernama

KUALA TERENGGANU: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma dipercayai didera pengasuh di sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Buruk di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa, berkata mangsa koma selepas mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan otak dan retak pada tempurung kepala.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa yang mendapati bayinya dalam keadaan lemah dan kesakitan selepas diambil daripada pusat jagaan itu pada hari sama.

Katanya, bapa mangsa yang bekerja sebagai pegawai perubatan membawa anaknya ke hospital untuk pemeriksaan dan mendapati terdapat darah beku dalam kepala mangsa.

Susulan kejadian itu, polis menahan tiga wanita berusia 22 hingga 33 tahun yang bekerja sebagai pengasuh di pusat jagaan tersebut, semalam.

“Ketiga-tiga suspek telah dipanggil sebelum ini untuk memberi keterangan. Tetapi masing-masing menafikan kejadian tersebut.

“Bagaimanapun polis mendapati keterangan mereka agak meragukan. Justeru rampasan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dilakukan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

Rohaimi berkata, hasil pemeriksaan rakaman CCTV mendapati selain dipukul di kepala, suspek juga telah menggoncang serta menghempas tubuh mangsa yang baru sahaja tiga hari didaftarkan di pusat jagaan kanak-kanak berkenaan.

“Mangsa masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya,” katanya dan ketiga-tiga suspek dibawa ke mahkamah untuk direman hari ini.

Tiada ulasan: