"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ghanimah adalah untuk mereka yang pergi berperang, bukan untuk yang duduk di rumah ketika perang - Shahbudin Husin

HARTA RAMPASAN PERANG UNTUK MEREKA YANG PERGI BERPERANG, BUKAN UNTUK YANG DUDUK DI RUMAH KETIKA PERANG

Sesungguhnya saya turut berasa simpati dengan pelbagai cerita dan maklumat yang diterima mengenai nasib orang-orang parti yang bagai disisihkan setelah PH berjaya menjadi kerajaan.

Ramai yang bertungkus lumus dan menyumbang tenaga kepada kemenangan PH merasa dipinggirkan dalam pelbagai lantikan setakat ini, khususnya untuk bertugas di pejabat-pejabat menteri.

Dikatakan banyak lantikan yang dibuat oleh menteri-menteri tidak daripada kalangan yang aktif dan mengeluarkan peluh ketika PRU15 lalu, sebaliknya daripada kalangan yang bukan saja tidak mengeluarkan walau setitik peluh pun ketika musim kempen, tetapi semata-mata kerana hubungan peribadi dengan menteri berkenaan.

Sehingga ada yang meluahkan perasaan – kami ini nampaknya berguna ketika membajak saja, tetapi dilupakan bila musim menuai tiba.

Dalam maksud yang lebih mudah difahami ialah mereka ini tidak diberikan hak menikmati ghanimah atau harta rampasan perang setelah perang berakhir dan kemenangan diperolehi.

Di beberapa catatan sejarah Rasulullah ketika perang, harta rampasan perang itu dibahagikan kepada mereka yang ikut berperang sebagai membalas jasa dan pengorbanan yang dilakukan.

Dari segi bahasa, istilah harta rampasan itu sendiri bermaksud ia untuk mereka yang terlibat dalam peperangan.

Dalam Al-Quran surah Al-Anfaal ayat 41 secara jelas menyebut siapa yang berhak mendapatkan ghanimah tersebut – “Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan ibnu sabil (orang yang telantar di perjalanan)…”

Dengan demikian, yang dibagi-bagikan kepada para pasukan yang ikut berperang adalah empat perlima harta rampasan perang setelah bahagian seperlima itu dibagi kepada pihak-pihak yang dicantumkan Allah SWT dalam ayat di atas.

Adapun surat Al-Anfaal ayat 69 berbunyi: ”Maka makanlah dari sebahagian harta rampasan perang yang telah kamu ambil itu, sebagai makanan yang halal lagi baik dan bertakwalah kepada Allah…”

Hukum halalnya mengambil harta melalui jalan perang ini juga terdapat dalam sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Jabir bin Abdillah yang bermaksud: ”Allah memberi saya lima hal, yang Nabi-Nabi sebelum saya tidak mendapatkannya…Dijadikan bagiku bumi ini sebagai tempat sujud dan suci, maka di mana saja seseorang dari umatku dipanggil salat, maka salatlah dan dihalalkan bagiku ghanimah, sementara bagi umat sebelumku tidak dihalalkan…”

Pada masa Khalifah Umar bin Al-Khattab, ditetapkan bahawa jenis harta yang boleh diambil oleh pasukan Islam yang telah memenangi peperangan adalah harta bergerak saja dengan alasan, harta bergerak inilah yang sesuai dengan ‘urf (kebiasaan).

Lantaran pembahagian ghanimah yang adil dan mengikut hak itulah juga yang menyumbang kepada pelbagai kejayaan tentera Islam dalam peperangan, seterusnya menjadikan Islam berkembang dengan luas.

Dalam sistem bernegara moden seperti sekarang, ghanimah atau harta rampasan perang itu adalah jawatan dan kedudukan dalam kerajaan setelah berjaya mengambil alih pentadbiran negara.

Maka, sebagaimana harta rampasan perang seharusnya dinikmati oleh mereka yang ikut berperang, mengisi jawatan dalam kerajaan setelah kemenangan dalam PRU juga sewajarnya diberikan kepada mereka yang ada sumbangan dalam kejayaan yang diperolehi.

Untuk fasa berikutnya, sasaran ghanimah yang ditunggu-tunggu ialah jawatan dalam GLC dan juga agensi kerajaan masih banyak lagi kekosongannya.

Namun, bertembung dengan desakan pihak tertentu agar jawatan dalam GLC khususnya tidak diberikan kepada orang politik, sebaliknya kepada profesional, orang-orang parti sekali lagi berhadapan dengan nasib yang tidak menentu.

Kalau sebelum ini mereka yang tidak pernah berpeluh untuk kemenangan PH diberikan jawatan di pejabat-pejabat menteri, kini golongan profesional yang mungkin hanya duduk di rumah ketika musim kempen, malah ada sesetengahnya menolak PH dan Anwar Ibrahim, ternampak lebih ditonjolkan untuk diberikan ghanimah.

Ada nama-nama yang disebut untuk dilantik itu, selain bukan orang parti dan tidak pernah memberi apa-apa sumbangan, ada di antaranya memang tidak memihak kepada PH pun.

Cuma diberitakan, setelah PH menjadi kerajaan ini, rajin pula mereka itu menghimpit pihak-pihak tertentu untuk turut sama menikmati ghanimah tersebut.

Adalah malang sebenarnya apa yang berlaku ini, terutama apabila mereka yang berharap ghanimah itu sampai sampai ke peringkat terpaksa membangkitkannya dalam mesyuarat parti dan kumpulan tertentu turut mengadakan perjumpaan khusus untuk menuntut jawatan yang dikehendaki.

Tanpa mengenepikan faktor kelayakan dan kemampuan, seharusnya orang parti dan mereka yang berperanan dalam kemenangan PH pada PRU15 lalu hendaklah diberi keutamaan dalam pemberian ghanimah ini.

Mereka harus dihargai dan tidak perlu sampai meminta-minta ghanimah itu.

Sebagaimana mereka berperanan, berpeluh dan bertungkus-lumus pada perang PRU15 lalu, peranan mereka untuk berlawan dalam peperangan yang masih banyak menunggu di hadapan pasti lebih berkesan lagi jika diberikan ghanimah yang sewajarnya.

Tetapi, jika selepas ini ghanimah itu tidak juga diperolehi, sebagai tanda simpati kepada mereka yang diketepikan itu, pesanan saya cuma satu – baiklah berehat saja daripada terus berjuang yang hasilnya dikutip oleh orang lain.

Sebaliknya, biarkan mereka yang diberi ghanimah itu pula berperang dalam perang-perang seterusnya yang masih banyak lagi selepas ini. – ShahbudinHusin 09/01/2023.

Tiada ulasan: