"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kemelut Sabah: Tumpuan terhadap Anwar ekoran Bung enggan mengalah

Malaysiakini

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilihat bersedia untuk campur tangan dalam kemelut politik Sabah apabila kembali ke Malaysia esok - walaupun ketua menteri, Hajiji Noor memperoleh majoriti dalam dewan undangan negeri (DUN).

Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin yang merupakan salah seorang pesaing Hajiji enggan mengaku kalah walaupun mengakui ketua menteri itu mempunyai majoriti.

Sebaliknya, Bung berharap Anwar boleh menyebelahinya.

"Sudah tentu dia (Hajiji) ada 44 (adun), kerana dia ambil semua orang saya, dia rosakkan semua orang saya. Tetapi tidak mengapa.

"Bola masih bergolek. Kita tunggu perdana menteri pulang esok... Mereka akan jumpa kami dan Warisan. Kemudian, kita akan bercakap mengenainya," katanya dipetik NST.

Anwar kini dalam lawatan selama dua hari ke Indonesia dan akan pulang ke tanah air petang esok.

Sebaik sahaja kembali ke Malaysia, dia dijangka bertemu Hajiji, Bung, dan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi - yang mendakwa mempunyai "formula" untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Bagaimanapun tidak jelas sama ada Anwar akan bertemu kesemua mereka yang terlibat atau secara berasingan.

Episod politik di Sabah bermula pada Khamis lalu apabila Warisan, yang mempunyai 19 kerusi DUN, merancang mengadakan sidang akhbar yang kemudiannya dibatalkan, di tengah-tengah spekulasi terdapat usaha menjatuhkan Hajiji sebagai ketua menteri.

Pada Jumaat lalu, BN Sabah - yang memiliki 17 kerusi DUN- menarik balik sokongan daripada kerajaan negeri..

Ini selepas Hajiji memecat Salleh Said Keruak sebagai pengerusi Qhazanah Sabah dan berusaha melakukan rombakan dalam kabinet kerajaan negeri.

Bagaimanapun, lima Adun BN membantah keputusan Bung dan merupakan antara 44 Adun yang menyokong Hajiji untuk kekal sebagai ketua menteri.

Hajiji berkata dengan sokongan itu bermakna kerajaan negeri pimpinannya kekal utuh.

Bung, bagaimanapun, mendakwa sebaliknya.

“Tidak ada kerajaan. Kerajaan (sebelum ini) dibentuk bersama (antara Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional selepas pilihan raya negeri pada 2020).

"Bila kita (BN/Umno) tarik diri, maknanya tiada ketua menteri," katanya.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi - termasuk enam jawatan dilantik yang boleh menentukan sokongan majoriti.

BN, GRS, dan Warisan merupakan parti dalam kerajaan persekutuan dan telah menandatangani memorandum persefahaman untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Tiada ulasan: