"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes culik: 2 ditahan, seorang diburu kes pemerasan, melarikan lelaki warga India

Mary Victoria Dass
Polis sedang mengesan seorang lagi suspek dikenali J Jatheswaran, 30. – Foto ihsan PDRM
ISKANDAR PUTERI: Dua ditahan termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes pemerasan dan melarikan seorang lelaki warga India, dengan seorang lagi suspek sedang diburu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, berkata kejadian berlaku 19 Januari lalu apabila mangsa, 30, dikatakan dibawa keluar individu tidak dikenali dari sebuah bilik hotel di kawasan Gelang Patah kira-kira jam 3 pagi.

Beliau berkata, suspek kemudian menghubungi rakan mangsa kira-kira jam 1 tengah hari meminta bayaran RM5,000 untuk membebaskan lelaki itu, sebelum rakan mangsa mebuat laporan polis.

“Bertindak atas maklumat, pada jam 12.15 tengah malam sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Iskandar Puteri mengesan dan menyelamatkan mangsa di kawasan Gelang Patah.

“Pada 20 Januari pula antara jam lebih kurang 1 hingga 4 pagi pasukan sama membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan seorang perempuan warga tempatan berusia 26 dan 32 tahun di kawasan Permas Jaya.

“Suspek lelaki memiliki rekod jenayah dan dadah serta hasil ujian awal saringan air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis syabu,” katanya.

Hasil tangkapan itu, beliau berkata polis merampas sebuah kereta, tiga telefon bimbit, sebuah kotak barang kemas, sebuah cincin, seutas rantai leher, tiga beg, sebuah komputer riba dan sebuah fail.

“Semua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) selama enam hari sehingga esok dan polis sedang mengesan seorang lagi suspek dikenali J Jatheswaran, 30,” katanya.

Berdasarkan siasatan, katanya mangsa diperas ugut kerana menjalinkan hubungan sulit dengan suspek wanita yang ditahan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 384 kanun sama kerana pemerasan.

Krisis Pas di Perlis berterusan di dalam Pas

Harapandaily

Tiga Adun yang dipecat kerana menarik sokongan kepada Menteri Besar Perlis sebelum ini berkemungkinan kembali ke pangkuan Pas.

Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin berkata penamatan keahlian tiga Adun tersebut oleh presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang adalah tertakluk kepada Majlis Syura.

Menurut Hashim, segala ketetapan yang dibuat oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berhubung kedudukan tiga Adun terbabit belum muktamad sepenuhnya kerana kuasa akhir terletak di tangan Majlis Syura.

Katanya, usaha mencari penyelesaian terhadap isu tersebut sedang giat dijalankan dan diyakini dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Pertemuan kelmarin itu, apa yang saya boleh kata, usaha untuk mencari jalan penyelesaian mengenai tiga Adun ini kita sedang giat jalankanlah. Insya-Allah, kita yakin dalam masa terdekat ini boleh selesai,” katanya, lapor Malaysiakini.

Beliau merujuk kepada pertemuan beliau dengan presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah yang turut dihadiri oleh Adun Chuping Saad Seman, Adun Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.

Hashim berkata ketiga-tiga mereka wajar membuat rayuan kepada Majlis Syura.

“(Kita bincangkan penyelesaian kepada masalah) di antara PAS Pusat dengan tiga Adun ini, mereka dah merayu balik dekat Majlis Syura dan sebagainya dan tengoklah dalam mesyuarat minggu depan kita akan putuskan,” katanya.

“Majlis Syura ada lagi, jadi presiden masih tertakluk kepada Majlis Syura dalam hal ini,” ujarnya.

Wanita tersalah tekan pedal minyak rempuh saudara sendiri

Izz Laily Hussein
Akibat tersalah tekan pedal minyak, sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang wanita melanggar saudaranya sendiri di Dataran Pasir Gudang, Pasir Gudang, kelmarin. FOTO MEDIA SOSIAL
JOHOR BAHRU: Akibat tersalah tekan pedal minyak, kereta Perodua Myvi dipandu wanita merempuh saudaranya sendiri di Dataran Pasir Gudang, Pasir Gudang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 9.45 malam sebelum insiden berkenaan tular di media sosial.

“Kemalangan membabitkan wanita berusia 25 tahun bersama dua anak perempuannya masing-masing berusia empat dan tujuh tahun.

“Siasatan mendapati ketika kejadian semua mangsa berada di hadapan kereta milik ahli keluarga.

“Pemandu kereta iaitu wanita berusia 28 tahun yang juga saudara kepada mangsa telah menghidupkan enjin kereta dan secara tidak sengaja tertekan pedal minyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan kereta terbabit bergerak ke hadapan dan melanggar ketiga-tiga mangsa hingga alami kecederaan dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

“Semua mangsa mengalami kecederaan ringan dan sudah dibenarkan pulang ke rumah pada hari yang sama. Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” katanya.

Mohd Sohaimi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan sikap bersabar, waspada dan berhati-hati ketika menggunakan kenderaan termasuk mematuhi peraturan ditetapkan.

BN pertahan Kinabatangan, Lamag

Malaysiakini

Made with Flourish • Create a chart
Made with Flourish • Create a chart
BN berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag dalam pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan di kedua-dua kawasan tersebut.
Berdasarkan keputusan rasmi, calon BN bagi Parlimen Kinabatangan, Naim Kurniawan Moktar, memperoleh 19,852 undi (75 peratus) dalam pertandingan tiga penjuru menentang Warisan dan seorang calon bebas.

Kerusi itu sebelum ini disandang oleh bapanya, Allahyarham Bung Moktar Radin.

Pada Pilihan Raya Umum 2022, Bung memenangi kerusi berkenaan dengan 16,842 undi (57.4 peratus) dalam pertandingan satu lawan satu menentang Warisan.

Dalam PRK kali ini, Warisan hanya meraih 21 peratus undi.

Sementara itu, bagi kerusi DUN Lamag, calon BN Ismail Ayob mencatat kemenangan apabila memperoleh 7,269 undi (82.1 peratus) dalam pertandingan satu lawan satu menentang Warisan.

Pada pilihan raya negeri November lalu, Ismail tewas tipis kepada Bung dengan majoriti 153 undi dalam pertandingan enam penjuru yang turut melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PN.

Kemenangan ini menunjukkan penyokong Ismail dan Bung bersatu menyokong calon BN.

Warisan bagaimanapun menunjukkan peningkatan prestasi di Lamag apabila memperoleh 1,588 undi (17.9 peratus) berbanding hanya 373 undi (3.7 peratus) pada pilihan raya November lalu.

Peningkatan peratusan undi itu menunjukkan kemungkinan sebahagian penyokong GRS beralih menyokong Warisan.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian Bung Moktar Radin pada 5 Disember tahun lalu.

Laporan tambahan oleh Jason Santos.

Haji Hadi tak larat, bagi Dominic Lau jadi pengerusi PN

Tajuddin Rasdi

Saya berikan beberapa kebaikan cadangan penyelesaian ini 'so that' kita tutup cerita misteri siapa pengerusi PN.

Semua orang tengah ‘suspense’ siapa jejaka dan tokoh nak jadi pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan berkemungkinan jadi ‘poster boy’ perdana menteri bagi blok pembangkang. Saya hairan kenapa dah nak sebulan pun tak selesai. Bagi saya, benda itu senang saja dan bagi saya benda itu cukup menarik untuk mengubah landskap politik Malaysia. Bagi saya penyelesaiannya ada pada kata-kata pemimpin parti Melayu sendiri yang menggenggam jawatan tersebut.

Pertama, Muhyiddin Yassin dah ‘resign’. Tiada siapa suruh pun. Tiada siapa minta pun. Tiada siapa paksa pun. Dia yang ‘resign’. Bab mana yang susah nak faham? Dengan ini saya meletakkan jawatan saya sebagai pengerusi PN dan ‘good lucklah’ cari pengganti. Itu agaknya apa yang mungkin diniatkan oleh Muhyiddin sewaktu dia memberi WhatsApp kepada semua.

Kedua, PAS cukup ‘happy’ mulanya sebab mereka kata inilah masa parti itu menyerlahkan kehebatan dan kekuatan kerusi terbanyak di Parlimen. Kami ada ramai calon, ‘don’t worrylah’ jelas Hadi Awang dengan ‘confident’. Kemudian jadilah tolak-menolak dalam pencalonan. Mula dicadangkan Ahmad Samsuri Mokhtar tetapi ditentang ‘geng agama’ dengan mengatakan PAS ketuanya mesti ulama.

Kepimpinan ulama sajalah yang faham Islam dan boleh memperbaiki politik manusia sebab mereka sajalah faham apa tuhan perintahkan. Jadi macam Iran ulama memerintah. Jadi macam Taliban ‘geng janggut’ pegang kuasa. Ini boleh buat, itu tak boleh, yang lain pula okey kalau ulama kata tak pe. Macam tulah nanti hidup kita semua rakyat Malaysia. Semua kena rujuk ulama. Nak buang air rujuk mereka, nak makan rujuk mereka nak berkeluarga dengan ‘gender’ lain pun kena rujuk-merujuk. Nak bancuh konkrit tak pasti kena rujuk halal atau tidak. Nak ‘transfer’ darah pun mungkin kena rujuk kehalalan darah agaknya nanti. Macam ni semua hidup kita senang. Tak payah fikir, ikut ulama saja. Tetapi, siapa ulamanya yang nak ganti Muhyiddin?

‘Of courselah tok guru Hadi!’ Tetapi tok guru kata dia tak sihat, tak larat. Tetapi, tok guru mengata orang, dia larat dan lebih daripada okey.

Kata orang sebagai haiwan, dia boleh. Baru-baru ini dia label orang di parti lain sebagai syaitan bisu. Wow tergamak sampai. Saya baca tentang kekejaman Hitler pun saya tak berani kata dia tu syaitan. Teruk-teruk Tun M tak pernah kami dalam reformasi nak gelar dia syaitan. So, kalau tok guru hero tak larat, siapa?

Ketiga, Muhyiddin dah ‘sound’, pengerusi PN mesti presiden sebuah parti baru ada ‘authority’ dan umphh! Kalau setakat timbalan presiden, naib presiden tak payahlah. So, orang macam Dr Sam atau Tuan Ibrahim Tuan Man tu ‘second classlah’ kononnya. So, siapa?

Keempat, senang saja, hari ini tok guru ‘resign’ sebagai presiden, esok PAS pilih pemimpin baru sebagai presiden, maka dialah jadi pengerusi PN. ‘What’s the problem?’ Oh, lupa, Hadi kata pemimpin Islam mesti jadi pemimpin sampai mati. Tak main tempoh-tempoh dikenakan kepada presiden parti politik dan ketua negara. Alahai, nampak gaya lambat lagilah cerita PN ni.

Atau, hmmm…hari ini Muhyiddin ‘resign’ sebagai presiden Bersatu dan bagi kepada Azmin Ali atau Hamzah Zainudin apa macam? Pun tak boleh juga. Hayat presiden Melayu nak kena sampai 100 tahun lebih agaknya.

Kelima, kalau dah macam tu, lantik sajalah Dominic Lau jadi presiden PN. Apa masalahnya? Adakah dalam perlembagaan seorang perdana menteri mesti orang Melayu dan beragama Islam? Setahu saya tak ada pun. Saya berikan beberapa kebaikan cadangan penyelesaian ini ‘so that’ kita tutup cerita misteri siapa pengerusi PN.

Pertama, semua orang bukan Melayu akan sokong PN kalau Lau jadi pengerusi PN. ‘This is a game changer! Instant win!’ Tak pernah dibuat parti politik Melayu. Menonjolkan Lau sebagai wira perdana, sekali gus menukar imej PAS sebagai parti ekstremis kepada parti ‘Malaysianis’.

Kedua, parti Gerakan tak akan banyak menang kerusi seperti jumlah Bersatu dan PAS, ‘so Dominic akan jadi puppet PM’ atau pemimpin boneka. PAS dan Bersatu akan ‘pull the strings’ dan semua orang kampung pun tahu.

Ketiga, PAS akan membuka lembaran baharu politik kemanusiaan di Malaysia yang Umno dan PKR pun tak boleh buat. Dengan serta-merta Malaysia akan tidak lagi dilabelkan negara ‘ala aparteid’. Semua rakyat ‘equal one on one’. UEC, gereja, rumah ibadat bukan Islam semua dapat peruntukan sama rata mengikut saiz dan keperluan jumlah pengguna. Hari Lau angkat sumpah, adalah hari terakhir konsep ketuanan perkauman atau ketuanan keagamaan.

Saya akan ‘first’ sekali undi PN kalau Lau jadi presiden PN dan ‘poster boy’ perdana menteri. Apa macam Hadi dan Muhyiddin? Selesai tak misteri pengerusi PN?

Pasangan warga emas ditemui rentung dalam bilik tidur

IVAN AMIRUL
Anggota bomba yang terlbat dalam operasi pemadaman kebakaran rumah didiami warga emas pagi tadi.
KUDAT – Pasangan suami isteri ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan rumah dua tingkat di Kampung Lausan, Batu 4 malam tadi.
‎Mangsa yang juga warga emas lelaki berusia 74 tahun dan isterinya 73 tahun ditemui dalam bilik tidur.
‎Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 11.58 malam sebelum 10 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
‎”Sebaik pasukan bertugas tiba, anggota mendapati sebuah rumah dua tingkat itu sudah terbakar 100 peratus. Operasi memadam kebakaran berdepan kesukaran berikutan laluan sempit termasuk sebuah jambatan kecil serta kedudukan wayar elektrik rendah yang menghalang pergerakan jentera bomba ke lokasi kejadian.
‎”Bagaimanapun, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 1.30 pagi. Mangsa pertama dikeluarkan pada pukul 2 pagi, manakala mangsa kedua dikeluarkan kira-kira pukul 3.50 pagi,” katanya di sini hari ini.-KOSMO ONLINE

Ibu nekad panjat bangunan demi selamatkan anak

Agensi
KEBAKARAN itu berlaku di sebuah unit di bangunan tingkat lima di Gwangyang, menyebabkan tiga gadis muda terkandas di dalamnya. FOTO Balai Bomba Gwangyang
KEBAKARAN itu berlaku di sebuah unit di bangunan tingkat lima di Gwangyang, menyebabkan tiga gadis muda terkandas di dalamnya. FOTO Balai Bomba Gwangyang
Gwangyang, Korea Selatan: Seorang ibu berusia 40-an bertindak berani menyelamatkan tiga anaknya yang terperangkap dalam kebakaran dengan memanjat dinding luar bangunan apartmen, lapor The Korea Herald.

Kejadian berlaku 5.23 petang di sebuah unit tingkat lima di Gwangyang, Wilayah Jeolla Selatan, Korea Selatan pada 19 Januari lalu.

Kebakaran itu meninggalkan tiga kanak-kanak perempuan berusia di bawah lima tahun terperangkap tanpa pengawasan orang dewasa.

Ibu mangsa tidak dapat masuk melalui pintu depan akibat asap tebal dan api marak.

Dalam keadaan genting, wanita itu nekad menuju ke unit di tingkat atas, sebelum memanjat turun melalui dinding luar bangunan itu tanpa menggunakan sebarang peralatan.

Dia berjaya sampai ke rumahnya dan memastikan keselamatan anak-anak sehingga anggota bomba tiba.

Kesemua empat beranak hanya mengalami sesak nafas ringan akibat terhidu asap dan dibenarkan keluar dari hospital pada 20 Januari.

Kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak bomba pada 6.18 petang hari kejadian.

Pihak berkuasa bomba menegaskan bahawa memanjat bahagian luar apartmen adalah sangat berbahaya walaupun bagi profesional yang terlatih.

Mereka menyifatkan kejayaan orang awam melakukan tindakan sedemikian sebagai sesuatu yang sangat luar biasa dan jarang berlaku.

Keluarga berkenaan kini ditempatkan di perumahan sementara yang disediakan oleh pihak bandar raya sementara menunggu penilaian bantuan kewangan.
-hmetro 

Pegawai kanan TLDM, pengarah syarikat direman disyaki terlibat rasuah

Buletin TV3 

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pengarah syarikat direman kerana disyaki terlibat rasuah bagi mengesyor dan melantik syarikat kroni mendapatkan kerja-kerja di tempat pegawai kanan tersebut bekerja.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 29 Januari depan terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret A. Hafiizh Abu Bakar selepas permohonan dibuat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an ditahan kira-kira jam 6.50 petang dan 9.40 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Ipoh, Perak.

“Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2017 sehingga 2020.

“Siasatan awal turut mendapati suspek yang merupakan pegawai kanan TLDM disyaki memiliki harta melebihi jumlah emolumen yang diterima seperti pemilikan kira-kira lapan aset tak alih terdiri daripada tiga buah rumah, tiga buah rumah kedai dan dua buah hotel yang didaftarkan atas nama beliau,” katanya.

Tambah sumber, siasatan turut mendapati terdapat kemasukan sejumlah wang dari sumber yang diragui bernilai kira-kira RM2 juta ke dalam akaun peribadi dan dua akaun syarikat perhotelan milik pegawai tersebut.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Kedah: Nahas dua kereta ragut nyawa pelajar IKM, lima parah

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
KERETA Perodua Kelisa dinaiki tiga pelajar IKM yang terbabit kemalangan di Jalan Selarong Panjang-Sedim. FOTO Ihsan Polis
KERETA Perodua Kelisa dinaiki tiga pelajar IKM yang terbabit kemalangan di Jalan Selarong Panjang-Sedim. FOTO Ihsan Polis
Kulim: Hasrat tiga pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) untuk mandi di Sungai Sedim berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas kereta Perodua Kelisa dinaiki mereka kemalangan di Jalan Selarong Panjang-Sedim, di sini hari ini.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Husni Kamal Amir, 23, beralamat di Sungai Petani manakala dua rakannya parah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 3.30 petang tadi.

Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Myvi yang dipandu wanita berusia 33 tahun bersama dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan 10 tahun dari menghala ke Sungai Karangan bertembung dengan kereta Perodua Kelisa dinaiki tiga pelajar terbabit.

"Penumpang hadapan kereta Perodua Kelisa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu berusia 22 tahun dan penumpang di tempat duduk belakang berusia 23 tahun cedera.

"Mereka turut bersama beberapa lagi rakan yang menaiki kenderaan lain dalam perjalanan untuk mandi di Sungai Sedim," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kereta Perodua Kelisa terbabit hilang kawalan akibat termasuk ke bahu jalan yang tidak berturap sebelum bertembung dengan kereta Perodua Myvi.

"Pemandu kereta Perodua Myvi itu parah di kepala dan patah kaki manakala dua kanak-kanak terbabit masing-masing patah kaki dan tangan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Bomba bantu bawa turun operator kren meninggal dunia

FMT Reporters

Mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri ketika mengendalikan tren menara sebelum disahkan meninggal dunia.
Anggota bomba menggunakan satu ‘bucket stretcher’ dan set tali untuk membawa turun mangsa dari kren menara setinggi 45m. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Bomba terpaksa dipanggil untuk membantu menurunkan seorang operator kren menara yang tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia ketika bekerja di Residensi Puncak Austin di Johor Bahru.

Komander Operasi Noor Azhan Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.51 pagi dan dua jentera dengan kekuatan 13 anggota dari Balai Bomba Tebrau serta Johor Jaya segera ke lokasi kejadian.

Katanya, anggota operasi menggunakan satu ‘bucket stretcher’ dan set tali membawa turun mangsa, Muhamad Aliff Ishak, 33, dari ketinggian 45m.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada petugas Hospital Sultan Ismail di sini sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan menurut Bernama.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat berkata siasatan awal mendapati kematian mangsa tiada unsur jenayah.

“Pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau unsur jenayah,” katanya.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan rasmi bedah siasat.

Laporan akhir nahas bas Upsi: Pengendali tak berlesen, permit dipajak

Bernama
Bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan meragut nyawa 15 pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (Jeli-Gerik), Perak pada Jun lepas, didapati dikendalikan sebuah syarikat yang tidak memiliki lesen atau permit sah untuk operasi bas persiaran di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715). 

Laporan Akhir Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan oleh Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan (MOT) menyatakan semasa kejadian pemilik lesen sah pengendali kenderaan itu didaftarkan atas nama Kenari Utara Travel & Tours Sdn Bhd telah menyewakan atau memajakkan lesen itu kepada Noreen Maju Trading tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Penggunaan permit oleh pihak ketiga tanpa kelulusan merupakan pemajakan lesen kenderaan perdagangan, yang melanggar Seksyen 49 (1) Akta 715 dan menjejaskan akauntabiliti operasi pengangkutan,” menurut laporan itu yang didedahkan kepada umum hari ini.

Susulan dapatan itu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) telah membatalkan lesen Kenari Utara Travel & Tours Sdn Bhd pada 13 Jun 2025 kerana kejadian itu mencerminkan kelemahan pematuhan serta memberi kesan negatif terhadap integriti tadbir urus dalam sektor pengangkutan awam pelancongan.

“Maklumat daripada Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) juga menunjukkan Nuratiqah Travel & Tours Sdn Bhd bertindak sebagai pihak tengah dengan mengemukakan permohonan pengecualian pemandu pelancong untuk perjalanan bas pada 8-9 Jun 2025 bagi pihak pengendali lain.

“Semakan di Sistem Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan (Tourlist) mendapati syarikat ini mengemukakan jumlah permohonan pengecualian yang luar biasa tinggi sepanjang 2025, termasuk 27 pada Januari dan 29 pada Februari,” menurut laporan itu.

MOT berkata corak permohonan tersebut menunjukkan kemungkinan besar penyalahgunaan mekanisme pengecualian, termasuk penyewaan lesen atau manipulasi sistem oleh pengendali tidak berlesen.

Selain itu, butiran pemandu bagi perjalanan bas pada hari kejadian didapati tidak sepadan dengan pemandu sebenar yang terlibat, menandakan kelemahan dalam verifikasi fizikal dan kawalan maklumat.

Siasatan juga mendapati lesen memandu seorang daripada pemandu telah tamat tempoh sejak November 1998 dan tidak diperbaharui, selain kedua-dua pemandu mempunyai beberapa saman jalan raya, termasuk saman yang masih aktif.

Pada 9 Jun lalu, 15 pelajar Upsi terbunuh apabila bas yang mereka naiki dari Jerteh, Terengganu ke Kampus Upsi Tanjung Malim terbabit kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza. Daripada jumlah itu, 13 mangsa disahkan maut di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.

-Bernama

‘Jika masih hidup, saya mahu dia pulang dengan selamat’

AMIR HAIKAL KAMARUDIN
Ahli keluarga mangsa ketika bercakap pada sidang akhbar yang diadakan di pejabat MHO Megan Avenue 1 hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO
KUALA LUMPUR – Seorang graduan politeknik dilaporkan hilang sejak November lalu dan dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia selepas ditahan pihak polis di Jepun kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan telefon.

Setiausaha Agung Malaysia Humanitarian Organisation (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Faiq Zafran, 23, dipercayai dieksploitasi sindiket penipuan sebelum ditahan di Toyama Minami Police Station, Jepun dengan rampasan wang dianggarkan berjumlah kira-kira empat juta yen.

Menurut beliau, kes berkenaan dianggap luar biasa memandangkan sepanjang pengendalian MHO sejak 2020, tiada kes melibatkan rakyat Malaysia yang dieksploitasi sindiket penipuan dikesan di Jepun sebelum ini.

“Berdasarkan corak kes, mangsa dipercayai direkrut oleh individu yang dikenalinya untuk bekerja di luar negara sebelum dibawa ke Jepun. Kehilangan komunikasi sepenuhnya dengan keluarga adalah antara ciri utama mangsa yang berada dalam kawalan sindiket,” katanya pada sidang akhbar di pejabat MHO, Megan Avenue 1, hari ini.

Hishamuddin menjelaskan, Muhammad Faiq merupakan bekas pelajar sekolah berasrama penuh (SBP) dan baru menamatkan pengajian diploma di sebuah politeknik di Perlis pada September 2025 sebelum memaklumkan kepada keluarga mahu mencari pekerjaan di Kuala Lumpur pada November lalu.

“Tidak lama selepas itu, keluarga dimaklumkan bahawa mangsa berada di Jepun dan sejak 19 November 2025 dan tidak lagi dapat dihubungi. Kami mengesyaki berlaku eksploitasi dan aktiviti pemerdagangan manusia,” ujarnya.

Sementara itu, ibu mangsa, Noor Zuhaini, 46, berkata, anaknya ke Kuala Lumpur selepas menerima tawaran kerja daripada seorang rakan sebelum menaiki penerbangan Batik Air ke Jepun, dengan segala urusan pasport dan perjalanan diuruskan pihak lain.

Menurutnya, komunikasi terakhir melalui WhatsApp berlaku pada 18 November 2025 sebelum mesej terakhir darinya hanya menunjukkan satu tanda semak dan komunikasi terputus sepenuhnya sehingga kini.

“Saya cuma mahukan keadilan, kejelasan dan keselamatan anak saya. Jika dia masih hidup, saya mahu dia pulang dengan selamat,” katanya.

Noor Zuhaini berkata, sepanjang berada di Jepun, anaknya masih aktif berhubung dengan rakan-rakan melalui aplikasi Snapchat dan komunikasi berjalan seperti biasa sehingga 18 November 2025, dengan kemas kini terakhir menunjukkan lokasi mangsa berada di Shikoku, Jepun.

Tambahnya, keluarga hanya menerima maklumat mengenai penahanan anaknya melalui rakan yang menawarkan pekerjaan itu, selepas individu tersebut lama menghilang dan hanya muncul semula untuk memaklumkan bahawa Muhammad Faiq telah ditahan di balai polis.

Sehubungan itu, MHO menggesa Kementerian Luar Negeri melalui Wisma Putra serta Kedutaan Malaysia di Jepun untuk menyelaras bantuan perundangan dan mengesahkan status sebenar mangsa bagi memastikan beliau tidak dihukum sebagai penjenayah sekiranya terbukti menjadi mangsa eksploitasi.

Dalam masa sama, Hishamuddin turut mengingatkan golongan belia supaya lebih berhati-hati terhadap tawaran kerja di luar negara, termasuk di negara yang dianggap selamat seperti Jepun dan memastikan segala urusan pekerjaan dilakukan secara sah melalui permohonan visa kerja dari Malaysia.- KOSMO! ONLINE

Wanita warga Indonesia buang sampah merata didenda RM500, khidmat masyarakat 6 jam

Bernama

Anita Lukman menjadi tertuduh pertama di Malaysia yang didenda dan diperintah menjalani khidmat masyarakat atas kesalahan membuang sampah di tempat awam.
warga Indonesia, Anita Lukman warga Bangladesh buang sisa pepejal
Anita Lukman mengaku bersalah membuang puntung rokok dan botol minuman di tempat awam pada 1 Jan lalu. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU: Seorang warga Indonesia didenda RM500 dan diperintah menjalani khidmat masyarakat oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku membuang puntung rokok serta botol minuman di tempat awam.

Ini pendakwaan pertama mengikut Seksyen 77A Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Anita Lukman, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Nor Aziati Jaafar.

Wanita itu didakwa membuang puntung rokok dan botol minuman di tempat awam, bukan dalam bekas yang diperuntukkan bagi maksud tersebut di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut pada 12.41 tengah malam 1 Jan lalu.

Pertuduhan dikemukakan bawah Subseksyen 77A(1) Akta 672 yang membawa denda maksimum RM2,000 dan sebagai tambahan, boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat tidak lebih 12 jam secara agregat dalam tempoh tidak lebih enam bulan sebagaimana dinyatakan dalam perintah mahkamah.

Anita memohon hukuman ringan atas alasan dia ibu tunggal yang menanggung dua anak berusia lapan serta 15 tahun dan hanya datang ke Malaysia untuk membantu rakannya.

Mahkamah menjatuhkan denda RM500 atau penjara 15 hari, jika gagal membayar denda serta memerintahkannya menjalani khidmat masyarakat selama enam jam dengan kadar maksimum dua jam sehari dalam tempoh enam bulan. Jika gagal mematuhi perintah khidmat masyarakat, dia berdepan denda RM2,000 hingga RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SWCorp, Siti Adora Rahtimin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Di mahkamah sama, warga Bangladesh, Sultan MD, 28, didakwa membuang puntung rokok di lokasi sama pada 1 Jan lalu.

Tetapi, lelaki itu memohon prosiding dikendalikan dalam Bahasa Bangladesh kerana tidak memahami Bahasa Melayu sebelum mahkamah menetapkan 28 Jan ini untuk sebutan semula kes.

Bapa maut, anak cedera lori terbabas langgar tiang iklan

HARRITH HISHAM
Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit susulan kemalangan sebuah lori di KM 29.1 Lebuh Raya Elite hari ini
SEPANG – Seorang pemandu lori maut manakala anaknya yang juga kelindan cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas sebelum melanggar tiang papan tanda iklan di Kilometer (KM) 29.1 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.42 petang itu, mangsa dikenal pasti Zaidi Norau, 48, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anaknya Norfaizzuan, 22, mengalami kecederaan ringan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kemalangan berkata ketika mangsa dalam perjalanan dari Gamuda Cove menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA).

“Kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan jenis hino dipercayai telah terbabas melanggar tiang papan tanda iklan di tepi lebuh raya.

“Kelindan mengalami kecederaan ringan dan tidak tersepit manakala pemandu tersepit dan meninggal di tempat kejadian,” katanya dalak kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, mangsa yang tersepit telah berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Inkues Zara Qairina: Malam 15 Julai ‘tegang’, ‘menakutkan’, kata saksi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang ‘saksi mata’ memberitahu Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bahawa pada malam 15 Julai 2025 keadaan di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha digambarkan sebagai ‘tegang’ dan ‘menakutkan’.

Peguam Shahlan Jufri mewakili ibu Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, berkata pelajar itu berkata, berlaku tiga kejadian pada malam berkenaan iaitu pertama Zara disoal siasat dua pelajar senior mengenai kes kecurian sebelum disoal lagi oleh dua pelajar bersama seorang lagi pelajar senior.

“Kejadian ketiga ialah pelajar senior membacakan satu surat yang menyatakan Zara Qairina ingin menjadi Badar (pengawas Badan Dakwah dan Rohani). Ketiga-tiga kejadian itu berlaku antara 10 hingga 20 minit di bilik asrama,” kata Shahlan menurut Bernama selepas prosiding inkues dijalankan secara tertutup, di Kota Kinabalu.

Shahlan berkata, semasa kejadian, saksi juga memberitahu pelajar senior itu meminta penghuni bilik supaya ‘jangan tengok, jangan pasang telinga’, dan saksi juga berkata terdapat makian yang membuatkannya ketakutan.

Menjawab soalan Koroner Amir Shah Amir Hassan yang bertanya sekiranya perkara itu sering terjadi di asrama, saksi memberitahu memang berlaku beberapa kali, tetapi yang lebih menakutkan saksi ialah kejadian pada malam 15 Julai itu.

Shahlan berkata, seorang lagi saksi yang dipanggil semula iaitu seorang pelajar memberitahu mahkamah, dia ada menerima helaian nota berwarna kuning daripada Zara yang diselitkan pada buku yang tertulis ‘bye kesayangan’.

Ketika ditanya maksud nota itu, saksi itu berkata, Zara ingin memaklumkan bahawa dia akan ke musolla terlebih dahulu dan mereka berjumpa di tempat itu.

Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai tahun lalu, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, di Papar pada kira-kira 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.

Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos lalu telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

Prosiding inkues bersambung Isnin ini dengan prosiding akan dijalankan secara tertutup kerana melibatkan saksi kanak-kanak.

Kereta bergerak laju tanpa pemandu

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan kereta itu bergerak sendiri tanpa pemandu di lorong kanan. - TikTok
JAKARTA – Satu klip video tular memaparkan kejadian misteri sebuah kereta bergerak sendiri tanpa pemandu di sebatang jalan di Indonesia, lapor laman berita Kompas. 

Kejadian berlaku di Tol Jakarta-Cikampek baru-baru ini. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @nedy15a menunjukkan kereta jenis Panther itu bergerak sendiri di lorong kanan dengan sebuah lori membunyikan hon beberapa kali sebagai amaran. 

Kereta tersebut akhirnya berhenti berhampiran Tol Tambun Kilometer 21. 

Pengarah Penguatkuasaan Undang-Undang (Dirgakkum) Kor Trafik Polis Kebangsaan Indonesia, Briged Jeneral Faizal mengesahkan bahawa pemandu tersebut dikenali sebagai FP. 

“FP sakit semasa memandu kereta itu. Selepas ambulans dan pegawai plaza tol memeriksa kereta itu, mereka mendapati mangsa telah meninggal dunia,” katanya. – AGENSI

Wanita warga emas, ‘pucuk muda’ dicekup berasmara depan balai polis

KOSMO!
SEORANG wanita warga emas dan lelaki muda ditangkap ketika berkelakukan tidak senonoh. - Foto The Pattaya News
BANGKOK  – Polis menahan seorang wanita berusia 61 tahun dan seorang lelaki warga Britain berumur 34 tahun selepas mereka ditangkap kerana didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh, lapor portal berita The Pattaya News hari ini.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pantai Pattaya, di hadapan  sebuah balai polis.

Kira-kira pukul 4 pagi (waktu tempatan) hari ini, Timbalan Ketua Balai Polis Bandar Pattaya, Leftenan Kolonel (polis) Chawalit Suwanmanee menerima laporan daripada pelancong yang menyaksikan kejadian tersebut. 

Orang awam merakam mereka melakukan hubungan intim di tempat awam sekali gus mengejutkan pelancong di kawasan pantai.

Lokasi kejadian di hadapan balai polis turut menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pengunjung pantai dan orang ramai yang melalui kawasan itu pada awal pagi.

Kedua-dua suspek ditahan dan dibawa ke balai polis bersama rakaman video sebagai bahan bukti. 

Mereka berdepan pertuduhan melakukan perbuatan tidak senonoh di tempat awam di bawah undang-undang Thailand. – AGENSI

PM bincang dengan MB S'gor untuk batalkan ladang babi di Bukit Tagar

Malaysiakini 
story-image
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata dia akan berbincang dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, mengenai kemungkinan membatalkan projek penternakan babi berskala besar di Bukit Tagar.

"Saya akan bincang dengan Menteri Besar (Amirudin) supaya bagi pandangan, kalau boleh batalkan dulu projek itu dan pertimbangkan kalau boleh kawasan yang lebih baik dengan syarat teknologi itu terjamin.

"Kalau pun teknologi baik tapi di kawasan yang menimbulkan keresahan itu tentunya tidak wajar diteruskan," katanya dipetik BH.

Anwar berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Bangi hari ini.

PAS buntu cari pengganti, Muhyiddin kekal pengerusi PN?

FMT Reporters

PETALING JAYA: Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, berkemungkinan terus kekal sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) walaupun telah meletakkan jawatan pada 1 Jan lalu, berikutan PAS masih bergelut untuk mencapai persetujuan mengenai pengganti daripada parti itu, menurut satu laporan.

Utusan Malaysia yang memetik sumber PAS, melaporkan bahawa parti itu berada dalam kebuntuan mengenai calonnya bagi jawatan pengerusi PN, walaupun berhasrat untuk mengambil alih jawatan tersebut.

Kelewatan mengemukakan calon itu telah memberi persepsi negatif terhadap PAS, seolah-olah parti itu ketandusan pemimpin yang mampu menerajui PN, kata sumber berkenaan.

“Sebelum ini, kita bersungguh-sungguh mahu mengetuai PN dan Muhyiddin sudah pun meletak jawatan. Apabila orang (Bersatu) sudah serah, kita (PAS) pula masih lambat.

“Akhir sekali, kita jangka Muhyiddin yang kekal mengetuai PN. PAS gagal bertindak cepat dalam isu ini dan ia sangat mengecewakan,” kata sumber itu.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, sebelum ini menuntut jawatan pengerusi PN bagi pihak partinya, namun dilaporkan telah menolak untuk memegang jawatan itu sendiri atas alasan kesihatan.

Antara yang disebut-sebut sebagai pengganti Muhyiddin ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga menteri besar Terengganu.

Samsuri, yang sebelum ini pernah dicanang sebagai calon perdana menteri berpotensi bagi PN, dilaporkan berdepan tentangan daripada sesetengah pihak dalam PAS yang berpendapat bahawa jawatan itu perlu disandang oleh pemimpin daripada kelompok ulama.

Samsuri dilihat lebih cenderung sebagai seorang teknokrat dalam PAS.

Sumber PAS itu berkata harapan parti tersebut untuk memimpin PN akan menerima tamparan tambahan sekiranya MIC menyertai gabungan itu, memandangkan Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) sudah pun tidak berminat melihat PAS memegang jawatan pengerusi.

“Sebab itu, bila kita mahu mengetuai PN kena bersungguh-sungguh dan bertindak bijak. Jika tidak, Bersatu juga yang akan kekal mengetuai PN meskipun sebelum ini, PAS bersungguh-sungguh melaungkan ke­sediaan menerajui PN,” katanya.

Awal minggu ini, Muhyiddin berkata beliau lebih daripada bersedia untuk menyerahkan jawatan pengerusi PN kepada PAS. Namun, katanya, pendirian Bersatu adalah bahawa pengerusi PN seterusnya mestilah presiden sebuah parti.

Selain Hadi dan Muhyiddin, hanya terdapat dua lagi presiden parti dalam PN, iaitu presiden Gerakan, Dominic Lau dan presiden MIPP, P Punithan.

Surat tular gadis sebelum kematiannya cetus siasatan menyeluruh polis

Utusan Borneo 

SIBU: Polis Daerah Sibu bertindak pantas membuka siasatan menyeluruh susulan penularan sepucuk surat yang mendedahkan dakwaan penderaan keluarga berpanjangan, dipercayai ditulis oleh seorang gadis berusia 22 tahun sebelum kematiannya sehingga mencetuskan kebimbangan awam.

Gadis terbabit meninggal dunia di Hospital Sibu pada 18 Januari lalu selepas bertarung dengan penyakit kanser.

Surat tersebut, yang dikongsi adik perempuannya di media sosial, mengandungi dakwaan mangsa yang mengalami penderaan fizikal dan emosi oleh ahli keluarga sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili mengesahkan polis menerima satu laporan rasmi pada 9 Disember 2025 daripada seorang gadis tempatan yang mendakwa dirinya menjadi mangsa penderaan oleh ahli keluarga sejak tahun 2013.

“Berdasarkan laporan tersebut, satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan awal sedang dijalankan, termasuk merakam percakapan pengadu serta pihak-pihak berkaitan bagi mengenal pasti fakta sebenar kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Zulkipli, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau menegaskan penyebaran maklumat tidak disahkan atau spekulasi di media sosial boleh menjejaskan siasatan serta memberi kesan buruk kepada semua pihak yang terlibat.

Zulkipli berkata siasatan dijalankan secara telus, menyeluruh dan profesional, selaras dengan kepentingan awam untuk memastikan perlindungan terhadap mangsa serta keadilan ditegakkan tanpa prejudis.

 oleh 
Andy Sabang

Kemurungan dikenal pasti punca pembunuhan suami isteri di Sri Aman

Mohd Roji Kawi
am@hmetro.com.my

Kuching: Kemurungan dikenal pasti punca pembunuhan guru besar dan isterinya yang mayat mereka ditemukan dalam bilik sebuah rumah di Sri Aman dekat sini, 14 Januari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, berdasarkan keterangan keluarga, kawan serta rakan sekerja, si mati dikatakan mengalami kemurungan sejak bertukar ke sebuah sekolah di Lubok Antu, Sri Aman.

Beliau berkata, laporan kimia terhadap senjata tajam yang digunakan dalam kejadian itu juga tidak menemui asid deoksiribonukleik (DNA) asing.

"Hanya DNA kedua-dua mangsa ditemui pada senjata tajam itu, justeru rumusan yang kita boleh buat ialah pembunuhan itu hanya membabitkan pasangan suami isteri itu," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Padang Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Pada 14 Januari lalu, suami isteri berusia 45 dan 44 tahun itu ditemui meninggal dunia dengan kecederaan serius pada tubuh mereka di sebuah rumah di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman.

Lelaki berkenaan bertugas sebagai guru besar dan isterinya seorang jururawat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mengulas lanjut, Mohamad Zainal berkata, sepanjang siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, polis merakam keterangan 30 saksi kalangan ahli keluarga, jiran, kawan serta rakan sekerja kedua-dua mangsa.

Selain itu, polis turut merakam keterangan pakar patologi yang melaksanakan proses bedah siasat mayat kedua-dua mangsa.

"Apa yang boleh kami simpulkan, kes itu sudah selesai kerana siasatan di lokasi kejadian tidak menemui kesan pecah rumah atau barangan yang hilang jika ia kes samun.

"Polis kini hanya menunggu keputusan pemeriksaan forensik telefon bimbit kedua-dua mangsa dan laporan itu nanti mungkin membolehkan kami mengetahui lebih lanjut motif sebenar kejadian itu selain kemurungan," katanya.

Siapa pengerusi PN, siapa calon PM: Rumit lagi merumitkan

Mohsin Abdullah

Siapa pengerusi PN sekali gus bakal calon PM gabungan itu masih misteri.

Muhyiddin Yassin masih pengerusi Perikatan Nasional (PN). Peletakan jawatannya masih belum diterima oleh PN. Maknanya belum sah. Ini diakui Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor 7 Jan. Katanya, perkara itu akan hanya dimuktamadkan selepas pertemuan pemimpin tertinggi gabungan.

Maaf, jika saya terlepas pandang tetapi setahu saya pertemuan kepimpinan tertinggi PN untuk bincang isu peletakan jawatan Muhyiddin belum diadakan sehingga kini. Pada hal, beliau umum letak jawatan 29 Dis lalu yang berkuatkuasa 1 Jan 2026. Maknanya, sudah 23 hari berlalu. Tiada pengganti diumumkan.

Jika sudah masakan kita tidak tahu. Masakan Muhyiddin pada Rabu lalu yakni 21 Jan beritahu media bahawa PN sudah hampir ke tahap perlu memuktamadkan calon perdana menterinya bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Kerana katanya ia beri kesan psikologi kepada pengundi khususnya apabila pilihan raya semakin hampir. “Pengalaman sebelum ini menunjukkan rakyat mula mempersoalkan kepimpinan tertinggi gabungan apabila PRU semakin hampir,“ katanya.

‘Then why quit in the first place? Betul ke ‘ikhlas’ letak jawatan? Berkata Muhyiddin lagi (ini bagi saya amat menarik): ”Sama ada saya atau orang lain yang menjadi calon PM yang penting kita bincang dulu supaya tidak bergaduh”. Kata kuncinya pada hemat saya ialah “sama ada saya“.

Ertinya, Muhyiddin tidak keberatan atau tidak akan menolak jika beliau dijadikan calon PN untuk jawatan PM. Posterboy PN dalam erti kata lain. Kita tahu partinya Bersatu mahu beliau jadi calon itu. Portal Scoop memetik beliau berkata kepada beberapa media terpilih malam Rabu lalu bahawa “the next PN chairman should be selected from among the coalition’s party presidents”.

Jawatan tertinggi itu kata beliau mesti dipegang oleh “one of its four sitting party leaders “ iaitu beliau sendiri , Presiden PAS Hadi Awang, Presiden Gerakan Dominic Lau, dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia P Punithan.

Lau dan Punithan tidak boleh jadi calon PM atas sebab kita semua termasuk mereka berdua amat maklum. Tak kan Muhyiddin tak tahu kan? Lantas hanya Muhyiddin dan Hadi yang layak dipilih PN. Muhyiddin mengakui desakannya calon PM dipilih dalam kalangan presiden parti komponen mencetuskan dilema.

Apa tidaknya? Hadi ‘has ruled himself out of contention’ atas faktor kesihatan. Scoop memetik Muhyiddin bertanya kepada media: “If I have resigned, one of the other three should be PN chairman. But, if the other three cannot be the chairman can you give me a solution?

Hebat pertanyaan itu. Seperti dikatakan tadi Lau dan Punithan memang tidak boleh dijadikan calon. Hadi pula tidak mahu dipertimbangkan. Diulangi jadi tinggallah beliau seorang.

PAS memang punya calonnya selain Hadi meskipun ada kalangan parti itu yang tetap mahu Hadi jadi calon PM. Meskipun, Ahli Parlimen Marang itu secara terbuka calon menegaskan calon PM mestilah seorang berusia bawah 70 tahun.

Tetapi, mereka tetap mahu Hadi jadi calon. Pelik juga bukan? Pada pandangan saya jika PN mengehadkan pilihan calon PM mereka kepada presiden parti dengan sendirinya Hamzah Zainudin selaku timbalan presiden Bersatu akan terus berangan dan gigit jari. Umum tahu beliau nak jadi calon PM.

Bukanlah rahsia hubungan Hamzah dengan Muhyiddin bukan setakat renggang dan retak, bahkan tidak baik. Pun begitu ada kalangan dalam PAS yang mahu Hamzah diangkat calon PM. Ini hasrat mereka untuk sekian lama. Dalam erti kata lain untuk sekian lama juga mereka tidak mahu Muhyiddin jadi pengerusi PN.

Adakah faktor itu yang ‘memaksa’ Muhyididn ‘mahu’ letak jawatan? Nyata peletakan jawatan beliau ‘is more than what meets the eye’. Pandangan saya – Muhyididn masih mahu berpencak silat dalam gelanggang politik.